Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 3

DISKUSI PENETAPAN HAD UMUR MINIMA PERKAHWINAN DALAM MASYARAKAT ISLAM

Ketetapan had umur minimum perkahwinan di dalam Masyarakat Islam bermula di Mesir melalui al-
Ittihad al-Nisa’I al-Misri iaitu suatu persatuan feminin yang ditubuhkan ketika tahun 1923 dan diketuai oleh
seorang wanita bernama Huda Sha’arawi yang meminta kepada Kerajaan Mesir agar menetapkan umur minima
perkahwinan untuk wanita ialah ketika berusia 16 tahun dan lelaki pula ketika berusia 18 tahun (M.F Badran,
1977). Akhirnya, keputusan telah dicapai melalui perbentangan tersebut secara sepakat oleh para ulama kerana
penetapan had umur minima yang dicadangkan oleh Nisa’I al-Misri adalah tidak bertentangan dengan hukum
syarak. Oleh yang demikian, Parlimen telah meluluskan cadangan tersebut dan menguatkuasakan cadangan
tersebut sebagai undang-undang ketika tahun 1924 (Ali A. Izadparast, 1974). Pada tahun 1930-an, persoalan
mengenai kesesuaian perkahwinan pada usia muda telah mula dibangkitkan oleh golongan intelektual Islam di
Tanah Melayu. Namun begitu, perbincangan ini hanya sekadar kepada kesesuaian amalan baik dan bukan ke
tahap penetapan umur minima bagi perkahwinan dari sudut undang undang. Pada masa itu, kesan idea reformasi
yang muncul di Mesir mula memberikan kesedaran tentang keperluan peningkatan status wanita dalam
masyarakat di Tanah Melayu.

Antara tokoh awal yang menimbulkan isu kahwin ketika usia muda dalam Masyarakat Melayu ialah
Fadhlullah Suhaimi. Beliau menyatakan bahawa umur yang tidak sesuai berkahwin di kalangn kanak-kanak
ialah umur kanak-kanak perempuan berusia sekitar 13 hingga 14 tahun kerana kanak-kanak pada waktu itu perlu
ke sekolah untuk mencari ilmu pengetahuan bagi memajukan masyarakat Islam. Beliau memetik pandangan
Imam Shafi’I yang mengatakan bahawa salah satu syarat utama agar daapat menguasai ilmu pengetahuan dan
kemahiran yang dipelukan dalam kehidupan ialah kecerdikan. Oleh yang demikian, beliau yakin bahawa ibu
bapa yang sudah dewasa lebih berkemampuan untuk mengelakkan kemudaratan yang telah disenaraikan tetapi
akan lebih memperolehi kebaikan yang lebih menyuruh berbanding ibu bapa yang masih lagi kanak-kanak
(Niamah & Fadhlullah, 1998). Justeru itu, beliau mencadangkan umur yang sesuai untuk berkahwin bagi wanita
adalah ketika berusia 18 tahun dan bagi lelaki pula adalah ketika usia 25 tahun (Niamah & Fadhlullah, 1998).
Namun begitu, Fadhlullah Suhaimi tidak bersetuju apabila isu penetapan had minimum perkahwinan dari segi
undang-undang mula dibicarakan dalam masyarakat Islam di Singapura ketika tahun 1950-an kerana ia tidak
sesuai untuk masyarakat tempatan dan ianya bertentangan dengan hukum syarak (Niamah & Fadhlullah, 1998).

Walaubagaimanapun, perundangan Barat dan reformasi pemikiran Islam yang menekankan penggunaan
ijtihad dalam mencari masalah telah menyumbang kepada perkembangan Masyarakat Islam secara langsung
atau tidak langsung. Kodifikasi undang-undang keluarga Islam moden di negara-negara Islam menunjukkan
perubahan penerimaan pemerintah dan ulama yang dirujuk untuk tidak terikat sangat kepada pandangan mazhab
yang dipegang oleh mereka secara ketat. Hal ini kerana mereka mula menggunakan pendapat-pendapat dari
mazhab-mazhab lain dan memperuntukkannya ke dalam kod undang-undang berasaskan konsep takhayyur
dalam kerangka siyasah shar’iyyah sekiranya dilihat bersesuaian dengan maslahah masyarakat semasa
(Zanariah, 2013). Hal ini boleh dilihat di dalam undang-undang keluarga Islam Syria yang tidak menggunakan
pandangan Jumhur Ulama yang mengharuskan perkahwinan anak-anak tetapi undang-undang keluarga Syria
berpegang kepada pendapat Ibn Shabramah yang menyatakan bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah tidak
sah (Al-Zuhayli, 1984). Justeru itu, undang-undang Syria menetapkan bahawa had minima perkahwinan bagi
lelaki adalah ketika berusia lapan belas tahun manakala had minima perkahwinan bagi perempuan pula adalah
tujuh belas tahun (Al-Zuhayli, 1984). Hal ini kerana matlamat bagi negara Syria adalah untuk menjaga maslahah
kanak-kanak itu sendiri kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri ketika dewasa sudah sukar
apatah lagi melaksanakan tanggungjawab suami isteri ketika masih lagi kanak-kanak (Al-Zuhayli, 1984).
Namun begitu, ketetapan had minima 18 tahun bagi lelaki dan 17 tahun bagi perempuan di Syria adalah tidak
mutlak kerana hakim mempunyai bidang kuasa untuk membenarkan perkahwinan kanak-kanak di bawah
ketetapan had minima jika kedua-dua yang membuat permohonan ke mahkamah itu telah pun baligh di mana
pembuktian baligh tersebut perlu dilakukan terlebih dahulu secara perubatan untuk menentukan sama ada
pemohon adalah benar-benar baligh atau tidak. Hal ini kerana usia yang membenarkan seseorang itu
berkemampuan dalam melakukan hubungan kelamin adalah ketika usianya sudah baligh (Al-Zuhayli, 1984).
Oleh yang demikian, keizinan daripada Mahkamah diberikan agar kanak-kanak ini tidak terjebak dalam gejala
maksiat. Namun yang demikian, ianya penting untuk mengetahui bahawa undang-undang di Syria tidak
membenarkan kanak-kanak lelaki yang berusia 14 tahun ke bawah dan perempuan yang berusia 12 tahun ke
bawah untuk melakukan permohonan perkahwinan kerana permohonan untuk berkahwin kepada mahkamah
hanya boleh dilakukan oleh lelaki yang berusia 17 tahun hingga 15 tahun dan perempuan yang berusia 16 tahun
hingga 13 tahun sahaja (Al-Zuhayli, 1984).

