INSTITUSI-INSTITUSI ISLAM PENDIDIKAN, SIASAH DAN KEHAKIMAN Edisi Pelajar

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 18

8.0 INSTITUSI-INSTITUSI ISLAM.

8.1 INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM.

DEFINISI INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM.

1. Definisi Institusi bermaksud organisasi yang ditubuhkan untuk tugas tertentu seperti
pendidikan, penyelidikan saintifik dan lain-lain.
2. Pendidikan menurut Islam ialah satu proses berterusan untuk merubah, melatih dan mendidik
akal jasmani dan rohani manusia berdasarkan nilai-nilai Islam yang bersumberkan wahyu bagi
melahirkan insan yang bertaqwa dan mengabdikan diri kepada Allah Taala untuk
mendapatkan kejayaan di dunia dan akhirat.
3. Institusi pendidikan Islam bermaksud organisasi yang ditubuhkan untuk melaksanakan
pendidikan Islam.

PERKEMBANGAN AWAL INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM ZAMAN RASULULLAH ‫ﷺ‬.

1. Rumah Dar al -Arqam merupakan tempat pendidikan awal yang diperkenalkan ketika Islam
mula berkembang di Mekah. Rasulullah ‫ ﷺ‬menggunakan rumah Arqam bin Abi al-Arqam
sebagai tempat pertemuan dan pengajaran agama secara sulit selama tiga tahun.
2. Di Dar al-Arqam, Rasullah ‫ ﷺ‬mengajar wahyu yang telah diterima baginda kepada kaum
muslim. Baginda memberikan penerangan serta motivasi untuk kekuatan iman mereka.
Baginda juga membimbing mereka menghafal, menghayati dan mengamalkan ayat- ayat Al-
Quran yang diturunkan kepada baginda ‫ﷺ‬.
3. Perkembangan institusi pendidikan dan pengajian pada zaman-zaman berikutnya
menyaksikan kewujudan institusi yang dicatatkan oleh sumber sejarah Islam sebagai institusi
pendidikan dan pengajian dalam Islam seperti masjid, kuttab dan institusi pengajian tinggi.
INSTITUSI PENDIDIKAN ZAMAN AWAL ISLAM

Bil Institusi Huraian

1. Masjid a) Masjid adalah satu-satunya institusi tertua untuk mempelajari berbagai ilmu
pengetahuan.
b) Selain daripada tempat beribadat, ia juga tempat penyebaran dakwah dan
ilmu Islam, tempat menyelesaikan masalah masyarakat, menerima duta-
duta, pertemuan pemimpin-pemimpin, tempat bersidang, kegiatan sosial
untuk kebajikan ummat dan juga madrasah untuk mempelajari ilmu agama
khususnya ilmu fardhu ain.
c) Di antara masjid yang terkenal ialah Masjid Nabawi dan masjid Quba’ di
Madinah, Jamie’ Amru dan Jamie’ Ibnu Thulun di Kaherah.
d) Pembelajaran di masjid merangkumi ilmu-ilmu agama seperti Tafsir, Hadith,
Al-Quran, Ilmu Kalam, Fiqh, Falsafah dan lain-lain.
e) Pembelajaran di masjid dijalankan dalam sistem halaqah di mana murid
duduk dalam satu bulatan dan mereka mengelilingi guru.
f) Di sesebuah masjid, terdapat beberapa halaqah. Pelajar tidak boleh memilih
halaqah yang disukai mereka tetapi sebaliknya keupayaan mereka akan
dinilai terlebih dahulu untuk membolehkan mereka memasuki halaqah yang
sesuai. Contohnya, Imam Syafi’i sendiri terpaksa ditemuduga terlebih dahulu
sebelum beliau dibenarkan mengikuti halaqah Imam Malik bin Anas.

2. Suffah a) Suffah ialah ruang atau bangunan surau yang bersambung dengan masjid.
Suffah juga merujuk kepada tempat untuk memberikan perkhidmatan
kepada masyarakat seperti memberi perlindungan kepada orang-orang fakir
dan perantau. Antara sahabat yang pernah berlindung dalam al-Suffah ialah
Abu Hurairah Radiallahu anhu.
b) Al-Suffah boleh dilihat sebagai sebuah sekolah kerana kegiatan pengajaran
dan pembelajaran dilakukan secara sistematik dan teratur.
c) Pembelajaran di Al-Suffah bukan setakat mempelajari Al-Quran pada waktu
malam sahaja akan tetapi juga mempelajari cara menulis dan ilmu-ilmu yang
lain pada waktu siang.
d) Rasulullah ‫ ﷺ‬telah melantik para sahabat yang berkebolehan untuk menjadi
guru dan juga memerintahkan orang-orang tawanan Badar yang pandai
menulis dan membaca supaya tiap-tiap seorang dari mereka mengajar
sepuluh orang kanak-kanak muslim di Madinah sehingga pandai bagi
menebus diri mereka dari menjadi tawanan perang.
e) Contohnya, Masjid Nabawi yang mempunyai suffah yang digunakan untuk
majlis ilmu.

