10 Cara Untuk Meminimumkan Cukai Individu Di Malaysia

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 12

10 CARA UNTUK MEMINIMUMKAN CUKAI INDIVIDU DI

MALAYSIA BAGI TAHUN TAKSIRAN 2018


Shahrulnizam bin Bakar, Jabatan Perdagangan
s_nizam@polimelaka.edu.my

1.0 PENGENALAN
Secara umumnya, setiap individu yang memperoleh pendapatan di Malaysia perlu
dicukaikan. Terdapat dua (2) jenis borang yang akan digunakan bagi dua individu yang
berbeza iaitu Borang B bagi individu yang mempunyai pendapatan perniagaan dan Borang
BE bagi individu yang memperoleh pendapatan daripada majikan (makan gaji).

Bermula tahun 2010, setiap individu perlu mengisi, mengira dan menghantar sendiri borang
cukai mereka sebelum 30 April setiap tahun. Ini adalah Sistem Taksir Sendiri (STS) yang
diperkenalkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi mengggantikan sistem
lama. Tahniah diucapkan kepada yang telah pun menghantar borang cukai mereka.
Manakala, individu yang mempunyai pendapatan perniagaan perlu menghantar borang
mereka sebelum 30 Jun setiap tahun. Penalti boleh dikenakan kepada individu yang gagal
untuk menghantar borang atau lewat menghantar borang dengan denda dari RM2,000
hingga RM20,000 atau dipenjara tidak lebih 6 bulan.

Bagi pengiraan cukai individu, terdapat beberapa pelepasan yang diberikan oleh kerajaan
bagi membolehkan kita merancang, mengawal dan meminimumkan pembayaran cukai bagi
tahun taksiran 2018. Oleh itu, disini, penulis akan membincangkan 10 cara paling efektif
yang dapat digunakan bagi meminimumkan pembayaran cukai anda beserta dengan contoh
dan jalan penyelesaian bagi membantu pemahaman anda.

2.0 10 CARA MEMINIMUMKAN CUKAI INDIVIDU DI MALAYSIA


2.1 DERMA DAN ZAKAT
Derma boleh dibuat dalam bentuk tunai atau barangan terhad setakat 7 peratus
daripada pendapatan aggregat bagi individu. Namun begitu, had 7 peratus tersebut
tidak terpakai bagi derma kepada organisasi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.
Derma yang dibuat hendaklah kepada organisasi yang diluluskan bagi mendapatkan
resit sebagai bukti. Bagi mendapatkan senarai penuh organisasi yang mendapat
kelulusan LHDN, boleh rujuk dilaman web www.hasil.gov.my.

1
CONTOH:
Ali menderma kepada sebuah organisasi yang diluluskan sebanyak RM2,500 pada
tahun 2017. Andaikan pendapatan aggregat bagi tahun 2017 Ali adalah RM32,000.

PENYELESAIAN:
Derma yang boleh ditolak adalah sebanyak RM2,240 sahaja iaitu 7 peratus x
RM32,000. Amaun derma RM2,500 hanya boleh ditolak, jika derma tersebut
dibayar kepada badan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan kerana derma tersebut
dibenarkan sebagai tolakan 100 peratus.

Manakala, zakat adalah satu lagi kaedah yang boleh digunakan oleh umat Islam
bagi mengurangkan cukai pendapatan mereka. Lagi pula, ini adalah satu ibadah
yang wajib bagi semua Muslim. Maka, kerajaan telah mengambil inisiatif untuk
membenarkan pembayaran zakat sebagai satu pelepasan penuh sekaligus dapat
menggalakkan masyarakat Muslim untuk membayar zakat.

Ini merupakan satu inisiatif yang sangat baik daripada kerajaan kerana tolakan 100
peratus dibenarkan sebagai pelepasan. Pembayar cukai Muslim di Malaysia
sepatutnya menggunakan kelebihan ini untuk mengurangkan jumlah cukai yang
perlu dibayar.

CONTOH:
Andaikan Ali perlu membayar cukai sebanyak RM5,500 dan pada tahun yang sama,
Ali turut membayar zakat sebanyak RM5,000. Berapa jumlah cukai yang perlu
dibayar? Bagaimana pula, jika Ali telah membayar zakat sebanyak RM6,000?

