Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

KAJIAN KES BERHUBUNG BEBAN DAN DARJAH PEMBUKTIAN DALAM KES

JENAYAH DI MAHKAMAH AWAM DAN MAHKAMAH SYARIAH.

Bertitik tolak daripada kenyataan di atas, adalah jelas bahawa pengaplikasian darjah
dan beban pembuktian dalam undang-undang jenayah di Mahkamah Sivil dan Mahkamah
Syariah tidak mempunyai perbezaan yang ketara. Ini adalah kerana undang-undang
keterangan syariah adalah suatu model perundangan yang sedikit sebanyak diadaptasi dari
Akta Keterangan 19501. Namun demikian, pengaplikasian darjah pembuktian terutamanya
dalam kes jenayah syariah masih tidak selaras dan perkara ini dapat dilihat dalam kajian kes
yang bakal dibincangkan. Walau bagaimanapun, kaedah beban pembuktian dari aspek
undang-undang sivil dalam kes jenayah dan undang-undang jenayah syariah adalah sama
dimana beban pembuktian kebiasannya akan diletakkan pada pihak pendakwa dan dalam
keadaan tertentu, beban ini juga beralih pada pihak lain untuk membuktikan atau menafikan
sesuatu fakta2.

Secara umumnya, darjah pembuktian dalam kes jenayah di Mahkamah Sivil


mengaplikasikan prinsip melampaui keraguan yang munasabah atau dikenali dengan istilah
‘beyond reasonable doubt'. Pengaplikasian ini dapat dilihat di dalam kes Nagappan A/L
Kuppusamy lwn. Pendakwaraya3, dimana Mahkamah telah merumuskan bahawa beban
pembuktian di dalam kes jenayah terletak pada pihak pendakwa. Ini bermakna pihak
pendakwa yang bertanggungjawab untuk membuktikan sesuatu kesalahan jenayah melampui
keraguan munasabah. Dalam keadaan, Mahkamah masih tidak berpuas hati dengan
pembuktian yang dibawa oleh pendakwa, maka pendakwa tersebut dikatakan gagal
membuktikan kes di darjah pembuktian yang dikehendaki undang-undang.

Dalam pada itu, kes ini juga menetapkan bahawa ketika beban pembuktian beralih
kepada pihak yang didakwa, maka tahap pembuktian pihak berlawanan tersebut adalah lebih
ringan iaitu hanya sekadar di atas imbangan kebarangkalian. Pihak ini hanya perlu
mewujudkan keraguan dalam kes yang dibawa oleh pihak pendakwa dengan cara membawa
fakta baru yang boleh menimbulkan keraguan pada fakta sedia ada atau menghujahkan fakta
pihak pendakwa tidak boleh diterima pakai4.

Selain itu, tahap pembuktian dalam Mahkamah sivil boleh dikatakan sama dengan
pembuktian di Mahkamah Syariah apabila undang-undang sivil juga menggunakan prinsip
yakin sebelum menjatuhkan atau mensabitkan sesuatu kesalahan jenayah. Perkara ini boleh
dilihat di dalam kes R lwn. Summers5. Mahkamah dalam kes ini telah mendefinisikan yakin
dengan istilah "satisfied so that they feel sure" iaitu secara ringkasnya membawa maksud juri

1
Suhaizad Saifuddin. April 2020. Pemakaian Beban dan Darjah Pembuktian dalam Kes Jenayah Syariah di
Malaysia: Suatu Analisis. http://journalarticle.ukm.my/15376/
2
Ashraf bin Md Hashim. 2001. Tahap pembuktian dalam kes-kes Jenayah: penulisan perbandingan antara
Undang-undang Sivil dan Islam. Jurnal Syariah. 9(2): 13-32.
3
Nagappan A/L Kuppusamy v Public Prosecutor [1988] 2 MLJ 53
4
Ashraf bin Md Hashim. 2001. Tahap pembuktian dalam kes-kes Jenayah: penulisan perbandingan antara
Undang-undang Sivil dan Islam. Jurnal Syariah. 9(2): 13-32.
5
R lwn. Summers. [1952]1 All ER 1059
perlu berpuas hati sehingga mereka merasakan yakin. Ini disokong dengan penghujahan juri
pada ketika itu yang menyatakan penggunaan prinsip yakin ini adalah lebih baik daripada
mengaplikasi prinsip 'keraguan yang munasabah'.

