Uuuk 4043 - A163202

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 7

UJIAN PERTENGAHAN SEMESTER

UUUK 4043
KANUN TATACARA JENAYAH II

DR. MUHAMAD SAYUTI BIN HASSAN

ABIDAH BINTI RAHIM (A163202)


A163202

BON BERKELAKUAN BAIK

Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) telah menjelaskan mengenai kuasa
melepaskan secara bersyarat atau tanpa bersyarat. Di mana salah satu cara yang dinyatakan
ialah bon berkelakuan baik. Bagi bon berkelakuan baik, peruntukan yang terpakai di bawah
Kanun Tatacara Jenayah ialah seksyen 173A, seksyen 294 dan juga seksyen 294A.

Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah adalah mengenai pesalah kali pertama dan
seksyen 294A KTJ pula ialah mengenai syarat bon. Dalam seksyen 173A (2) KTJ telah jelas
memperuntukkan bahawa setelah melihat faktor kelakuan, rekod dahulunya, umur, kesihatan
atau keadaan akal tertuduh itu melepaskan pesalah daripada tuduhan secara bersyarat iaitu
dikenakan bon. Bon ini dikenakan bertujuan bagi memastikan tertuduh ini berkelakuan baik
dan hadir untuk sabitan direkodkan dan untuk hukuman pada bila-bila masa dalam tempoh
jaminan sebagaimana yang ditetapkan dalam perintah itu.

Seksyen 294 KTJ pula memperuntukkan mengenai tertuduh yang merupakan pesalah
utama, setelah melihat faktor-faktor kelakuan, latar belakang, umur, kesihatan atau keadaan
mental pesalah itu ataupun ringannya kesalahan itu bolehlah mengarahkan supaya dia
dilepaskan setelah diikat bon dengan penjamin. Seksyen 294A KTJ pula mengenai syarat bon
yang telah menjelaskan bahawa apabila mana-mana orang diberikan pelepasan bersyarat secara
bon boleh dimasukkan ke dalam bon itu syarat-syarat seperti berikut:

1. Suatu syarat bahawa orang itu diletakkan di bawah pengawasan orang lain yang
disebutkan dalam bon itu bagi tempoh yang dinyatakan di dalamnya.
2. Syarat bagi mendapatkan pengawasan seperti yang difikirkan patut oleh Mahkamah
untuk dikenakan.
3. Syarat-syarat berkenaan dengan tempat kediaman, pekerjaan, pergaulan, menjauhi
daripada minuman yang memabukkan atau berkenaan dengan apa-apa hal lain yang
difikirkan patut oleh Mahkamah untuk dikenakan.

Antara kes yang boleh dirujuk mengenai pemberian bon berkelakuan baik ialah kes
Pendakwa Raya v Thevesh a/l Sashikumar dan Satu Lagi [2020] 12 MLJ 603, di mana
Perayu telah merayu terhadap keputusan Majistret yang telah menjatuhkan hukuman terhadap
kedua-dua Responden bagi kesalahan di bawah seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang
merupakan peruntukan mengenai menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau
lain-lain benda yang merbahaya. Responden pertama telah dikenakan hukuman bon
berkelakuan baik selama tiga (3) tahun dengan cagaran sebanyak RM1,000 serta ibu bapa atau

1
A163202

penjaga responden pertama hendaklah menemani responden pertama melapor diri ke Jabatan
Kebajikan Masyarakat (JKM) sebulan sekali dalam masa tempoh tiga tahun. Responden kedua
dikenakan hukuman menyempurnakan bon selama tiga tahun dengan jumlah cagaran yang
sama.

Responden pertama adalah seorang kanak-kanak dan responden kedua pula ialah pesalah
muda. Pihak perayu telah berhujah bahawa hukuman yang dikenakan kepada kedua-dua
responden adalah tidak setimpal dengan keseriusan kesalahan di bawah seksyen 324 KK yang
memperuntukkan bahawa hukuman yang bagi kesalahan ini ialah penjara sehingga sepuluh
(10) tahun atau dengan denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-
hukuman itu.

