TEKS UCAPAN YABhg - DSWA Sambutan Hari Kanak-Kanak 2022

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 13

DERAF TEKS UCAPAN PERASMIAN

YABHG. DATO' SERI DR. WAN AZIZAH BINTI DR. WAN ISMAIL

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK KEBANGSAAN
TAHUN 2022

PADA

27 NOVEMBER 2022, 3.00 PETANG

BERTEMPAT DI
DEWAN MERDEKA, ARAS 4,
PUSAT DAGANGAN DUNIA (WTC), KUALA LUMPUR

1
Bismillahirrahmanirrahim,

Terima kasih kepada Pengacara Majlis, Adik Nurin Wanie Qistina Binti
Mohd.Jufry dan Adik Dameer Harraz Bin Abdul Halim.

Terima kasih juga kepada Adik Muhammad Misbahul Hadi Bin Shahrizal
daripada Majlis Perwakilan Kanak-Kanak Negeri Selangor atas pimpinan
bacaan doa sebentar tadi.

SALUTASI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

i. YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff


Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat

ii. YBrs. Encik Chua Choon Hwa


Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik),
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

iii. YBhg. Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot


Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat

Ketua-ketua Agensi dan Jabatan, Pengurusan tertinggi, Pegawai-


pegawai kanan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat,

Wakil-wakil Kementerian dan jabatan persekutuan dan negeri,

Anak-anak Yang Dikasihi, dan

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

2
A. PENDAHULUAN

1. Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat


Allah S.W.T kerana di bawah rahmat dan inayahNYA, kita semua
dapat sama-sama hadir dalam Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak
Kebangsaan 2022 pada hari ini.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
(KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku Penganjur
yang sudi menjemput saya untuk bersama-sama meraikan Sambutan
Hari Kanak-Kanak Kebangsaan pada tahun ini.

3. Saya amat teruja kerana dapat bersama-sama seramai hampir 600


orang kanak-kanak dari seluruh negara bagi menyambut Hari Kanak-
Kanak Kebangsaan pada tahun ini yang bertemakan
“KETERANGKUMAN DAN KEPELBAGAIAN, UNTUK SETIAP
KANAK-KANAK” (INCLUSION AND DIVERSITY, FOR EVERY
CHILD).

4. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada


anak-anak daripada Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) yang
telah bersama-sama menganjurkan sambutan pada hari ini. Saya
difahamkan bahawa MPKK merupakan satu badan yang dianggotai
sepenuhnya oleh kanak-kanak dan turut ditubuhkan di setiap negeri.
Dua orang wakil daripada setiap MPKK di peringkat negeri ini
seterusnya menjadi ahli MPKK Peringkat Kebangsaan.

3
5. Saya juga dimaklumkan bahawa MPKK adalah satu platform untuk
perkongsian ilmu, pengalaman dan percambahan idea serta
pandangan berkaitan isu-isu yang melibatkan kanak-kanak di negara
ini. MPKK perlu bertindak sebagai sebuah organisasi yang memantau
dan menilai perkhidmatan kepada kanak-kanak yang telah disediakan
oleh Kerajaan, khususnya JKM. Seterusnya, pandangan dan penilaian
oleh MPKK akan diterjemahkan melalui penyediaan resolusi dan
kemudian diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi
Kanak-Kanak. MPKK adalah contoh jelas bahawa kita menghargai
pandangan kanak-kanak dan turut melibatkan mereka dalam rencana
pembangunan negara.

PERANAN SAMBUTAN HARI KANAK-KANAK KEBANGSAAN

6. Negara kita menyambut Hari Kanak-Kanak Kebangsaan pada setiap


tahun bagi meraikan kebersamaan dan memberikan kesedaran dalam
kalangan kanak-kanak tentang hak-hak mereka, secara tak langsung
kebajikan kanak-kanak akan sentiasa mendapat perhatian dalam
masyarakat. Sambutan ini juga merupakan bukti komitmen Kerajaan
untuk merealisasikan hasrat dalam memastikan kesejahteraan kanak-
kanak sentiasa terpelihara secara menyeluruh.

7. Semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru, kepimpinan dalam sektor


awam, swasta dan komuniti, media, aktivis masyarakat (Badan Bukan
Kerajaan) dan lebih-lebih lagi anak-anak muda terutamanya yang
berada di hadapan saya, perlu memainkan peranan yang aktif bagi
4
meletakkan agenda Hari Kanak-Kanak ini relevan di mata masyarakat.

