Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 1

KARANGAN BAHAGIAN B

KEPENTINGAN PERPADUAN KAUM DI MALAYSIA

Pendahuluan

Zaman berubah, musim beralih. Fasa demi fasa perubahan dunia telah berlaku. Dalam menongkah arus
globalisasi yang pantas bergolek ini, masyarakat yang semakin diburu oleh masa lebih cenderung kepada kebendaan.
Senario ini telah membawa kepada masalah kerenggangan hubungan antara kaum di negara kita. Isu hubungan antara
kaum yang kian menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum haruslah diatasi sehingga ke akar
umbinya sebelum nasi menjadi bubur. Salah satu pendekatan yang efektif untuk menyelesaikan masalah tersebut ialah
pendedahan pentingnya rakyat yang bersatu padu kepada setiap lapisan masyarakat. Persoalannya yang sering
berlegar-legar di benak minda saya ialah apakah kepentingan perpaduan kaum di Malaysia?

Isi 1: MENJAMIN KEHARMONIAN TANAH AIR


Jawabannya sudah diterang lagi bersuluh. Memang tidak dinafikan bahawa perpaduan kaum merupakan salah
satu anak kunci untuk menjamin keharmonian tanah air kita. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat yang bersatu
padu merupakan satu daripada elemen- elemen yang signifikan dalam sesebuah negara merdeka. Orang tua-tua
pernah berkata bahawa bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Sudah pasti bahawa masyarakat
yang bersatu padu dapat memastikan hal ehwal pentadbiran negara diuruskan dengan licin. Hal ini turut dapat
meningkatkan imej negara kita di persada dunia secara tidak langsung. Pendek kata, semua rakyat mestilah
bersemangat bersatu padu untuk mengekalkan kestabilan negara.

ISI 2: MENJAMIN KEMERDEKAAN DAN KEDAULATAN


Jika dikaji dari persepsi yang berbeza, akan kita dapati bahawa kemerdekaan dan kedaulatan negara kita akan
terjamin sekiranya rakyat menitikberatkan perpaduan kaum. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat yang
bermuafakat akan saling bertolak ansur dan menghormati. Sekiranya rakyat yang berbilang etnik dan budaya hanya
bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing, peristiwa hitam negara kita yakni rusuhan kaum
yang pernah berlaku pada 13 Mei 1969 akan diulangi. Oleh hal yang demikian, rakyat jelata sama ada dewasa ataupun
golongan muda mestilah mengambil iktibar sejarah negara kita dan mempraktikkan konsep perpaduan agar tidak
berlaku sebarang permusuhan.

ISI 3 MENGUKUHKAN EKONOMI NEGARA


Akhirulkalam, masyarakat yang perpaduan berpotensi untuk mengukuhkan lagi ekonomi negara dengan
penglibatan semua kaum dalam kegiatan ekonomi. Rakyat yang bersatu padu akan menggembleng tenaga mengerah
keringat bagi memastikan pembangunan negara dijalankan dengan lancar. Tambahan pula, masyarakat majmuk negara
turut merupakan salah satu daya tarikan pelancongan sama ada pelancong tempatan ataupun pelancong serantau.
Asas perpaduan yang kukuh dan kebudayaan yang unik di samping kepelbagaian adat resam yang membentuk identiti
sesebuah masyarakat dapat memikat hati pelancong untuk berkunjung ke negara kita. Perkara ini diibaratkan sebagai
serampang dua mata kerana bukan sahaja ekonomi negara kita akan diperkukuh, bahkan juga nama negara kita turut
diharumkan di seantero dunia secara tidak langsung. Tegas kata, perpaduan kaum mendukung peranan yang tidak
kurang pentingnya dalam pembangunan ekonomi negara kita.

PENUTUP
Sebagai penghias bicara akhir, masyarakat yang bersatu padu telah banyak membawa manfaat kepada negara
kita dalam pelbagai aspek. Setiap lapisan masyarakat mestilah berganding bahu umpama ke bukit sama didaki, ke lurah
sama dituruni dalam usaha mendarah dagingkan semangat perpaduan supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek
panas. Dengan adanya penggemblengan tenaga semua pihak, nescaya hubungan antara kaum akan dieratkan lagi demi
mengekalkan kedamaian negara supaya negara kita mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara
maju yang lain. Janganlah kita hanya bersikap hangat-hangat tahi ayam kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan
berbunyi. Lantaran itu, semangat perpaduan di negara kita hendaklah dipertahankan oleh semua rakyat agar visi kudsi
kerajaan yakni Wawasan Bersama 2030 dapat dihasratkan.

You might also like