Mahkamah membenarkan sebahagian daripada rayuan dengan beberapa alasan iaitu


hukuman yang dikenakan pada responden pertama, mahkamah berpandangan bahawa Majistret
berhasrat memastikan kepentingan awam adalah terpelihara. Kepentingan awam akan tercapai
sekiranya responden pertama dapat menjadi seorang warganegara yang baik dan berguna
kepada keluarga masyarakat dan negara. Oleh sebab yang demikian, majistret telah
menjatuhkan hukuman bahawa selama sebulan sekali dalam tempoh tiga tahun, tertuduh perlu
melapor diri di JKM bagi tujuan menghadiri Bengkel Interaktif anjuran JKM.

Kes kedua yang boleh dirujuk ialah Pendakwa Raya v Jahangir [2021] MJLU 711, di
mana dalam kes ini responden telah dituduh di bawah seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967
dan dikenakan hukuman bon berkelakuan baik selama tiga (3) tahun dengan cagaran RM5,000
setelah mengaku salah. Perayu telah merayu terhadap hukuman yang diberikan dan rayuan
diterima oleh mahkamah. Kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh oleh dikenakan denda
RM100,000.00 dan jika gagal akan dikenakan penjara 12 bulan. Mahkamah Tinggi Shah Alam
telah mendapati bahawa responden mempunyai 2 kenderaan iaitu Proton Waja dan Toyota
Avanza yang menunjukkan bahawa responden mempunyai kewangan yang baik dan mampu
untuk membayar denda yang diperuntukkan bagi kesalahan di bawah seksyen 135(1)(d) Akta
Kastam 1967.

Responden juga tidak mempunyai masalah kesihatan atau mental, merupakan seorang
dewasa berusia 35 tahun dan boleh bekerja dengan baik. Tidak ada sebarang faktor istimewa
dari latar belakang Responden yang wajar diberi pertimbangan yang berlebih. Mahkamah
akhirnya mengenepikan hukuman bon berkelakuan baik dan menggantikannya dengan
hukuman penjara enam (6) bulan.

2
A163202

Kes terakhir yang boleh dirujuk ialah kes Pendakwa Raya lwn Peter a/l Arokiam [2019]
10 MLJ 780, di mana dalam kes ini responden telah dilepas dan dibebaskan dari pertuduhan
memiliki senjata di bawah seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya.
Mahkamah Tinggi Ipoh telah memerintahkan responden membela diri dan akhirnya
membenarkan rayuan pendakwaan dan memerintahkan responden memasuki bon berkelakuan
baik dengan jaminan RM5,000.00 dan dua orang penjamin untuk tempoh tiga (3) tahun.

Rayuan mitigasi yang telah dihujahkan oleh peguam responden ialah responden berusia 36
tahun, mempunyai tiga orang anak. Peguam responden telah meminta mahkamah untuk
mengambil kira faktor bahawa walaupun kedua-dua anggota polis yang terlibat memeriksa
responden di tempat kejadian membiarkan responden berada di tepi jalan bersama barang kes
selama satu jam, responden tidak lari dari tempat kejadian dan tidak gunakan pisau yang ada
berdekatannya pada waktu itu.

Setelah meneliti ketiga-tiga kes di atas, bolehlah disimpulkan bahawa Mahkamah akan
memberikan bon berkelakuan baik setelah melihat kepada faktor kelakuan, kesihatan dan
keutamaan juga akan diberikan kepada pesalah pertama. Namun begitu, mahkamah juga akan
mengambil kira faktor keseriusan dan jenis jenayah yang telah dilakukan, jika jenayah tersebut
merupakan jenayah yang serius maka bon adalah agak mustahil untuk diberikan dan juga dalam
sesetengah kes bon yang diberikan telah ditarik balik setelah proses rayuan selesai.