PENYELESAIAN:
Maka, jumlah cukai yang perlu dibayar hanyalah sebanyak RM500 sahaja iaitu
RM5,500 ditolak dengan RM5,000. Manakala, tiada sebarang cukai perlu dibayar
jika Ali membayar zakat sebanyak RM6,000.

2.2 BUAT PEMERIKSAAN KESIHATAN

2
Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),
pada tahun 2016 terdapat lima kanser utama yang selalu menyerang rakyat Malaysia
iaitu kanser payudara, kanser kolorektal, kanser paru-paru, kanser servik dan
kanser kerongkong. (News Straits Time, 3 April 2016)

Menurut Menteri Kesihatan, S.Subramaniam, 3.6 juta atau 17.5 peratus rakyat
Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas mengidap diabetes. Separuh daripada
jumlah tersebut masih belum diagnosis memandangkan diabetes merupakan
penyakit senyap dan mereka tidak pernah menjalani saringan kesihatan.
(utusanonline, 15 Nov 2017). Statistik ini menggambarkan bahawa rakyat Malaysia
menuju ke arah masyarakat yang semakin tidak sihat dek kerana gaya hidup dan
corak pemakanan mereka.

Oleh itu, bagi menggalakkan rakyat Malaysia membuat pemeriksaan kesihatan,


kerajaan mengambil inisiatif untuk memberi pelepasan cukai sebanyak RM500 bagi
menampung kos yang ditanggung untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Namun,
perlu dingatkan bahawa kos RM500 ini adalah termasuk didalam pelepasan belanja
perubatan bagi penyakit serius iaitu RM6,000

CONTOH:
Ali telah membelanjakan RM5,700 bagi mengubati anaknya, Umar yang
menghidapi sakit Tibi. Pada yang sama, Ali mempunyai seorang anak, Usman yang
perlu membuat pemeriksaan kesihatan berikutan tawaran kemasukan ke Politeknik
yang diterimanya. Kos yang dilibatkan adalah sebanyak RM400

PENYELESAIAN:
Ali hanya boleh tuntut RM300 sebagai pelepasan kos pemeriksaan kesihatan kerana
jumlah maksimum pelepasan yang boleh dituntut bagi kos perubatan penyakit
serius adalah RM6,000 sahaja iaitu RM5,700 tambah RM300. Manakala, RM100
lebihan dari kos pemeriksaan kesihatan dianggap belanja hangus. (Tidak boleh
digunakan sebagai pelepasan lagi)

2.3 TANGGUNG PERBELANJAAN PENJAGAAN IBUBAPA


3
Bermula tahun taksiran 2016 sehingga 2020, kerajaan telah memberi pelepasan
sebanyak RM1,500 kepada setiap anak yang menanggung perbelanjaan ibu bapa
masing-masing. Pelepasan ini boleh dikongi oleh adik-beradik yang lain dengan
syarat jumlahnya mestilah tidak melebihi RM1,500 setiap ibu dan bapa.

Namun begitu, terdapat beberapa syarat sebelum pelepasan ini boleh dituntut iaitu:
a) Pembayar cukai tidak menuntut pelepasan perbelanjaan perubatan ibu bapa.
b) Ibu bapa yang ditanggung adalah ibu bapa kandung dan ibu bapa angkat terhad
setakat 2 orang sahaja
c) Ibu bapa mestilah berumur 60 tahun ke atas
d) Ibu bapa adalah pemastautin Malaysia bagi tahun taksiran semasa
e) Ibu bapa mempunyai pendapatan yang tidak melebihi RM24,000 setahun.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, jangka hayat lelaki
lebih pendek dibandingkan dengan wanita dimana, lelaki yang berumur 65 tahun
dijangka boleh hidup sehingga umur 7.9 tahun. Manakala, perempuan pula, boleh
hidup sehingga 81.9 tahun. Keadaan ini sudah tentu memerlukan anak-anak untuk
menjaga ibu mereka jika bapa mereka telah tiada. Kos perlu dilibatkan untuk itu,
sama ada dari segi kos perubatan atau pun penjagaan.

Oleh itu, bagi anak yang mempunyai ibu bapa yang telah uzur dan sakit, maka ini
adalah kesempatan bagi para pembayar cukai untuk menuntut segala perbelanjaan
berkaitan ibu bapa dengan syarat mereka mempunyai resit. Oleh kerana, pelepasan
RM1,500 boleh dikongsi bersama adik beradik yang lain, maka mereka yang
mempunyai pendapatan yang lebih besar lebih wajar menuntut perbelanjaan
tersebut.