3. Al-Kuttab a) Al-Kuttab ditubuhkan oleh orang Arab sebelum kedatangan Islam lagi
bertujuan untuk memberikan pendidikan asas kepada kanak-kanak di
peringkat rendah seperti membaca dan menulis sahaja.
b) Al-Kuttab merupakan ruang atau bilik kecil atau khemah yang dibina
berhampiran dengan masjid dan keluasannya semakin bertambah mengikut
keramaian murid-muridnya.
c) Objektif utama penubuhan al-Kuttab ialah menghafal Al-Quran dan belajar
menulis. Guru yang mengajar di Kuttab itu mestilah hafal Al-Quran juga
mengetahui ilmu-ilmu ugama yang lain seperti bahasa, adab dan lain-lain.
d) Kewujudan al-Kuttab memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mendapat
pelajaran asas sebelum mereka boleh mengikuti pelajaran di masjid-masjid.
e) Selepas kurun kedua hijrah bilangan al-Kuttab dan tenaga pengajarnya
semakin bertambah.
f) Antara Kuttab yang terbesar ialah Kuttab Abil Qasim Al-Balki di Baghdad yang
boleh menampung kira-kira tiga ribu orang murid sekaligus.
g) Ada pendapat mengatakan bahawa terdapat dua jenis al-Kuttab iaitu:
i. Al-Kuttab yang dikhususkan untuk orang-orang kebanyakan. Mereka
membayar yuran pengajian anak-anak mereka
ii. Al-Kuttab yang disediakan untuk anak-anak orang miskin yang
disebut sebagai Kuttab al-Sabil. Institusi ini menyediakan pendidikan
percuma kepada kanak-kanak.

INSTITUSI PENDIDIKAN ZAMAN PERKEMBANGAN ISLAM.


Zaman kemuncak perkembangan kegiatan intelektual Islam berlaku pada era pemerintahan
Bani Abbasiyyah. Pada masa ini, intitusi pengajian tinggi meliputi masjid, institusi al-Nizamiyah dan
institusi al-Mustansiriyah.

Bil Institusi Huraian

a) Pembinaan perpustakaan bercambah dengan banyaknya di masjid-masjid di


1. Baitul
Baghdad, Andalusia dan Mesir.
Hikmah
b) Antaranya ialah perpustakaan yang dinamakan Bait al-Hikmah di Baghdad
yang telah diasaskan oleh Khalifah Harun al-Rasyid dan diperkembangkan
oleh Khalifah al-Ma’mun.
c) Semasa zaman Khalifah Islam, perpustakaan ini menyimpan buku-buku
tentang ilmu mantiq dan ilmu wahyu dalam pelbagai bahasa seperti bahasa
Arab, Yunani, Parsi, Seryani dan bahasa-bahasa benua India.

a) Penyebaran ilmu pada zaman Abbasiah berlaku begitu pesat sekali


2. Rumah-
sehinggakan orang ramai boleh datang sendiri ke rumah-rumah ulama’
Rumah
untuk menuntut ilmu secara langsung dari mereka.
Ulama’ Dan
b) Contohnya Ibnu Sina yang membukakan rumah beliau untuk orang ramai
Istana
tetapi pada waktu malam sahaja kerana pada siang harinya beliau sibuk
Khalifah
mengubati pesakit. Begitu juga Imam Ghazali di mana orang ramai sering
datang ke rumahnya untuk mengambil ilmu dan mempelajari kitab-kitab
yang terdapat di rumah beliau.
c) Sebelum sekolah berkembang, rumah-rumah ulama dan istana pembesar-
pembesar adalah tempat berkumpulnya ulama.

3. Madrasah a) Madrasah Baihaqiyah madrasah yang pertama didirikan oleh penduduk


Naisabur iaitu pada kurun ke-5 hijrah.
b) Madrasah tidak banyak bezanya dengan masjid dari segi reka bentuk
bangunannya kecuali dengan penambahan dewan untuk belajar.
c) Kurikulum yang dilaksanakan termasuk subjek-subjek agama dan juga ilmu
Hisab, Tarikh, Adab dan sebagainya.

4.
Pondok a) Pondok atau pesantren bebelum kedatangan Islam di Asia Tenggara,
Atau pendidikan terbatas kepada golongan bangsawan sahaja.
Pesantren b) Selepas kedatangan Islam, pendidikan disebarkan melalui istana, pondok
(pesantren), madrasah dan surau.
c) Sistem persekolahan pondok ini telahpun muncul seawal kedatangan Islam
di Asia Tenggara iaitu sejak abad ketujuh.
d) Pusat penganjian Islam ini tumbuh dengan meluasnya di Pattani, Tanah
Melayu dan juga Acheh. Di Tanah Melayu dan Pattani ia di kenali sebagai
pondok yang bermaksud hotel atau asrama manakala di Indonesia ia dikenali
sebagai pesantren yang diambil dari bahasa Sanskrit iaitu san bererti orang
baik dan tra bermaksud suka menolong.
e) Fizikal asal pondok ini ialah pondok atau rumah kecil yang beratapkan
rumbia atau nipah biasanya terletak di bawah pokok yang rendang sahaja.
f) Subjek-subjek yang diajarkan termasuk Fiqh, Usuluddin, Tasawwuf, Hadith
dan Tafsir. Manakala bahasa penghantarnya ialah bahasa Arab dan Melayu.
Antara pondok yang masih terkenal hingga kehari ini ialah Pondok Bunut
Patong di Kelantan Malaysia dan Pondok Moden Darussalam Gontor di
Bogor.