3
A163202

KHIDMAT MASYARAKAT

Peruntukan mengenai khidmat masyarakat boleh dirujuk kepada seksyen 293 KTJ iaitu
mengenai pesalah muda. Seksyen 293(e)(i) KTJ telah memperuntukkan bahawa pesalah muda
ini boleh dikenakan perintah menghendaki pesalah muda menjalankan khidmat komuniti tidak
melebihi 240 jam dalam agregat, dalam bentuk sifat dan waktu dan tempat yang tertakluk
kepada syarat-syarat yang dinyatakan dalam mahkamah. Khidmat komuniti dalam peruntukan
ini bererti apa-apa kerja, khidmat atau arahan untuk kebaikan masyarakat secara am dan
termasuk, apa-apa bayaran kepada pihak penjara atau pihak berkuasa tempatan dan hendaklah
di bawah Menteri yang dipertanggungjawabkan bagi wanita, keluarga dan komuniti.

Kes yang boleh dirujuk bagi arahan khidmat masyarakat ialah, Woo Kim Wai v Pendakwa
Raya [2019] MLJU 1727, di mana tertuduh telah dituduh di Mahkamah Sesyen atas kesalahan
menganaiaya anaknya dan dikenakan hukuman penjara lima (5) tahun, bon berkelakuan baik
selama satu (1) tahun dengan jaminan RM3,000.00 tanpa cagaran dan dikehendaki menjalani
kerja khidmat masyarakat selama 40 jam dalam tempoh enam bulan. Mahkamah telah
membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengenepikan hukuman penjara lima (5) tahun dan
menggantikannya dengan hukuman penjara selama 15 bulan dan mengekalkan hukuman
sampingan yang lain.

Hakim Mahkamah Tinggi telah mendapati bahawa Hakim Mahkamah Sesyen telah
mengambil kira faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu dan
gagal mengambil kiri mitigasi yang dibuat oleh tertuduh. Hakim Mahkamah Tinggi telah
menyatakan alasan penghakiman belia iaitu, perayu telah mengaku salah, dan tujuan perayu
ialah mendisiplinkan anaknya tetapi telah melampaui batas dirinya dengan memukul anaknya
sehingga mengalami kecederaan. Perayu juga telah insaf dan berjanji tidak akan menggunakan
rotan untuk mengajar anaknya.

Kes kedua yang boleh dirujuk ialah Noor Amie binti Abd Rahman v Pendakwa Raya
[2021] 8 MLJ 175, di mana dalam kes ini perayu telah dituduh di bawah seksyen 31(1)(a) Akta
Kanak-Kanak 2001 dengan kesalahan menganiaya anaknya sehingga menyebabkan
kecederaan di seluruh badan. Perayu telahpun mengaku salah ke atas pertuduhan tersebut.
Hakim Mahkamah Sesyen telah menjatuhkan hukuman penjara lima (5) tahun, sempurnakan
bon berkelakuan baik dengan jaminan sebanyak RM5,000, perayu juga dikehendaki melapor
diri di balas polis berhampiran kediaman setiap 1 haribulan selama tempoh dua (2) tahun,
menghadiri sesi kaunseling di JKM dan dikehendaki melaksanakan perintah khidmat

4
A163202

masyarakat selama tempoh 160 jam agregat dengan pemantauan dan penyeliaan oleh Pegawaj
Kebajikan Masyarakat.

Hakim Mahkamah Tinggi telah menolak rayuan atas alasan keseriusan jenayah yang
dilakukan oleh perayu yang telah mengakibatkan kecederaan atas kanak-kanak. Mahkamah
telah mengambil kira faktor kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman ke atas perayu
di mana kanak-kanak merupakan individu yang lemah dan wajar diberikan perlindungan.
Mangsa juga mengalami kecederaan fizikal yang parah dan penderaan tersebut telah memberi
kesan ke atas mental mangsa.