CONTOH:
Andaikan Pak Abu berumur 63 tahun, mempunyai 3 orang anak dan kini, beliau
telah uzur dan hanya duduk dirumah. Isteri beliau yang berumur 59 tahun masih
hidup bersamanya. Haziq, anak sulung mempunyai pendapatan RM6,000. Hazir,
anak kedua mempunyai pendapatan RM5,000 dan anak ketiga, Haikal mempunyai
pendapatan sebanyak RM3,500. Berapa banyak pelepasan penjagaan ibu bapa yang
harus dituntut oleh adik beradik tersebut?
4
PENYELESAIAN:
Jumlah pelepasan yang layak dituntut adalah RM1,500 sahaja kerana isteri Pak Abu
belum berumur 60 tahun. Secara puratanya, setiap anak boleh menuntut RM500
seorang namun, disebabkan Haziq mempunyai pendapatan yang lebih banyak,
maka pelepasan yang berikut adalah dicadangkan iaitu Haziq, RM800. Hazir,
RM500 dan Haikal, RM200. (Cadangan penyelesaian dibuat tanpa mengambilkira
pelepasan yang lain seperti anak dan lain-lain)

2.4 AMBIL INSURAN NYAWA DIRI SENDIRI


Insurans nyawa merupakan satu keperluan pada masa kini memandangkan banyak
risiko yang boleh mengancam nyawa berlaku disekeliling kita. Contohnya
kemalangan jalan raya, kemalangan ditempat kerja dan sebagainya. Tetapi, perlu
difahami bahawa insurans nyawa yang dibenarkan oleh LHDN hanyalah insurans
nyawa diri sendiri tidak termasuk anak-anak. Had maksimum yang dibenarkan
adalah sebanyak RM6,000 setahun dan amaun ini termasuk dengan potongan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Oleh itu, bagi tujuan meminimumkan pembayaran cukai, maka anda sepatutnya
mengambil insuran nyawa diri sendiri sahaja tanpa melibatkan anak-anak.
Melainkan anda mempunyai duit lebihan untuk melanggan insuran keluarga bagi
melindungi nyawa anak-anak. Bagi pasangan suami isteri yang membuat taksiran
berasingan, adalah lebih baik sekiranya insurans nyawa dibuat secara individu bagi
pasangan yang mempunyai pendapatan yang lebih tinggi. Manakala, pasangan
dengan pendapatan yang lebih rendah, lebih baik mengambil takaful keluarga
supaya sekurang-kurangnya, nyawa anak-anak masih dapat dilindungi.

CONTOH:
Zainal dan Wawa adalah pasangan suami isteri yang mempunyai 3 orang anak.
Zainal telah mengambil insurans nyawa keluarga bagi melindungi anak-anak dan
pasangan bernilai RM250 sebulan. Zainal juga mempunyai potongan KWSP
sebanyak RM5,500 setahun. Pada masa yang sama, Wawa juga ada mengambil
insurans untuk dirinya sendiri bernilai RM100 sebulan. Berapakah pelepasan
insurans nyawa yang boleh dituntut oleh Zainal dan Wawa?
5
PENYELESAIAN:
Tiada pelepasan yang boleh dituntut oleh Zainal kerana beliau telah mengambil
insurans nyawa keluarga. Namun, Zainal masih layak untuk menuntut potongan
KWSP sebanyak RM5,500. Manakala, Wawa boleh menuntut RM1,200 setahun
sebagai pelepasan nyawa kerana tidak bercampur dengan insurans nyawa anak.

2.5 AMBIL INSURAN PERUBATAN/PENDIDIKAN


Berikutan dengan kadar kos perubatan yang semakin meningkat 2.5 kali ganda
sejak 17 tahun lalu, menurut Dr Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia.
Manakala, 39 peratus daripada kos perubatan dan penjagaan kesihatan adalah
ditanggung sendiri oleh pesakit. Maka, kerajaan bertindak memberi pelepasan
RM3,000 setahun bagi individu yang mencarum insurans perubatan dan pendidikan
dan pelepasan ini merangkumi perbelanjaan insurans untuk anak-anak.