5. Sekolah a) Sekolah di anggap sebagai institusi pendidikan formal yang utama dan
merupakan satu sistem pendidikan yang tersusun.
b) Persekolahan yang mengajar pendidikan Islam khususnya di Asia Tenggara
berbeza antara satu negara dengan yang lain.
c) Sekolah-sekolah yang didirikan khusus untuk pengajian Islam biasanya
memfokuskan kurikulum untuk mendalami pengajian Islam dan
kebanyakkannya menggunakan bahasa pengantar Bahasa Arab dengan
lanjutan sastera Arab.
d) Sesetengah sekolah menjalankan polisi pendidikan yang memfokuskan
kepada pengajian Islam sahaja dan sebahagian yang lainnya menjalankan
polisi bersepadu dengan mengajarkan bidang akademik di samping
pengajian Islam.
INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI ISLAM.

1. Semakin berkembang sesebuah Negara Islam maka semakin meningkat juga perkembangan
pendidikan Islamnya.
2. Perubahan zaman dan tuntutan masyarakat, pertumbuhan institusi sekolah dan
berkembangnya pemikiran Islam adalah antara faKtor yang menyebabkan tumbuhnya
institusi pengajian tinggi Islam samada universiti, kolej universiti, institute ataupun peringkat
maktab.
3. Selain daripada pengajian Islam institusi berkenaan juga mulai menumpukan pengajian
kepada disiplin-disiplin akademik yang diperlukan oleh masyarakat dan ummah Islam.
4. Gagasan Islamisasi Ilmu juga memberikan perubahan kepada falsafah dan system institusi
berkenaan dengan menawarkan kursus-kursus akademik yang berasaskan kepada prinsip-
prinsip Islam. Selain daripada Universiti Al-Azhar, telah muncul begitu banyak institusi
pengajian tinggi Islam di Timor Tengah, di Barat dan juga di Nusantara.
5. Walaupun masjid turut berfungsi sebagai institusi pengajian tinggi, namun tidak melibatkan
semua masjid. Antara masjid yang terlibat hanyalah masjid-masjid besar. Misalnya di Baghdad
hanya terdapat enam buah masjid besar sahaja yang menawarkan pengajian lanjutan.

Bil Institusi Huraian

1. Institusi al- a) Pada asalnya institusi ini merupakan sebuah masjid yang dibina oleh
Azhar kerajaan Fatimiyyah.
b) Pembinaannya diasaskan pada tahun 361 H / 970 M dan dibuka kepada
umum pada tahun 361 H.
c) Institusi ini menawarkan tiga kursus pengajian yang utama iaitu kursus
pengajian Al-Quran dan Tafsir, kursus pengajian ilmu feqah dan kursus
pengajian dakwah.
d) Kursus lain yang turut ditawarkan ialah ilmu tatabahasa dan sastera Arab,
ilmu mantik, ilmu hisab dan ilmu falak.

2. Institusi al- a) Nama institusi al-Nizamiyyah diambil daripada nama pengasasnya iaitu
Nizamiyyah Nizam al-Muluk. Beliau ialah Perdana Menteri kepada Sultan Alp Arslan
dan Sultan Malik Shah iaitu pemerintah Saljuk.
b) Institusi ini telah dibuka secara rasmi pada tahun 459 H.
c) Institusi al-Nizamiyyah menyediakan tiga fakulti utama iaitu Fakulti
Syariah, Fakulti Usuluddin dan Fakulti Sains Kemanusiaan.
d) Setiap fakulti mempunyai pensyarah utama yang dibantu oleh beberapa
pembantu atau penolong pensyarah. Pensysrah utama
bertanggungjawab menyampaikan kuliah manakala pembantu
pensyarah pula akan mengendalikan tutorial bagi setiap kuliah yang
disampaikan.
e) Antara pensyarah yang pernah berkhidmat di institusi ini ialah Abu Ishak
al-Shirazi, merupakan seorang professor undang-undang. Pensyarah lain
ialah Imam Abu hamid al-Ghazali (bidang Usuluddin) dan Baha’al-Din bin
Shaddad (bidang Sejarah)

3. Institusi al- a) Institusi al-Mustansiriyah dibina pada tahun 625 H.


Mustansiriyah b) Iinisiatif penubuhannya dilakukan oleh Khalifah al-Mustansir bin al-
Zahir, khalifah Kerajaan Abbasiyyah yang ke-36.
c) Institusi ini ditubuhkan kerana wujudnya masyarakat yang berbilang
mazhab di Baghdad pada masa itu. Walaupun institusi al-Nizamiyyah
sudah dibina, ia sebenarnya lebih mengkhusus kepada golongan mazhab
Syafi’i sahaja.
d) Pada peringkat awal beroperasi, institusi ini hanya mempunyai 62 orang
pelajar.
e) Institusi al-Mustansiriyah menawarkan peluang pengajian dalam bidang
Ulum Adabiyyah (tatabahasa, fisiologi, penulisan dan sastera), Ulum
Riyadiyyah (ilmu hisab, algebra, hindasah dan masahah), Ulum Aqliyyah
(falsafah, ilmu kalam dan logik), Ulum Tabi’iyyah (perubatan, farmasi
dan botani) dan Ulum Dinniyyah (pengajaran al-Quran dan hadis).