Seterusnya, umur yang ditetapkan dan dibenarkan oleh undang-undang keluarga di Maghribi pula ialah
18 tahun bagi lelaki dan 15 tahun bagi perempuan. Namun begitu, pihak Mahkamah boleh meluluskan
permohonan untuk berkahwin bagi kanak-kanak jika adanya persetujuan daripada penjaga iaitu wali (Jamal J.
Ahmad Nasir, 2009). Selain itu, Mesir juga ada menetapkan had umur minima untuk membenarkan
perkahwinan bagi kanak-kanak iaitu lapan belas tahun bagi lelaki dan enam belas tahun bagi perempuan. Sama
seperti Maghribi dan Syria, kanak-kanak di bawah umur yang ditetapkan yang ingin berkahwin di Mesir perlu
mendapatkan keizinan khas daripada Mahkamah melalui permohonan kepada Mahkamah (Jamal J. Ahmad
Nasir, 2009). Namun begitu, Malaysia boleh dikatakan masih ketinggalan jauh dari segi undang-undang
keluarga Islam berbanding negara-negara Islam yang disebut sebelum ini. Hal ini kerana Malaysia masih belum
memperuntukkan dalam undang-undang keluarga Islam berkaitan kemampuan fizikal suami dan isteri di bawah
umur minima. Oleh yang demikian, Malaysia harus mencontohi negara Syria yang secara jelas menerangkan
bahawa bukti perubatan yang menunjukkan mereka sudah baligh dan kesediaan mereka secara fizikal dalam
melakukan hubungan kelamin amat dititikberatkan sebelum permohonan mereka diluluskan oleh Mahkamah
(Zanariah, 2013). Namun begitu, Malaysia juga masih berjalan seiring dengan negara-negara Islam yang lain
kerana telah memperuntukkan pada tahun 1980-an iaitu Seksyen 8 dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam
(Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 di mana ia menyatakan bahawa tiada sesuatu pun pernikahan dibenarkan
jika ia membabitkan lelaki yang berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan yang berumur
kurang dari enam belas tahun kecuali dengan kebenaran daripada Hakim Syarie secare bertulis dalam keadaan
yang tertentu. Bukan itu sahaja, Seksyen 8 dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam 1984 (pindaan 2006)
dan Seksyen 8 dalam Undang-undang Keluarga Islam Kelantan juga menyatakan bahawa wali juga tidak boleh
dengan sewenang-wenangnya mengakadkan sesuatu perkahwinan tanpa keizinan pihak yang berkuasa di negeri
wanita itu bermastautin. Justeru itu, sesorang wali seperti wali mujbir iaitu bapa atau datuk kepada bapa
hendaklah mendapatkan keizinan daripada hakim mahkamah syariah sebelum menikahkan kanak-kanak, jika
wali tersebut tidak melakukan tindakan sedemikian, maka wali tersebut akan dianggap seperti membuat
kesalahan kerana telah menyalahi peruntukkan Seksyen 40 dalam Akta Undang-undang Keluarga Islam
(Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 dan jika Mahkamah mendapatinya bersalah, maka hukuman tidak
melebihi RM 1,000.00 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan
kepadanya. Berdasarkan diskusi dan peruntukkan undang-undang had minima perkahwinan dalam masyarakat
Islam yang dijelaskan di atas, jelas sekali bahawa walaupun hukum berkahwin ketika di usia kanak-kanak
adalah sah mengikut hukum syarak, masyarakat Islam lebih mementingkan kebajikan kanak-kanak dengan
menetapkan had minima perkahwinan dalam Islam agar perkahwinan yang dilangsungkan bukan hanya sekadar
nafsu semata-mata namun diisi dengan mawaddah dan rahmah seperti yang dituntut oleh Allah dalam Surah Al-
Rum, Ayat 21.
RUJUKAN

Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984

Al-Zuhayli, Wahbah, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (Dimashq: Dar al-Fikr, 1984), vii

Badran, M.F ‘Huda Sha’arawi and the Liberation of the Egyptian Woman,’ (Tesis PhD, University of Oxford,
London, 1977)

Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan

Izadparast, Ali A., ‘Position of Women in Muslim Arab Societies,’ (Tesis PhD, University of Utah, United
States, 1974)

Jamal J. Ahmad Nasir, The Islamic Law of Personal Status (Leiden, Boston: Brill, 2009)

Niamah Hj Ismail Umar, Fadhlullah Suhaimi (Selangor: Progressive Publishing House Sdn Bhd, 1998)

You might also like