CONTOH:
Adli membeli insurans perubatan yang merangkumi isteri dan anak beliau seramai
4 orang. Insurans yang telah dibayar oleh Adli pada 2017 berjumlah RM3500
setahun. Jumlah ini belum mengambil kira insurans pendidikan yang diambil oleh
Adli iaitu sebanyak RM2,400.

PENYELESAIAN:
Adli hanya layak menuntut RM3,000 sahaja pelepasan insurans perubatan dan
pendidikan memandangkan had maksimum bagi pelepasan tersebut hanya
RM3,000 setahun. Oleh itu, adalah dicadangkan supaya pengambilan insurans
perubatan dan pendidikan hendaklah tidak melebihi RM3,000 setahun bagi setiap
pasangan.

Kesnya akan sedikit berbeza sekiranya, suami isteri berhasrat untuk membuat
taksiran secara berasingan. Ini akan memberi kelebihan, jika suami isteri bekerja
dan mempunyai anak yang ramai. Setiap pasangan boleh menuntut RM3,000 dan
ini akan menjadikan jumlah tuntutan RM6,000 dalam satu keluarga.

2.6 BUAT SIMPANAN DALAM SSPN / i-SSPN


6
Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang kini telah dijenamakan semula
sebagai Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M) merupakan
satu skim yang diperkenal kerajaan bagi menggalakkan para ibu bapa membuat
simpanan khusus untuk pendidikan anak-anak. Malah, ia menjadi satu kewajiban
bagi ibu bapa yang ingin mendapatkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) bagi anak-anak mereka yang ingin menyambung
pengajian.

Para pencarum SSPN1M akan diberi pelepasan maksimum sebanyak RM6,000


setiap seorang. Oleh itu, ini adalah satu peluang yang patut direbut bagi
meminimumkan pembayaran cukai dengan cara membuka akaun yang berbeza bagi
ibu dan bapa supaya jumlah pelepasan akan menjadi RM12,000 bagi satu keluarga.

CONTOH:
Sulaiman dan Wany mempunyai empat (4) orang anak. Sulaiman membuka akaun
SSPN1M bagi anak pertama dan kedua dengan jumlah RM7,200 setahun.
Manakala, Wany pula membuka akaun SSPN1M bagi anak ketiga dan ke empat
dengan jumlah RM5,900. Berapa pelepasan yang layak dituntut oleh Sulaiman dan
Wany?

PENYELESAIAN:
Sulaiman hanya boleh menuntut pelepasan sebanyak RM6,000 memandangkan
jumlah potongan maksimum yang dibenarkan adalah RM6,000. Manakala, Wany
boleh menuntut semuanya RM5,900 kerana masih dibawah jumlah maksimum.

2.7 BUAT PERUNTUKAN PERSARAAN


Bagi penjawat awam, “Private Retirement Scheme” (PRS) merupakan satu
alternatif yang diperkenal oleh kerajaan bagi memberi peluang untuk menambah
simpanan hari tua memandangkan penjawat awam tidak memiliki KWSP. PRS
merupakan skim simpanan sukarela yang boleh dibuat dimana-mana bank yang
menawarkan PRS. Amaun pelepasan PRS yang dibenarkan adalah sebanyak
RM3,000 setahun. Ini merupakan peluang yang sepatutnya digunakan oleh
penjawat awam untuk meningkatkan jumlah pelepasan dengan cara mencarum
didalam PRS berbanding dengan akaun simpanan biasa.
7
CONTOH:
Kamal merupakan penjawat awam yang telah mencarum dalam PRS CiMD dengan
jumlah caruman sebanyak RM3,600 setahun. Berapa pelepasan yang layak
dituntut?

PENYELESAIAN:
Kamal hanya boleh menuntut pelepasan sebanyak RM3,000 memandangkan hanya
itu jumlah maksimum yang dibenarkan.

2.8 MELAHIRKAN LEBIH RAMAI ANAK


Bunyinya kelihatan seperti kelakar, namun itulah hakikatnya bahawa dengan
mempunyai anak yang ramai boleh membantu untuk mengurangkan pembayaran
cukai. Ini kerana setiap anak yang berumur 18 tahun dan ke bawah layak menuntut
pelepasan sebanyak RM2,000 setiap orang.