PERANAN INDIVIDU, KELUARGA, MASYARAKAT DAN NEGARA DALAM PENDIDIKAN.


1. Individu.
a) Sebagai pelajar, seseorang individu itu berhak untuk mendapat pendidikan yang
selayaknya. Adalah menjadi tanggungjawab keluarga, masyarakat dan Negara
memastikan hak ini dapat dikecapi oleh setiap individu.
b) Setiap individu yang bergelar pelajar wajib memanfaatkan peluang yang diperolehi untuk
belajar bersungguh-sungguh hingga ke tahap yang tertinggi.

2. Keluarga.
a) Keluarga khususnya ibu bapa merupakan institusi pendidikan terpenting dalam
pembentukan keperibadian muslim yang soleh.
b) Keluarga mempunyai peranan yang lebih penting daripada kerana tali perhubungan yang
rapat dengan kanak-kanak (ahli keluarga), lebihan masa bersama serta pergaulan yang
lebih mesra selain kewajipan dan pemberian hak pendidikan kepada anak-anak.
c) Pendidikan yang berlaku di sekolah adalah terhad kepada pengajaran pengetahuan asas
dan bimbingan yang amat terbatas dalam waktu yang singkat.
d) Penghayatan ajaran-ajaran Islam dalam keluarga diperaktikkan dengan berkesan mulai
dari bangun tidur hinggalah kanak-kanak kembali untuk tidur. Pengetahuan dan
penghayatan ajaran Islam perlu dimiliki oleh setiap ibu bapa kerana merekalah yang akan
menjadi qudwah ikutan serta pembimbing sebenar kepada aktiviti anak-anak mereka.
e) Pola kehidupan keluarga biasanya mempengaruhi tindak tanduk anak-anak. Jika soleh
aktiviti keluarga maka akan lahirlah anak-anak yang soleh dan begitulah sebaliknya
sebagaimana perkara ini jelas dalam Hadith Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam.

3. Masyarakat.
a) Setiap unit dalam masyarakat merupakan sumber kepada penyerapan nilai-nilai Islam
melalui informasi, komunikasi, interaksi dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan. Interaksi
individu dengan unit-unit dalam masyarakat biasanya memberikan refleksi kepada
keperibadiannya baik dalam tingkah laku, tindakan begitu juga aliran fikiran dan semangat
kekitaan.
b) Media dan aktiviti masyarakat yang menjurus kepada pendidikan taqwa akan membawa
ahli masyarakat kepada ketaqwaan sementara pengaruh yang negative dan nafsu nafsi
akan mendidik ahli masyarakat kepada lalai dan kemungkaran.

4. Negara dan pemerintah.


a) Pemerintah bertanggungjawab menyediakan peluang pendidikan kepada semua rakyat.
Mereka bertanggungjawab memastikan keciciran dalam pendidikan tidak berlaku
b) Pemerintah perlu menubuhkan lebih banyak institusi pendidikan dalam pelabagai bidang
serta dilengkapi dengan prasarana yang mencukupi.
c) Pemerintah juga wajar menyediakan dana untuk membiayai pendidikan rakyatnya
terutamanya golongan miskin dan berpendapatan rendah.

PERKEMBANGAN INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM DI MALAYSIA.

Pada asasnya bermula di dalam istana apabila raja Melayu yang terawal memeluk Islam iaitu Sultan
Melaka yang pertama, Parameswara atau nama Islamnya Iskandar Shah. Beliau telah menjemput
ramai alim ulamak untuk mengajar Islam di istana.

Pengajaran ini turut diikuti para pembesar istana dan rakyat jelata yang telah memeluk Islam.
Kedudukan istana sebagai pusat pengajian dan penyebaran Islam ini berterusan sehinggalah
kedatangan penjajah Inggeris pada abad ke-18 Masihi.

Peranan ini diambil alih oleh institusi pondok (sangat abad ke-19 dan awal abad ke-20). Antara
sekolah pondok yang terkenal ketika itu ialah Pondok Pasir Tumbuh di Kelantan, Pondok Lubuk
Tapah, Pasir Mas Kelantan dan Pondok Lanai di Baling Kedah. Para lulusan pondok keluar sebagai
individu penting yang mengetuai banyak institusi kemasyarakatan di Tanah Melayu pada ketika itu
seperti institusi masjid, pejabat serta jabatan agama.