8. Oleh itu, Hari Kanak-Kanak sebegini seharusnya menjadi satu titik


tolak yang berkesan untuk memperaku, mempromosi dan meraikan
hak kanak-kanak yang perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan
perbahasan berkesan yang akhirnya menjadi paksi untuk kehidupan
kanak-kanak yang lebih sejahtera. Pelbagai isu seperti perubahan
iklim, pendidikan, kesihatan mental, perkauman, diskriminasi dan
sebagainya, akan memberi kesan kepada kanak-kanak dan wajarlah
kanak-kanak lantang bersuara mengenai perkara ini untuk masa
hadapan yang lebih baik dan saksama.

9. Kanak-kanak adalah waris dan penentu masa hadapan negara.


Melalui mereka, kita menaruh harapan, aspirasi, impian dan janji
Malaysia yang lebih baik.

10. Kita sedar bahawa jika bukan kita yang bertanggungjawab terhadap
masa depan anak-anak di negara tercinta ini, siapa lagi? Seperti yang
telah dinyatakan oleh YBhg. Datuk Dr. Ketua Setiausaha KPWKM
sebentar tadi, pelbagai program dan inisiatif telah dilaksanakan oleh
Kementerian menerusi agensi-agensi terutamanya seperti JKM dan
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)
yang memberi manfaat sama ada secara langsung atau tidak langsung
kepada kanak-kanak. Semakan semula Akta Kanak-kanak,
Penggubalan Dasar dan Pelan Tindakan Kanak-kanak yang baharu
merupakan antara usaha strategik yang perlu dilaksanakan dengan
penuh teliti, inklusif dan menyeluruh, dan saya pasti perkara ini telah
5
diambil kira oleh pihak KPWKM. Saya memuji usaha-usaha yang
dilaksanakan dan yakin program dan inisiatif ini boleh ditambahbaik
dan dipastikan keberkesanannya dengan pemantauan yang
berterusan.

B. INISIATIF KERAJAAN MEMPERKASA DAN MELINDUNGI


KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK

Tuan-tuan dan puan-puan, anak-anak yang saya kasihi sekalian,

11. Kita seharusnya sentiasa peka dan mengambil berat terhadap


kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak secara keseluruhannya.
Selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable
Development Goals – SDG), kita mestilah komited untuk memenuhi
hasrat supaya tiada kanak-kanak yang tertinggal (no one left behind)
tanpa mengira jantina dan status.

12. Saya faham terdapat pelbagai Kementerian dan agensi lain yang turut
terlibat dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan dan melaksanakan
program dan inisiatif berkaitan dengan kanak-kanak.

13. Sebagai contoh, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)


bertanggungjawab dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan
kanak-kanak bermula daripada pendidikan prasekolah, pendidikan
rendah dan menengah serta pendidikan khas. Melalui dasar di bawah
KPM juga, pendidikan wajib 6 tahun (sehingga Darjah 6) adalah
wajib untuk semua kanak-kanak. Ini termasuk pendidikan di sekolah
rendah dan menengah. Malah anak-anak kita juga menerima manfaat

6
melalui pinjaman buku teks yang dilaksanakan oleh KPM, secara tidak
langsung meringankan beban ibu bapa terutamanya mereka yang dari
golongan pendapatan rendah. Inisiatif lain bagi mengurangkan
keciciran pendidikan turut disediakan seperti lawatan ke rumah, sesi
coaching/ kelas tusyen dan kaunseling.

14. Bagi tujuan perlindungan kanak-kanak yang mempunyai konflik dengan


undang-undang, Jabatan Peguam Negara (AGC), Polis Diraja Malaysia
(PDRM) dan JKM turut terlibat dalam Projek Rintis Diversion. Projek
Diversion ini merupakan pendekatan alternatif untuk mengendalikan
kanak-kanak berumur bawah 18 tahun yang berkonflik dengan undang-
undang tanpa melalui sistem perundangan sedia ada. Kanak-kanak ini
akan diberi perlindungan dan pemulihan melalui intervensi yang sesuai
seperti pemberian amaran, kaunseling dan kerja khidmat masyarakat
selaras dengan komitmen Kerajaan seperti yang dinyatakan dalam
Dasar Kanak-Kanak Negara dan Convention on the Rights of Child
(CRC). Projek rintis selama 2 tahun ini telah tamat pada Mei 2022, dan
kini kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan untuk melihat hala tuju
seterusnya.

