Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 5

BAHAGIAN 2: LAPORAN TEMUDUGA YANG MENDALAM

1. LATAR BELAKANG DUA ORANG GURU

Guru pertama yang saya temu bual untuk tugasan ini saya namakan sebagai Guru A.
Guru A merupakan seorang guru perempuan yang berumur 33 tahun dan telah berkhidmat
sebagai seorang guru selama 9 tahun. Beliau telah menamatkan pengajian pada tahun 2013
dan merupakan graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Perguruan dengan Kepujian dalam
jurusan Pengajian Sosial daripada Institut Pendidikan Guru. Sebaik sahaja beliau
menamatkan pengajian, beliau terus mendapat peluang bekerja sebagai seorang guru subjek
Sejarah di sebuah sekolah rendah di Johor dan sekarang beliau telah berkhidmat di sekolah
itu selama 9 tahun bermula dari tahun 2014 sehinggalah sekarang. Di sekolah, Guru A
memegang jawatan guru gred DG 44. Selain itu, Guru A juga pernah memegang jawatan
sebagai Ketua Panitia Sejarah pada tahun 2019 sehingga 2020 dan guru kelas Tahun 2 pada
tahun ini.

Guru seterusnya yang saya temu bual untuk tugasan ini ialah guru kedua yang saya
namakan sebagai Guru B. Guru B pula merupakan seorang guru lelaki yang berumur 36
tahun dan beliau telah berkhidmat sebagai seorang guru selama 11 tahun. Beliau telah
menamatkan pengajian pada tahun 2011 dan merupakan graduan lepasan Ijazah Sarjana
Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Selepas beliau menamatkan pengajian, beliau terus mendapat peluang bekerja sebagai
seorang guru subjek Pendidikan Islam di sebuah sekolah rendah di Selangor dan sekarang
beliau telah berkhidmat di sekolah itu selama 11 tahun bermula dari tahun 2012 sehinggalah
sekarang. Di sekolah itu, Guru B pernah memegang beberapa jawatan seperti Ketua Panitia
Pendidikan Islam, Penyelaras Program Khatam Al-Quran dan Ketua Unit Badan Beruniform
Kadet Remaja Sekolah.

2. ANALISIS DATA KUALITATIF

1. Akauntabiliti
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, akauntabiliti didefinisikan sebagai sifat
bertanggungjawab kepada seseorang atau terhadap sesuatu tindakan, keputusan serta bersedia
memberikan penjelasan atau justifikasi yang diperlukan.
Guru A dan Guru B memberi maklum balas yang positif berdasarkan akauntabiliti
bagi Guru Besar mereka. Kedua-dua guru menyatakan Guru Besar di sekolah mereka
bertanggungjawab untuk memantau dan menilai kualiti pengajaran di sekolah. Menurut Guru
A, “...Guru Besar akan membuat pemantauan terhadap guru di dalam kelas dan melihat guru
itu mengajar bagi memastikan guru membuat persediaan mengajar yang sepatutnya di dalam
kelas.” Manakala menurut Guru B pula, “...Kebiasaannya, Guru Besar akan memantau kualiti
pengajaran guru berdasarkan keputusan murid di dalam pentaksiran yang dijalankan. Adapun
di sekolah kami, Penolong Kanan Akademik akan sentiasa melaksanakan “observe” terhadap
guru di sekolah sebanyak 2 kali setahun bagi melihat dan membaiki kelopongan sewaktu PdP
oleh guru.”
Selain itu, Guru A dan Guru B memberikan pendapat masing-masing tentang
kemahiran yang perlu ada pada seorang Guru Besar yang menggalas tugas sebagai seorang
pemimpin di sekolah. Guru A berpendapat, “...Pada pendapat saya, sebagai seorang ketua,
beliau haruslah bersikap tegas dan terbuka, sentiasa memberikan contoh yang baik pada anak
buah dan memberikan nasihat serta pandangan secara berhemah.” Seterusnya Guru B pula
berpendapat, “...Kemahiran yang perlu ada dalam diri insan yang bergelar Guru Besar di
sekolah adalah seorang pemimpin itu perlu mengambil berat tentang orang bawahannya tanpa
mengetepikan tugas utamanya di sekolah bagi melahirkan generasi murid yang terbilang pada
suatu hari nanti. Suasana yang baik dan harmoni akan mendorong kepada kualiti kerja yang
positif. Namun, menjadi tanggungjawab Guru Besar untuk bertegas sekiranya ada guru-guru
yang mengambil mudah tentang amanah yang mereka galas sebagai seorang pendidik.