Semenjak tahun 1970-an, kegemilangan institusi pondok mulai pudar. Ia diambil alih oleh institusi
madrasah atau sekolah agama atau Arab. Banyak institusi pondok telah ditukar kepada sistem
sekolah Arab. Namun begitu, ia juga menerima banyak mata pelajaran moden dengan sistem
kurikulum yang terancang. Malah sekolah-sekolah ini juga menerima sistem penilaian peperiksaan
yang dianjurkan Kementerian Pelajaran Malaysia seperti PMR, SPM dan STAM.

Dari segi kawalan dan pembiayaan, ada sekolah agama Arab yang tidak dikawal oleh kurikulum
pendidikan yang disediakan oleh kerajaan. Dengan itu, mereka tidak diberi bantuan kewangan.
Sekolah-sekolah dalam kategori ini dikenali sebagai Sekolah Agama Rakyat (SAR). Sekolah ini
walaupun mempunyai sistem pengajian tertentu, menerima beberapa mata pelajaran moden dalam
kurikulumnya dan mengambil peperiksaan PMR, SPM dan STAM, namun oleh kerana tidak mendapat
mendapat bantuan kewangan maka kemudahan institusi ini serba kekurangan.

Kategori kedua ialah sekolah agama Arab yang mendapat bantuan penuh kerajaan dan diserap dalam
sistem pendidikan nasional sebagai rangkaian sekolah-sekolah kerajaan. Sekolah-sekolah ini
mempunyai nasib yang lebih baik dari segi infrastruktur, pemantauan dan kewangan. Selain itu,
kerajaan juga menambah sekolah-sekolah agama yang menjadikan mata pelajaran agama dan bahasa
Arab sebagai subjek teras. Sekolah-sekolah ini ditubuhkan pada peringkat menengah yang dikenali
sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan
(SABK).

Pada peringkat pengajian tinggi pula terdapat banyak institusi pengajian tinggi Islam yang telah
ditubuhkan bagi menampung pertumbuhan pelajar daripada aliran Arab ini. Antara institusi tersebut
ialah Universiti Islam Antarbangsa (UIAM), Universiti Sains Islam Malaysia (KUIM), Kolej Universiti
Sultan Zainol Abidin (KUSZA), Universiti Darul Iman (UDI), Kolej Univerisiti INSANIYYAH, Kolej Islam
Yayasan Kelantan (KIYAS), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan lain-lain lagi. Selain mempunyai
bidang pengkhususan keagamaan seperti Syariah, Usuluddin, Dakwah, dan sebagainya, institusi ini
turut menawarkan pengajian akademik dan profesional yang lain seperti perubatan, kejuruteraan,
perakaunan, ekonomi, undang-undang dan lain-lain lagi.

Selain daripada institusi pengajian tinggi Islam yang khusus, bidang pengajian Islam turut dimasukan
dalam institusi awam lain seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Teknologi
Malaysia (UTM). Dalam universiti-universiti ini ditubuhkan fakulti atau jabatan yang menjadikan
subjek pengajian Islam sebagai kursus teras yang ditawarkan sepanjang semester.

8.2 INSTITUSI SIASAH ISLAM.

DEFINISI INSTITUSI SIASAH ISLAM.


1. Siasah dari segi Bahasa bermaksud pentadbiran yang baik dan melakukan sesuatu yang boleh
memberikan kebaikan kepada manusia.
2. Dari segi istilah, siasah merujuk pentadbiran oleh manusia untuk mencapai maslahat, mentadbir
urusan dan mengelakkan mudarat daripada menimpa manusia.
3. Sistem siasah ialah satu himpunan kaedah dan hukum syarak yang menyusun urusan negara, hal
ehwal perundangan dan pentadbiran, serta hak individu dan kebebasannya.
4. Institusi siasah dalam Islam adalah merujuk kepada rajah berikut:

Institusi Siasah

Khilafah Syura Hisbah

Imamah Imarah

KHILAFAH.
1. Khilafah dari segi bahasa bermaksud penggantian. Manakala, institusi khilafah bermaksud
institusi pemerintahan dan pentadbiran yang menggantikan Rasulullah ‫ ﷺ‬dalam
melaksanakan tanggungjawab agama, menyeru kepada kebaikan dan melaksanakan syariah
yang diperintahkan oleh Allah SWT. dan Rasul-Nya di atas muka bumi. Orang yang menduduki
institusi khilafah ini dikenali sebagai khalifah yang bermaksud pengganti.
2. Dari segi falsafahnya, institusi khilafah mempunyai tugas dan tanggungjawab yang sama
seperti tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh Rasulullah ‫ﷺ‬. Perbezaan tunggal antara
kerasulan dan kekhilafahan hanyalah para rasul menerima wahyu daripada Allah SWT
sedangkan para khalifah tidak menerima wahyu. Namun begitu, oleh kerana mereka terdiri
daripada orang yang paling rapat dengan Rasulullah ‫ ﷺ‬semasa hayat Baginda, maka mereka
berupaya memahami segala rahsia-rahsia syariat dan falsafah pemerintahan Islam dan
mampu memerintah dan mentadbir masyarakat seperti yang dikehendaki oleh Allah dan
rasul-Nya.
3. Sekalipun para khalifah dianggap sebagai para pengganti Rasulullah ‫ﷺ‬, mereka tidak
dianggap sebagai orang yang boleh mengatasi undang-undang dan tidak boleh ditegur.
Mereka juga tertakluk kepada sistem undang-undang yang sama seperti yang dikenakan ke
atas rakyat biasa. Mereka mestilah ditegur dan diperbetulkan jika mereka melakukan
kesalahan.
4. Dalam sejarah Islam, khalifah yang paling utama ialah para khalifah yang kenali sebagai al-
Khulafa’ al-Rasyidin, iaitu para khalifah yang sentiasa berada di atas kebenaran yang
ditunjukkan oleh Rasulullah ‫ﷺ‬. Al-Khulafa’ al-Rasyidin terdiri daripada empat orang khalifah
iaitu Abu Bakar r.a., Umar r.a., ‘Uthman r.a. dan Ali r.a. Para Khulafa’ al-Rasyidin ini dilantik
sama ada mengikut persetujuan orang ramai atau secara cadangan oleh khalifah sebelumnya
atau secara syura.
5. Selepas zaman pemerintahan empat orang Khulafa’ al-Rasyidin ini, muncul pula para khalifah
yang dilantik berdasarkan pewarisan seperti yang berlaku pada zaman pemerintahan Bani
Umaiyah dan Bani Abbasiyah.

IMAMAH.
1. Imamah bererti kepimpinan manakala orang yang memimpin dikenal sebagai Imam
2. Dalam Islam, terdapat dua peringkat imamah iaitu:
i. Imamah dalam solat.
ii. Imamah dalam pemerintahan.
3. Walaupun kedua-duanya berbeza dari segi keluasan dan skop maknanya, namun kedua-
duanya mempunyai persamaan dari aspek falsafah dan ciri.
4. Dalam aspek falsafah, kedua-duanya bertujuan memastikan sesebuah masyarakat atau
organisasi dapat berjalan dengan teratur, berkesan dan mencapai matlamat utamanya iaitu
keredhaan Allah di dunia dan di akhirat.
5. Seorang imam yang baik bertanggungjawab memastikan pengikutnya dapat menunaikan
kewajipan masing-masing kepada Allah SWT secara yang terbaik seperti yang dikehendaki
oleh Allah SWT dan RasulNya.

IMARAH.
1. Imarah bererti kerajaan. Manakala orang yang menduduki tempat imarah itu pula dikenali
sebagai amir atau raja.
2. Dari segi konsepnya, institusi imarah lebih umum daripada institusi khilafah dan institusi
imamah. Ini kerana imarah bererti mentadbir urusan ahli masyarakat secara adil seperti yang
dikehendaki oleh Allah SWT. dan Rasul-Nya.
3. Namun, dalam pengertian yang khusus, institusi imarah lebih merujuk kepada sistem
pemerintahan beraja. Dalam sejarah, institusi imarah biasanya berdasarkan sistem
kekeluargaan iaitu jawatan amir diwarisi secara pusaka daripada ayah kepada anak dan
seterusnya.
4. Menurut Islam, jika pemerintahan berdasarkan institusi beraja ini dapat dijalankan dengan
baik dan licin serta mampu menjamin keadilan dan kebajikan kepada masyarakat, maka Islam
tetap mengiktirafnya.
5. Dalam sejarah Islam, sistem imarah pernah berlaku terutamanya dalam zaman pemerintahan
Bani Umaiyah, Bani Abbasiyah dan beberapa kerajaan Islam di India dan Asia Tenggara.
Kaedah pemilihan amir yang berlaku pada zaman kerajaan-kerajaan tersebut ialah secara
pewarisan dan kekeluargaan.
6. Namun begitu, sistem beraja ini mestilah juga tunduk kepada prinsip-prinsip pemerintahan
Islam. Raja tidak sama sekali mengatasi undang-undang. Dia juga tunduk kepada undang-
undang dan hukuman yang sama seperti yang dikenakan kepada rakyat jelata. Selain itu, raja
juga tidak sama sekali memiliki kuasa mutlak sehingga tidak boleh ditegur dan dibantah. Raja
adalah manusia biasa yang dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah melaksanakan
perintah Allah di muka bumi secara adil dan saksama.