Jumlah pelepasan ini akan meningkat kepada RM8,000 seorang bagi anak yang
berumur 18 tahun ke atas, belum berkahwin dan menyambung pengajian dari
peringkat diploma dan ke atas. Pelepasan ini turut diberi kepada anak OKU dengan
tambahan pelepasan sebanyak RM6,000 menjadikan jumlah pelepasan sebanyak
RM14,000.

CONTOH:
Naim dan isterinya, Suhaibah mempunyai lima (5) orang anak. Anak pertama dan
kedua sedang menyambung pengajian di peringkat Ijazah dan Diploma. Manakala,
anak ketiga hingga kelima masih dibawah 18 tahun. Andaikan Naim dan Suhaibah
mempunyai pendapatan boleh cukai sebanyak RM96,000 dan RM72,000 masing-
masing. Bagaimana agihan pelepasan boleh dibuat bagi memnimumkan
pembayaran cukai mereka?

PENYELESAIAN:
Langkah pertama, mereka perlu memilih untuk membuat taksiran berasingan. Ini
kerana, bagi suami isteri yang mempunyai pendapatan, taksiran berasingan akan
8
memberi mereka lebih banyak pelepasan yang membolehkan cukai dibayar pada
kadar yang sangat minimum.

Memandangkan jumlah perbezan gaji Naim dan Suhaibah adalah RM24,000, maka,
adalah dicadangkan supaya semua pelepasan anak mereka dituntut oleh Naim yang
berjumlah sebanyak RM22,000 iaitu RM8,000 + RM8,000 + RM2000 + RM2000
+ RM2000. Ini akan menjadikan jumlah pendapatan boleh cukai Naim adalah
RM74,000. Cadangan penyelesaian akan dapat merapatkan jurang perbezaan
pendapatan mereka. Namun, perlu dingat bahawa cadangan ini tidak mengambilkira
pelepasan yang lain.

Teknik ini juga akan memberi peluang kepada Naim untuk mendapatkan kembali
jumlah potongan cukai berjadual (PCB) yang telah dibuat dari awal lagi.

2.9 BELI PERALATAN MENYUSUKAN ANAK BAGI IBU BEKERJA


Kerajaan cuba menghargai para ibu yang bekerjaya dengan memberi pelepasan
kepada mereka untuk membeli peralatan bagi mengepam susu badan mereka. Ini,
sekaligus membantu para ibu untuk memberi susu badan mereka kepada anak-anak
mereka walaupun mereka tidak berada bersama anak sewaktu bekerja. Jumlah
pelepasan yang dibenarkan adalah sebanyak RM1,000 bagi wanita yang bekerjaya
sahaja. Pelepasan ini tidak boleh dituntut oleh para suami.

CONTOH:
Sakinah adalah seorang ibu bekerjaya yang mempunyai seorang anak yang masih
menyusu badan. Bagi memudahkan proses mengepam susu badan, Sakinah telah
membeli peralatan mengepam bernilai RM1,200.

PENYELESAIAN:
Sakinah hanya boleh menuntut pelepasan sebanyak RM1,000 sahaja kerana
perbelanjaan yang dilibatkan telah melebihi had maksimum. Manakala, suami
Sakinah tidak boleh menuntut perbelanjaan tersebut walaupun pembelian peralatan
dibuat oleh suami Sakinah.

9
2.10 BELI KOMPUTER/TELEFON BIMBIT/LANGGAN INTERNET/ALATAN
SUKAN/BAHAN BACAAN
Pelepasan ini merupakan pelepasan baru yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan
nama “lifestyle relief” atau pelepasan gaya hidup. Dahulu, pelepasan bagi
pembelian komputer, pembelian alatan sukan dan bahan bacaan merupakan
pelepasan yang berasingan. Namun, kini ia telah digabungkan dengan pelepasan
diberi sebanyak RM2,500 setahun.

Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, (2016) hasil
menunjukkan dapatan yang berikut:

Jadual 1: Peratusan penggunaan peralatan dan perkhidmatan ICT


BIL PERALATAN DAN PERKHIDMATAN ICT 2013 2015
1. Internet 57% 71.1%
2. Komputer 56% 68.7%
3. Telefon bimbit 94.2% 97.5%

Jadual diatas menunjukkan bahawa kerajaan sangat prihatin tentang keperluan


menjadikan perbelanjaan ke atas pembelian komputer, telefon dan internet sebagai
satu pelepasan. Statistik terebut memberi gambaran bahawa pembelian telefon
bimbit dan penggunaan internet semakin meningkat dari tahun 2013 hingga 2015.