2. Komunikasi

Guru A dan Guru B menunjukkan maklum balas yang positif tentang komunikasi
yang digunakan oleh Guru Besar di sekolah mereka. Guru A dan Guru B menyatakan jenis
saluran komunikasi yang digunakan oleh Guru Besar untuk memastikan guru mendapat
maklumat. Menurut Guru A, “...Guru Besar akan mengadakan mesyuarat bersama guru dan
membincangkan setiap aktiviti bersama selain mendengar pandangan dan cadangan guru-
guru yang lain.” Manakala menurut Guru B, “...Segala maklumat berkenaan program dan
aturcara sekolah akan disampaikan melalui mesyuarat secara bersemuka oleh semua guru
atau secara atas talian melalui aplikasi Telegram. Ianya sangat berkesan kerana kebiasaannya
mesyuarat yang berlangsung adalah tidak terlalu lama dan Guru Besar sentiasa mengingatkan
para guru untuk memeriksa kumpulan Telegram utama yang ditubuh untuk menyebarkan
sebarang maklumat penting tentang sekolah.”
Selain itu, Guru A dan Guru B menyatakan bahawa Guru Besar memberikan maklum
balas yang membina setelah menyelia dan menilai guru dalam pembelajaran bilik darjah.
Sebagai bukti Guru A berkata, “...Guru Besar akan berjumpa dengan guru yang diselia dan
memberikan segala komen dan penambahbaikan sekiranya ada akan diberitahu secara
berhemah.” Manakala Guru B pula berkata, “...Guru Besar atau Penolong Kanan Akademik
sentiasa memberikan respon positif dan ulasan membina kerana mereka sedar bahawa guru-
guru sudah cukup makan garam dalam soal pedagogi di dalam bilik darjah.”
3. Membuat Keputusan

Guru A dan Guru B memberi maklum balas yang positif berkenaan Guru Besar
mereka tentang membuat keputusan dalam kepimpinan di sekolah. Kedua-dua guru
menyatakan Guru Besar di sekolah mereka akan memastikan keputusan yang dibuat di
sekolah selaras dengan visi dan misi sekolah dan ia mencerminkan kerpeluan dan keutamaan
seluruh warga sekolah. Menurut Guru A, “...Setiap keputusan dan cadangan yang dibuat oleh
Guru Besar di sekolah sentiasa mematuhi visi dan misi sekolah. Kecemerlangan juga diambil
kira untuk memastikan kejayaan warga sekolah.” Seterusnya menurut Guru B pula, “...Guru
Besar sentiasa menyampaikan pandangannya dalam nada yang lembut dan baik sekiranya
keputusan sebulat suara guru mempunyai halangan. Beliau akan menyatakan sebab-sebab
mengapa pandangan para guru ditolak tanpa menindas guru.”
Selain itu, Guru A dan Guru B memberi pandangan tentang bagaimana Guru Besar
melibatkan pihak berkepentingan seperti guru, kakitangan, pelajar dan ibu bapa dalam proses
membuat keputusan di sekolah. Guru A berpandangan, “...Guru Besar melibatkan semua
pihak berkepentingan melalui setiap aktiviti yang dibuat di sekolah yang akan melibatkan
semua warga sekolah.” Manakala Guru B pula berpandangan, “...Kebiasaannya, mesyuarat
PIBG adalah medium utama untuk melibatkan semua pihak luar dan dalam sekolah dalam
melontarkan pendapat dan hujah. Bagi murid-murid, pandangan mereka boleh dilontarkan
sewaktu perhimpunan mingguan sekiranya Guru Besar ada bertanya kepada mereka tentang
permintaan atau sebarang persoalan.”

4. Pengurusan Masa

Guru A dan Guru B juga memberi maklum balas yang positif tentang pengurusan
masa Guru Besar mereka dalam menghadapi situasi di sekolah. Kedua-dua guru memberi
pendapat bagaimana Guru Besar di sekolah mereka mengatasi situasi yang melibatkan
cabaran pengurusan masa. Guru A berpendapat, “...Bagi mengelakkan Guru Besar
menghadapi cabaran pengurusan masa, guru-guru perlulah mempunyai perancangan masa
yang sistematik.” Manakala Guru B berpendapat, “...Apabila terdapat begitu banyak program
besar di sekolah, kehadiran Guru Besar amat penting namun ada kalanya, beliau perlu
memilih untuk berada di majlis atau program yang mana satu. Ada kalanya Guru Besar
menyampaikan surat atau nota kecil bagi menyatakan hasratnya untuk hadir namun terpaksa
menghadiri majlis lain yang memerlukan beliau untuk hadir.”
Selain itu, Guru A dan Guru B juga memberi pendapat bagaimana Guru Besar mereka
mengendalikan tugas atau kecemasan yang tidak dijangka yang memerlukan perhatian
segera. Menurut Guru A, “...Guru Besar akan menyelesaikan dengan cara yang sistematik
melalui perbincangan dan menerima pendapat guru-guru lain.” Seterusnya menurut Guru B
pula, “...Pernah sekali kejadian pada Hari Kejohanan Sukan sekolah pada tahun 2022 yang
lalu, hujan dan ribut kilat melanda dengan sangat lebat pada sepanjang pagi tersebut. Pihak
pentadbiran memutuskan untuk membatalkan kejohanan tersebut walaupun majoriti ibu bapa
sudah hadir bagi menyaksikan anak-anak mereka dalam kejohanan tersebut. Namun, bagi
mengubati hati para guru, anak murid serta ibu bapa, persembahan perbarisan dan bermaskot
tetap diteruskan kerana persiapan perbarisan yang cukup hebat disajikan oleh setiap rumah
pasukan pada waktu itu.”

