Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 2

Amal budaya kerja baharu 'balas'

langkah berani PM naikkan gaji


Mei 2, 2024 @ 7:36am

Penantian kira-kira 1.6 juta penjawat awam dalam satu tempoh menyaksikan empat
kali perdana menteri bertukar dan satu musim pandemik penuh pancaroba akhirnya
menjadi kenyataan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan
kenaikan gaji lebih 13 peratus, sekali gus menjadi kadar tertinggi dalam sejarah
perkhidmatan awam negara, mulai 1 Disember depan. Kenaikan membabitkan kos
RM10 bilion diumumkan sempena Hari Pekerja itu, turut menetapkan pendapatan
menyeluruh kakitangan awam meliputi gaji dan elaun perlu melebihi RM2,000
sebulan, berbanding jumlah semasa sebanyak RM1,795 sebulan.

Sudah tentu kenaikan gaji boleh diibaratkan sebagai 'siang menjadi angan-angan,
malam menjadi buah mimpi' bagi penjawat awam terutama sejak kerajaan di bawah
pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjanjikan Kenaikan
Gaji Tahunan (KGT) membabitkan implikasi kewangan RM1.46 bilion pada 2018.
Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih kerajaan dalam
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) menegaskan tidak terikat dengan janji dibuat
pentadbiran sebelum itu sedangkan CUEPACS berulang kali meminta Skim Saraan
Malaysia (SSM) perlu dikaji semula selepas 17 tahun diperkenalkan.

Justeru, selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri mewarisi


pentadbiran selepas Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail
Sabri Yaacob susulan pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca-PRU15, antara
komitmen awal dikemukakannya adalah kebajikan penjawat awam termasuk
peluang kenaikan pangkat, gaji dan elaun. Pada Julai tahun lalu juga, beliau
mengumumkan kerajaan bersetuju mengkaji skim gaji perkhidmatan awam yang
akhirnya membuahkan hasil sebagai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA),
sekali gus menjadi durian runtuh kepada penjawat awam.

Foto hiasan. - Foto fail BERNAMA

Kita yakin tindakan diambil kerajaan di bawah pimpinan Anwar yang boleh disifatkan
belum ada Perdana Menteri yang berani melakukannya dalam tempoh ekonomi
mencabar sebegini, tidak lain dan tidak bukan sebagai satu pengiktirafan kepada
peranan dan fungsi serta tanggungjawab dan jasa kakitangan awam selama ini.
Justeru, kita mengharapkan pengumuman itu disyukuri kakitangan awam, bahkan
disusuli dengan azam untuk melaksanakan budaya kerja baharu lebih bersemangat
dan profesionalisme serta melipatgandakan usaha bagi memastikan perkhidmatan
sampai kepada rakyat, sekali gus melancarkan serta melicinkan mekanisme
pemulihan ekonomi negara.

Kita juga menyarankan sektor swasta memberi perhatian kepada harapan Perdana
Menteri supaya syarikat terutama mencatatkan keuntungan berganda hasil
produktiviti dan pengorbanan pekerja mereka untuk mencontohi langkah kerajaan
menaikkan gaji penjawat awam. Pada masa sama, kita meminta golongan peniaga
tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan
selepas SSPA diperkenalkan hanya semata-mata gaji penjawat awam dinaikkan.
Dalam hal ini, kita meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara
Hidup (KPDN) meningkatkan pemantauan serta penguatkuasaan undang-undang
supaya langkah kerajaan membela penjawat awam tidak dijejaskan dengan strategi
licik pihak tidak bertanggungjawab.

You might also like