SYURA.
1. Perkataan syura berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud meminta pendapat dan
persefahaman dalam perundingan.
2. Dari segi istilah, syura ialah permesyuaratan dalam segala hal yang berkaitan dengan
kepentingan dan kebajikan berdasarkan keimanan dan ketaqwaan.
3. Dalam pentadbiran Islam, syura telahpun diamalkan sejak zaman pemerintahan Rasulullah ‫ﷺ‬
dan diteruskan pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin.
4. Pada zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar, syura dijalankan secara terbuka dimana tiada
satu badan atau majlis khas yang ditubuhkan untuk melakukan syura.
5. Walau bagaimanapun, pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab, beliau telah
membentuk satu badan khas yang dikenali majlis syura yang mempunyai ahli-ahli yang
tersendiri.
6. Pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab misalnya, anggota majlis syura terdiri
daripada enam orang sahabat kanan yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah ‫ﷺ‬. iaitu
Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaydillah, al-Zibayr bin al-‘Awwam, Abdul
Rahman bin Awf dan Saad bin Abi Waqqas.
7. Peranan Majlis Syura:
a) Melakukan pemilihan ketua negara.
b) Mendekatkan rakyat dengan pemerintah.
c) Menegakkan dan menyebarkan agama Islam.
d) Sebagai penasihat dalam kepimpinan Islam.
e) Membentuk akhlak mulia dalam kepimpinan.
HISBAH.
1. Hisbah merujuk kepada satu bentuk jentera pengawasan.
2. Hisbah adalah perkataan Arab yang membawa maksud meneliti, mentadbir, menghitung,
meninjau, mencegah dan menahan manusia.
3. Menurut syarak, hisbah ialah amalan yang dipertanggungjawabkan untuk meninjau,
mentadbir, menyelaras dan memastikan setiap pekerjaan adalah mengikut lunas-lunas Islam
dengan mengamalkan amar makruf nahi mungkar.
4. Hisbah mempunyai empat rukun yang terdiri daripada:
a) Muhtasib iaitu pegawai penguatkuasa yang menjalankan tugas-tugas hisbah sama ada
dilakukan sendiri atau dilantik secara rasmi.
b) Muhtasab ‘Alaih iaitu golongan yang dikenakan tindakan hisbah atas kesalahan yang
dilakukan tanpa sebarang pengecualian.
c) Muhtasab fil iaitu perkara yang menjadi fokus atau topik utama hisbah (amar makruf
dan nahi mungkar).
d) Ihtisab iaitu tindakan yang diambil terhadap orang yang terlibat dalam hisbah meliputi
tindakan ringan seperti peringatan atau makluman sehinggalah hukuman berat seperti
sebatan.
5. Dalam pemerintahan Islam, hisbah telah wujud sejak zaman Rasulullah ‫ ﷺ‬lagi. Namun,
baginda tidak menggunakan istilah al-Muhtasib untuk orang yang dipertanggungjawabkan
melakukan pengawasan tersebut.
6. Misalnya baginda pernah melantik Sa’id bin al-‘As untuk melakukan pengawasan terhadap
kegiatan perniagaan di Makkah dan Umar al-Khattab di Madinah.
7. Pada zaman Khulafah al-Rasyidin, khalifah sendiri pernah bertugas sebagai al-Muhtasib
sepertimana yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab.

8.3 INSTITUSI KEHAKIMAN ISLAM.

DEFFINISI INSTITUSI KEHAKIMAN ISLAM.


1. Kehakiman atau al-qada’ dari segi bahasanya bermaksud menghukum, menyelesaikan,
menetapkan, memutuskan dan mencegah.
2. Dari sudut syarak pula bermaksud menyelesaikan perbalahan dan pertelingkahan yang
berlaku antara manusia berasaskan syariah Islam.
3. Institusi kehakiman merupakan satu institusi penting dalam sesebuah pemerintahan Islam.
Dalam sebuah sistem perundangan, ia merupakan elemen kunci yang menjamin kejayaan
sesebuah sistem perundangan.
4. Rasulullah ‫ ﷺ‬pernah bertindak sebagai seorang hakim bagi membicarakan pertelingkahan
yang berlaku dalam kalangan anggota masyarakat. Selain itu, Baginda juga pernah mengirim
para sahabatnya seperti Ali ibn Abi Talib dan Mu’az ibn Jabal ke Yaman sebagai hakim yang
mentadbir urusan perundangan yang timbul di negeri tersebut. Demikian juga selepas
kewafatan Rasulullah ‫ ﷺ‬urusan kehakiman diambil alih oleh para Khulafa’ al-Rasyidin.

MATLAMAT INSTITUSI KEHAKIMAN.

1. Untuk menegakkan keadilan tanpa mengira darjat, pangkat, keturunan dan agama. Sesiapa
yang terbukti bersalah harus dihukum. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah ayat 42 yang
bermaksud

“Mereka sangat suka mendengar berita bohong, banyak memakan (makanan)


yang haram. Jika mereka (orang Yahudi) datang kepadamu (Muhammad untuk
meminta putusan), maka berilah putusan di antara mereka atau berpalinglah dari
mereka, dan jika engkau berpaling dari mereka maka mereka tidak akan
membahayakanmu sedikit pun. Tetapi jika engkau memutuskan (perkara
mereka), maka putuskanlah dengan adil. Sesungguhnya Allah menyukai orang-
orang yang adil”.

2. Untuk menentang kezaliman. Islam menentang sebarang bentuk kezaliman. Firman Allah SWT
dalam Surah Hud ayat 113 yang bermaksud :

“Wahai manusia! sesungguhnya, Kami telah menciptakan kamu dari seorang laki-laki
dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan
bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia di antara
kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha
Mengetahui”
3. Untuk membela orang yang dizalimi.