Kes ketiga yang boleh dilihat ialah Pendakwa Raya lwn Noor Aqilah bt Abdul Rahman
[2020] 9 MLJ 766, di mana responden telah dihadapkan di Mahkamah Sesyen Selayang kerana
menyebabkan kecederaan terhadap Adam Rayqal bin Mohd Sufi Naefi dan dituduh atas
kesalahan melupuskan mayat mangsa dengan niat menyembunyikan kematian mangsa.
Tertuduh telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan, denda RM5,000
serta perintah bon berkelakuan baik selama tiga (3) tahun dengan cagaran sebanyak RM8,000
dan perintah khidmat masyarakat selama 200 jam dalam tempoh enam bulan. Mahkamah telah
menerima rayuan pendakwa raya dan menaikkan tempoh penjara kepada enam tahun manakala
hukuman-hukuman lain adalah dikekalkan.

Kes keempat ialah kes Pendakwa Raya lwn Lim Lian Kiat [2020] MLJU 530, di mana
responden telah dituduh memperkosa seorang gadis dan setelah pengakuan salah, tertuduh
telah disabitkan dan diperintahkan menjalani khidmat komuniti selama 240 jam dalam tempoh
dua (2) tahun. Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh telah menyatakan bahawa alasan Hakim
Mahkamah Sesyen dalam menjatuhkan hukuman atas alasan umur responden yang berusia 19
tahun 4 bulan dan layak mendapatkan hukuman alternatif di bawah seksyen 293(e)(i) KTJ
adalah khilaf.

Mahkamah menegaskan hukuman perintah khidmat masyarakat adalah satu hukuman yang
amat ringan dan tidak mencerminkan pemerkosaan adalah suatu kesalahan yang sangat serius.
Memandangkan kesalahan ini adalah kesalahan yang serius, faktor kesalahan pertama
bukanlah merupakan satu faktor mitigasi yang kuat berbanding dengan prinsip kepentingan
awam. Mahkamah menetapkan hukuman Hakim Mahkamah Sesyen diketepikan dan
digantikan dengan hukuman penjara selama lima (5) tahun dan sebatan rotan sebanyak dua (2)
kali.

5
A163202

Namun begitu hukuman berbentuk khidmat masyarakat ini mempunyai beberapa prinsip
yang kurang jelas iaitu:

1. Tidak ada tempoh minimum yang dinyatakan.


2. Tiada syarat yang khusus ditetapkan.
3. Tidak ada penjelasan mengenai kesan sekiranya perintah dilanggar.
4. Pesalah mempunyai peluang untuk melakukan kesalahan semasa dalam tempoh
khidmat masyarakat.
5. Apakah jenis kesalahan yang boleh dijatuhkan hukuman khidmat masyarakat.

Setelah meneliti kes-kes yang diputuskan, dapatlah disimpulkan bahawa arahan khidmat
masyarakat ini merupakan satu bentuk hukuman yang agak kurang jelas tentang pengaplikasian
hukuman ini. Perkara ini adalah tertakluk kepada kebijaksanaan hakim dalam menjatuhkan
hukuman dengan melihat kepada keseriusan kesalahan ini dan juga kelakuan mangsa semasa
dan selepas melakukan kesalahan. Seharusnya hukuman ini tidak dijadikan satu hukuman
alternatif tunggal kerana ianya bersifat sangat ringan dan juga tidak memenuhi prinsip sebuah
penghakiman dijatuhkan.

Tertuduh yang dikenakan hukuman khidmat masyarakat ini akan merasakan bahawa
hukuman yang dikenakan sangat ringan dengan perintah ini boleh dikenakan maksimum
selama 240 jam yang bersamaan dengan 10 hari sahaja. Hukuman ini boleh dijadikan sebagai
hukuman tambahan sahaja dan bukan penghukuman tunggal seperti yang terjadi dalam kes
Pendakwa Raya lwn Lim Lian Kiat [2020] MLJU 530.

You might also like