Oleh itu, penulis mencadangkan anda supaya tidak membuat pembelian komputer
dan telefon bimbit pada tahun yang sama. Ini kerana sudah pasti jumlah keduanya
akan melebihi dari RM2,500. Anda juga perlu mengelakkan diri dari membeli
komputer dan telefon bimbit yang bernilai lebih dari RM2,500 pada satu-satu masa.

Jika jumlah nilai telefon bimbit anda belum mencapai RM2,500, maka anda boleh
memaksimumkan pelepasan dengan menambah perbelanjaan pada bahan bacaan
dan alatan sukan. Apa yang menarik, skop jenis bahan bacaan telah ditambahbaik
dengan meliputi hampir semua jenis bahan bacaan termasuk suratkhabar kecuali
bahan bacaan terlarang.

10
CONTOH:
Amir telah mendapat bonus RM5,000 pada tahun 2017 dan berhasrat untuk
membeli telefon bimbit dan komputer riba yang baru. Cadangkan langkah
penyelesaian bagi Amir supaya cukai dapat diminimumkan.

PENYELESAIAN:
Amir perlu tentukan mana yang lebih diperlukan antara komputer dan telefon
bimbit. Jika komputer yang paling diperlukan, maka pada tahun semasa, Amir perlu
membeli komputer dengan harga maksimum RM2,500 supaya Amir dapat
menggunakan pelepasan gaya hidup secara maksimum. Manakala, baki dari bonus
RM2,500 digunakan pada tahun taksiran 2018 untuk membeli telefon bimbit pula,
supaya pelepasan ini turut dapat dimaksimumkan pada tahun hadapan.

3.0 KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, pembayar cukai perlu mempunyai ilmu tentang pelepasan cukai
dan tahu bagaimana cara untuk memastikan supaya setiap pelepasan tersebut dapat
digunakan secara maksimum. Dengan itu, barulah matlamat untuk meminimumkan cukai
dapat dicapai. Inilah objektif utama, mengapa artikel ini ditulis iaitu untuk memberi
pendedahan tentang cara yang efektif dalam meminimumkan pembayaran cukai anda pada
tahun 2018.

Antara perkara yang agak penting juga untuk anda ambil berat ialah tentang penyimpanan
resit bagi setiap perbelanjaan yang telah anda libatkan. Penulis mencadangkan agar anda
menyediakan satu fail khusus bagi setiap perbelanjaan yang melibatkan pelepasan supaya
nanti, jika anda terpilih untuk diaudit oleh LHDN, anda tidak mengalami masalah untuk
mengemukakan semua bukti perbelanjaan.

Anda perlu ingat bahawa kegagalan anda untuk mengemukakan bukti menyebabkan anda
boleh dikenakan penalti sebanyak 45 peratus daripada jumlah cukai yang terkurang.
Contohnya, jika cukai yang telah dibayar adalah RM400 tetapi apabila diaudit, jumlah
sebenar cukai yang perlu dibayar adalah RM600, maka 45 peratus daripada RM200 akan
dicaj sebagai penalti Jadi, cukai tambahan yang dikenakan akan menjadi RM290 iaitu
RM200 + (45% x 200).
11
Diharapkan agar, para pembaca sekalian mendapat sedikit pemahaman tentang betapa
pentingnya perancangan cukai dalam meminimumkan pembayaran cukai anda.

4.0 RUJUKAN
Jabatan Perangkaan, (2016). Jangkaan hayat penduduk Malaysia meningkat.
Utusanonline.com.my

Jabatan Perangkaan (2016), ICT use and access by individual and households survey
report, Malaysia, 2015. www.dosm.gov.my

Juan Munir Abu Bakar (2017). 3.6 juta hidap diabetes. Utusanonline.com.my

Nadia Hamid (2017). Modul baharu selesai isu peningkatan kos perubatan.
bharian.com.my

Richard Thornton. (2013). 100 ways to save tax in Malaysia for individuals. Sweet &
Maxwell Asia

www.hasil.gov.my

12

You might also like