PRINSIP INSTITUSI KEHAKIMAN.

1. Bersifat Rabbani iaitu ketuhanan. Institusi kehakiman Islam berteraskan prinsip rabbani
kerana sumber asas kehakiman dalam Islam adalah daripada wahyu Allah SWT. iaitu al-Qur’an
dan al-Sunnah. Sebarang keputusan dan tindakan hakim mesti berasaskan panduan al-Quran
dan al-Sunnah.
2. Menegakkan keadilan dan menyeru kebaikan serta mencegah kemungkaran.
3. Mengamalkan adab dan akhlak Islam yang mulia seperti amanah, adil, jujur, tegas, berani dan
tidak zalim semasa menjalankan hukuman.

RUKUN KEHAKIMAN.

(a) Hakim.
Dalam sesebuah institusi kehakiman, jawatan terpenting ialah jawatan hakim. Hakimlah yang akan
menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah institusi kehakiman dalam menjalankan fungsinya.
Untuk melayakkan seseorang menjadi hakim, beliau perlu memiliki beberapa kriteria seperti berikut:
1. Mempunyai akal yang sempurna.
2. Beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.
3. Ilmu pengetahuan yang cukup tentang al-Qur’an dan al-Sunah.
4. Bijaksana dan waras fikiran dalam melaksanakan hukuman.
5. Berwibawa dan dihormati kerana ketegasannya dan keadilannya.
6. Adil dan sabar melaksanakan keputusan berdasarkan hujah dan bukti sahih.
Bagi mencapai matlamat menegakkan keadilan dan menghapuskan kezaliman, hakim memainkan
banyak peranan yang sangat penting. Antaranya, seperti berikut:
1. Menjatuhkan hukuman secara adil dan saksama setimpal dengan kesalahan.
2. Menyelesaikan persengketaan dan permusuhan sesama manusia tanpa pilih kasih.
3. Tidak menjatuhkan hukuman ketika marah dan jika ada keraguan.
4. Membebaskan tertuduh jika didapati ada keraguan dari segi bukti dan hujah.

(b) Hukuman.
Merujuk kepada sesuatu yang dikeluarkan oleh hakim, bertujuan menyelesaikan tuntutan atau
persengketaan. Hukuman mungkin berbentuk:
1. Mensabitan hukuman yang dikenakan untuk dilaksanakan.
2. Menolak dakwaan atau tuntutan.
3. Hukuman dalam bentuk tegahan.
4. Mengeluarkan pengistiharan mahkamah.
5. Mengeluarkan pentafsiran mahkamah.

(c) Al-Mahkum bih.


Merujuk kepada undang-undang yang digunakan oleh seseorang hakim dalam proses kehakiman
berdasarkan hukum syarak. Undang-undang yang digunapakai hendaklah sama ada dalam bentuk
undang-undang Islam yang telah dikanunkan atau undang-undang masyarakat yang telah diubahsuai
selaras dengan hukum syarak.

(d) Al-Mahkum fih.


Merujuk kepada hak atau kepentingan yang menjadi pertikaian atau persengketaan yang
dikemukakan kepada hakim untuk diputuskan. Seseorang hakim tidak boleh memutuskan sesuatu
pertikaian melainkan dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diberikan kepadanya tertakluk kepada
tauliah yang diberikan kepadanya. Bidang kuasa hakim yang dilantik meliputi:
1. Menyelesaikan perselisihan dan memutuskan persengketaan.
2. Mencegah kezaliman dan mengembalikan hak kepada yang berhak.
3. Pentadbir harta mereka yang tidak layak mentadbir (membetulkan cara pentadbiran harta
oleh mereka yang tidak bertanggungjawab).
4. Mengawasi harta wakaf dan memperkembangkannya.
5. Melaksanakan wasiat berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan selagimana tidak
bertentangan dengan syarak.
6. Menikahkan perempuan yang tidak mempunyai wali dengan syarat pasangan itu sekufu.
7. Menjatuhkan hukuman ke atas pesalah.
8. Mengawasi dan menghapuskan rintangan dijalan raya dan di tanah lapang.
9. Memilih, mengawasi dan menentukan orang yang layak menjadi saksi setelah ia memenuhi
syarat yang dikehendaki.
10. Memastikan wujudnya hukuman yang adil dan saksama.
(e) Al-Mahkum lah
Merujuk kepada pihak yang menang dalam sesuatu perbicaraan di mana hakim menjatuhkan hukum
bagi pihaknya (pihak yang menang).

(f) Al-Mahkum ‘alaih


Merujuk kepada pihak yang dikenakan hukuman ke atasnya setelah selesai perbicaraan (pihak yang
kalah).

(g) Kaifiyyah al-Qadha’.


Merujuk kepada proses kehakiman iaitu cara sesuatu perbicaraan dilakukan oleh seorang hakim dan
bagaimana ia mensabitkan sesuatu kes serta menjatuhkan hukum.

You might also like