Seterusnya, beralih kepada pemakaian darjah pembuktian dalam kes jenayah syariah
yang mana agak berbeza dengan kes jenayah di Mahkamah Awam. Dalam undang-undang
syariah, Mahkamah perlu menilai sesuatu kes berdasarkan prinsip yakin, zhan al ghalib, zhan,
syak dan waham. Pengaplikasian tahap pembuktian dalam mahkamah syariah adalah kurang
konsisten dan tidak jelas pelaksanaannya dari segi undang-undang. Sebagai contoh, dalam
kes Pendakwa Syarie Kelantan lwn Mohamed bin Sabu dan seorang lagi 6 tertuduh telah
dibebaskan disebabkan kegagalan pendakwa syarie membuktikan kes prima facie pada
peringkat pendakwaan. Secara sepesifiknya, kegagalan pihak pendakwa dalam kes ini adalah
berpunca daripada kekurangan bukti iaitu terdapat banyak percanggahan maklumat daripada
keterangan saksi pendakwa yang hadir.

Di dalam kes ini, saksi-saksi yang dibawa tidak memenuhi syarat adil seperti yang
telah digariskan dalam Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah. Malahan, pegawai agama
juga didapati tidak menuruti peruntukan Seksyen 53 dan 54 Enakmen Acara Jenayah
Syariah yang menetapkan tugas pegawai agama untuk mencatat setiap rekod yang diterima di
dalam borang 3A dan didokumentasikan untuk memastikan tiada percanggahan berlaku
ketika keterangan-keterangan lain dikemukakan ketika perbicaraan. Intihanya, Mahkamah
sekadar memutuskan kes pendakwaan tidak berjaya tanpa menjelaskan tahap pembuktian
yang perlu dicapai oleh pihak pendakwa semasa membuktikan kesnya.

Akhir sekali, isu berkenaan beban pembuktian dalam kes jenayah syariah boleh
dirujuk di dalam kes Pendakwa Syarie lwn Abdul Kahar bin Ahmad7, dimana tertuduh telah
didakwa melakukan lima kesalahan berhubung ajaran sesat di bawah Enakmen Jenayah
Syariah (Negeri Selangor)8 yang mana pihak tertuduh telah membuat pengakuan bersalah
terhadap kesemua pertuduhan tersebut. Isu yang diutarakan dalam kes ini adalah berkenaan
sama ada pengakuan bersalah tertuduh mengikat tertuduh untuk disabitkan bersalah di atas
kelima-lima pertuduhan yang didakwa ke atasnya.

Mahkamah di dalam kes ini berpendapat bahawa iqrar yang dilakukan oleh tertuduh
sudah memadai untuk Hakim mensabitkan setiap kesalahan jenayah yang dihadapkan ke
atasnya. Selain itu, beban pembuktian juga telah berjaya dipenuhi oleh pihak pendakwaan
selaras dengan Seksyen 73 sehingga Seksyen 77 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah
(Negeri Selangor) dimana semua peruntukan berhubung dengan beban pembuktian,
termasuklah beban membuktikan kes orang tertuduh termasuk dalam kekecualianDi akhir kes
ini, tertuduh telah disabitkan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 7,8,10,12 dan 13
Enakmen Jenayah Syariah Selangor selepas pihak Mahkamah mengambil kira hujahan dan
pembuktian pihak Pendakwa yang telah membawakan keterangan yang kukuh untuk
6
Pendakwa Syarie Kelantan lwn Mohamed bin Sabu dan seorang lagi [1997] 11 JH 61
7
Pendakwa Syarie lwn Abdul Kahar bin Ahmad [2009] JH 29 (1) 100
8
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
pensabitan kesalahan tersebut. Pengakuan bersalah tertuduh juga kemudiannya telah
direkodkan oleh Mahkamah sesuai dengan kehendak undang-undang di dalam Enakmen
Tatcara9. Secara tuntasnya, kes ini telah memperlihatkan kepada kita bahawa iqrar atau
pengakuan bersalah yang dibuat oleh tertuduh tidak akan mengubah beban pembuktian yang
pada awalnya terletak pada pendakwa syarie beralih kepada pihak yang lain. Erti kata lain,
fakta yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan telah dibuktikan dengan kewujudan
pengakuan bersalah daripada pihak tertuduh itu sendiri10.

9
Seksyen 96 (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003
10
Suhaizad Saifuddin. April 2020. Pemakaian Beban dan Darjah Pembuktian dalam Kes Jenayah Syariah di
Malaysia: Suatu Analisis. http://journalarticle.ukm.my/15376/

You might also like