15. Selain itu, kita turut mempunyai National Urgent Response Alert (NUR
Alert) yang dikelolakan oleh pihak PDRM dengan kerjasama SKMM,
KPWKM dan pihak swasta yang berfungsi sebagai sistem amaran awal
kehilangan kanak-kanak. Platform ini juga merupakan inisiatif Kerajaan
untuk kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun demi melindungi
mereka daripada sebarang bentuk eksploitasi, keganasan dan juga
pengabaian.
7
16. Akses kepada imunisasi secara percuma merupakan satu langkah
penting kepada kelangsungan hidup (survival) kanak-kanak di negara
kita. Selain itu, kanak-kanak juga mendapat akses kepada
perkhidmatan kesihatan dan pergigian yang berkualiti pada harga yang
berpatutan di semua rangkaian klinik kesihatan kerajaan. Bagi
meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan negara, kita
perlu melihat semula kepada keperluan tenaga kerja dalam sektor
perubatan awam. Selain itu, kita juga perlu lebih serius dalam
menangani krisis kesihatan mental yang semakin berleluasa dalam
kalangan kanak-kanak dan remaja dengan menambahbaik akses
kepada penyampaian perkhidmatan untuk kesihatan mental.

Tuan-tuan dan puan-puan, anak-anak yang saya kasihi sekalian,

17. Pada tahun 1995, Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Mengenai


Hak Kanak-Kanak atau Convention on the Rights of Child (CRC) dan
kita bertanggungjawab untuk memenuhi obligasi mematuhi prinsip dan
peruntukan yang termaktub dalam Konvensyen ini. Negara kita telah
pun mengemukakan Laporan Negara Kedua hingga Kelima kepada
Jawatankuasa CRC di Geneva, Switzerland pada 5 Ogos 2021.
Laporan ini mengandungi status terkini pematuhan dan pelaksanaan
program dan inisiatif berkaitan kanak-kanak selaras dengan keperluan
konvensyen tersebut.

18. Penyediaan laporan ini diterajui oleh KPWKM dan disediakan dengan
kerjasama daripada pelbagai Kementerian dan Agensi Kerajaan,
termasuklah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Badan Antarabangsa
8
dan juga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Ini
merupakan komitmen di peringkat antarabangsa yang telah berjaya kita
penuhi. Kita perlu fokus untuk memastikan supaya empat (4) prinsip
utama konvensyen iaitu kelangsungan hidup (survival), perkembangan
(development), perlindungan (protection) dan penyertaan (participation)
sentiasa dipelihara dan diperkasa bagi memastikan kanak-kanak dapat
berkembang memenuhi potensi mereka sebagai pewaris negara,
agama dan bangsa.

C. PESANAN DAN HARAPAN

Tuan-tuan dan puan-puan, anak-anak yang saya kasihi sekalian,

19. Bersempena dengan tema sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan


iaitu Keterangkuman dan Kepelbagaian untuk setiap Kanak-Kanak,
saya percaya kita perlukan lebih banyak jalinan kerjasama erat antara
agensi-agensi kerajaan dilaksanakan melalui perkongsian sumber dan
data yang bersesuaian. Justeru, semakan semula prosedur kerja perlu
dilakukan dalam usaha meningkatkan kecekapan dalam penyampaian
perkhidmatan terutamanya yang berkaitan dengan kepentingan kanak-
kanak. Saya juga percaya bahawa adalah penting komunikasi yang
berkesan menjadi amalan kerana kebanyakan isu yang berkaitan kanak-
kanak merentas kementerian dan jabatan. Kerjasama strategik ini juga
boleh diperluaskan lagi dengan penglibatan Pertubuhan-Pertubuhan
Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta, komuniti dan sebagainya.

20. Kemajuan teknologi dan perkembangan dunia digital telah banyak


merubah cara hidup kita dengan pelbagai cabaran yang menyentuh
9
segenap aspek kekeluargaan terutamanya kanak-kanak. Pandemik
COVID-19 turut membawa seribu satu cabaran baharu serta merupakan
satu pengalaman yang benar-benar menguji kita semua terutamanya
dalam aspek kelangsungan pendidikan, akses kepada kesihatan dan
psikososial, keselamatan

21. Saya merasakan ini adalah masanya supaya kita semua kembali melihat
diri masing-masing dan sentiasa muhasabah diri. Ingatlah, kanak-kanak
merupakan insan yang harus dilindungi, dikasihi dan dijaga dengan
penuh kasih sayang. Dalam hal ini, ibu bapa, penjaga ataupun orang
yang lebih dewasa perlu memainkan peranan aktif untuk melindungi dan
menjaga kebajikan kanak-kanak di negara kita.