3. PENEMUAN UTAMA DAN KESIMPULAN

Penemuan utama dari segi akauntabiliti adalah kedua-dua Guru A dan Guru B
menegaskan bahawa Guru Besar mempunyai tanggungjawab yang tinggi terhadap kualiti
pengajaran di sekolah dan beliau mengawasi kualiti pengajaran oleh guru di sekolah.
Seterusnya, pendapat Guru A dan Guru B menunjukkan bahawa penglibatan Guru Besar
sekolah dalam memantau dan menilai kualiti pengajaran di sekolah adalah penting untuk
meningkatkan prestasi akademik murid. Selain itu, kemahiran kepimpinan yang diperlukan
oleh seorang Guru Besar seperti menjadi contoh yang baik dan memberikan nasihat serta
pandangan secara berhemah juga dapat mempengaruhi kualiti pengajaran guru-guru di
sekolah.

Seterusnya dari segi komunikasi pula, Guru A dan Guru B menyatakan bahawa Guru
Besar mereka memberikan maklum balas yang membina selepas menyelia dan menilai guru
di dalam bilik darjah. Selain itu, mesyuarat juga digunakan sebagai saluran komunikasi utama
di sekolah mereka, secara bersemuka atau melalui aplikasi Telegram. Penekanan ini
diberikan kepada guru untuk menerima maklumat dan semua aktiviti dibincangkan bersama
dalam sesi mesyuarat. Secara ringkasnya, pemimpin sekolah yang berkesan mesti mempunyai
kemahiran komunikasi dan kepimpinan yang kuat untuk mengawasi kualiti pengajaran guru
dan meningkatkan prestasi akademik murid.

Di samping itu juga, dari segi membuat keputusan ialah Guru Besar sekolah
mempunyai kemahiran kepimpinan yang baik dan berkesan untuk membuat keputusan selaras
dengan visi dan misi sekolah serta melibatkan semua pihak yang berkepentingan dalam
proses tersebut. Selain itu, Guru Besar juga dilihat sebagai seorang pemimpin yang
mempunyai kebolehan menyampaikan pendapatnya dengan nada yang baik dan lembut serta
mewajarkan mengapa pendapat guru ditolak tanpa membuli guru. Seterusnya, Guru Besar
juga melibatkan semua pihak yang berkepentingan dalam setiap tindakan dan keputusan yang
dibuat di sekolah dan menggunakan mesyuarat PIBG dan perhimpunan mingguan sebagai
kaedah utama untuk melibatkan semua pihak di luar dan di dalam sekolah bagi menyuarakan
pendapat dan hujah.
Akhir sekali, penemuan utama dari segi pengurusan masa berkaitan dengan
pandangan dan pendapat Guru A dan Guru B tentang pengurusan masa dan cara Guru Besar
mereka mengendalikan situasi yang melibatkan cabaran pengurusan masa dan tugasan yang
tidak dirancang. Guru A menekankan kepentingan penjadualan yang sistematik untuk
mengelakkan masalah pengurusan masa manakala Guru B pula menunjukkan kepentingan
Guru Besar membuat keputusan yang tepat semasa memilih program atau acara untuk
dihadiri. Selain itu, Guru A menekankan kepentingan berbincang dan berunding dengan
guru-guru lain untuk melaksanakan tugas manakala Guru B memberi contoh situasi di mana
Guru Besar menunjukkan kepekaan terhadap keperluan dan kehendak guru, murid dan ibu
bapa menunjukkan apabila beliau memutuskan untuk meneruskan perbarisan dan bermaskot
pada Hari Kejohanan Sukan di sekolah walaupun kejohanan itu sendiri dibatalkan.

Secara keseluruhannya, kedua-dua Guru A dan Guru B memberikan persepsi dan


maklum balas yang baik terhadap kualiti kepimpinan Guru Besar mereka dari dua buah
sekolah yang berbeza dari segi akauntabiliti, komunikasi, membuat keputusan dan
pengurusan masa.

You might also like