22. Baru-baru ini kita juga telah digemparkan dengan kes seorang kanak-
kanak perempuan berumur 11 tahun yang mati disyaki didera secara
fizikal sehingga koyak usus dan ada kesan hentakan di kepala beliau.
Kita turut didedahkan dengan pelbagai kes pedofilia yang berlaku ke atas
kanak-kanak di negara kita. Kes-kes penganiayaan terhadap kanak-
kanak sebegini mesti dihentikan segera! Laporkanlah sekiranya anda
mempunyai sebarang maklumat supaya kita dapat elakkan ia menjadi
lebih teruk sehingga kehilangan nyawa.

Tuan-tuan dan puan-puan, anak-anak yang saya kasihi sekalian,

23. Saya juga ingin berpesan buat kita semua supaya mementingkan
penerapan nilai-nilai murni dan adab susila ketimuran untuk mendidik
dan membentuk akhlak kanak-kanak di Malaysia. Bagaimana acuan,
begitulah kuihnya, anak-anak perlu dibentuk dengan acuan yang betul

10
supaya kita dapat membina Malaysia yang maju, harmoni dan berdaulat.
Ibarat melentur buluh biarlah dari rebung, peranan generasi muda hari
ini harus diangkat dan diperkasa dengan nilai-nilai yang positif kerana
mereka ini bakal mencorakkan hala tuju negara.

24. Justeru itu, saya percaya semua inisiatif yang dilaksanakan untuk
manfaat kanak-kanak pada hari ini merupakan satu pelaburan utama
dan penting dalam segala aspek kehidupan kerana ianya akan memberi
impak pada masa hadapan. Usaha ini harus melibatkan kerjasama
dalam semua peringkat masyarakat bermula dari ibu bapa, keluarga,
dan komuniti bagi memaksimumkan potensi kanak-kanak. Saya yakin
dan percaya dengan adanya komitmen daripada semua pihak, hasrat
negara untuk meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak ke arah
memenuhi potensi mereka sepenuhnya akan dapat direalisasikan.

PENUTUP

25. Melangkah ke hadapan, usaha untuk meningkatkan kesejahteraan


kanak-kanak perlu digembleng oleh semua pihak bermula daripada unit
keluarga, komuniti dan negara. Kanak-kanak perlu sentiasa dilindungi!
Kolaborasi strategik dengan kerjasama daripada pelbagai sektor boleh
dipertingkatkan menerusi program-program Tanggungjawab Sosial
Korporat (Corporate Social Responsibility - CSR) yang dilaksanakan
secara berterusan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Mengambil contoh institusi-institusi kanak-kanak di bawah kelolaan
JKM, saya yakin banyak peluang kerjasama yang boleh dilaksanakan

11
untuk tajaan dan menjalankan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat demi
kepentingan penghuninya.

26. Sebelum mengakhiri ucapan, saya mengambil kesempatan ini untuk


sekali lagi merakamkan terima kasih kepada KPWKM melalui JKM
selaku Urus Setia Induk Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat
Kebangsaan pada tahun ini. Terima kasih dan setinggi-tinggi
penghargaan juga buat semua pihak yang terlibat sama ada secara
langsung atau tidak langsung seperti Kementerian Pendidikan
Malaysia, PDRM dan pihak swasta yang banyak memberikan
sumbangan dan tajaan.

27. Buat anak-anak Malaysia yang ada di hadapan saya ini, tempuhilah
zaman kanak-kanak anda dengan pengalaman indah mencuba dan
melakukan perkara-perkara yang membawa manfaat kepada diri sendiri
dan orang sekeliling. Sentiasa beringat, dapatkanlah nasihat dan
panduan daripada ibu bapa, ahli keluarga dan mereka yang sesuai jika
memerlukannya. Malu bertanya sesat jalan.

28. Akhir kalam, saya mahu semua pihak termasuk semua kanak-kanak
tahu dan sedar bahawa setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk
kehidupan, hak untuk perlindungan, hak untuk penyertaan dan hak
untuk perkembangan selari dengan Dasar Kanak-kanak Negara, Akta
Kanak-Kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak
(CRC).

12
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Majlis
Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2022.

Saya sudahi dengan Wabillah hi taufik Wal Hidayah Wassalam


Mualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

SEKIAN TERIMA KASIH.

13

You might also like