Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 3

BIODATA PENULIS

Chan Yook Lean dilahirkan pada 22 Februari 1962 di Jitra, Kedah. Kini,
beliau bertugas sebagai guru cemerlang matematik di Sekolah Kebangsaan
Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur. Beliau berkelulusan Diploma
Perguruan dari Maktab Perguruan Mohd Khalid, Johor Bahru, Johor
pada tahun 1985. Kerjaya beliau sebagai pendidik bermula di Sekolah
Jenis Kebangsaan (Cina) Ming Tee, Kuala Selangor (1986-1988) dan
Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kepong 2, Kuala Lumpur (1989-1990).
Seterusnya, beliau merupakan Ketua Panitia Matematik (1996 - 2016), guru matematik dan
Penyelaras Kebitaraan Matematik di Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Maluri, Kepong,
Kuala Lumpur (1991-Jun 2017). Berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang luas sebagai
pendidik, beliau diiktiraf sebagai Guru Cemerlang Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sejak tahun 1999. Selain peranan di
sekolah, beliau merupakan Jurulatih Utama KPM bagi penyebaran Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran KSSR serta Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Matematik
Tahun 4 pada tahun 2013. Beliau juga menjadi Jurulatih Utama Negeri bagi Kursus
Conversion Mathematics Sekolah Rendah pada tahun 2001. Pihak Bahagian Teknologi
Pendidikan (BTP) turut menggunakan khidmat beliau sebagai Ahli Panel Penilai Isi
Kandungan Bengkel Penilaian Papan Cerita PPSMI Matematik serta penulis skrip dan
pelakon utama dalam penerbitan VCD sekolah rendah berjudul Best Teaching Practice
Mathematics pada tahun 2006. Pihak Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik
turut mengundang beliau sebagai Ahli Panel Forum Hari Akademik yang bertema
“Menjana Kreativiti dan Inovasi dalam Kalangan Guru Permulaan” pada tahun 2012.
Penglibatan beliau dengan pihak DBP bermula pada tahun 2007 sebagai Ahli Panel
Jawatankuasa Kawalan Mutu bagi beberapa judul buku teks matematik. Beliau sangat
berpengalaman dalam bidang penulisan buku teks KPM terbitan DBP bermula pada tahun
2010 sebagai penulis bersama pakej buku teks DBP bagi mata pelajaran Matematik
Tahun 1 KSSR. Kepakaran dalam penulisan diteruskan apabila terpilih sebagai penulis
bersama pakej buku teks Matematik Tahun 3 hingga Tahun 6 KSSR dan pakej buku teks
Matematik Tahun 1 hingga Tahun 3 KSSR Semakan. Beliau juga aktif menghasilkan buku
rujukan dan buku aktiviti matematik tahap 1 dan tahap 2 terbitan SASBADI. Sejak tahun
1999 sehingga kini, beliau menjadi penceramah Teknik Menjawab Soalan Matematik
UPSR. Sumbangan besar beliau dalam pendidikan matematik turut diiktiraf oleh pihak
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan menganugerahi beliau
sebagai Guru Inovatif Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1997.
Prof. Dr. Marzita binti Puteh dilahirkan pada 21 Mac 1960 di Jasin,
Melaka. Kini, beliau bertugas sebagai Professor dalam bidang pendidikan
matematik di Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan
Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana
Muda Matematik (dengan Kepujian) dari Universiti of Reading, England
pada tahun 1983. Beliau juga mempunyai Diploma Pendidikan dari
Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1984 dan kemudian
melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di Universiti Malaya pada tahun 1992.
Kecintaan dalam bidang pendidikan matematik telah menyuntik semangat beliau untuk
meneruskan pengajian sehingga dianugerahkan Doktor Falsafah dari University of East
Anglia, Norwich, England pada tahun 1999.
Kerjaya beliau sebagai pendidik bermula di Sekolah Menengah Sultan Abdul Samad,
Banting, Selangor (1984-1986) dan seterusnya sebagai pensyarah di 3 buah maktab
perguruan iaitu Maktab Perguruan Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan (1986-1990),
Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur (1990-1995) dan Maktab Perguruan
Teknik, Cheras, Kuala Lumpur (1998-1999). Sebelum menyertai tenaga pakar akademik
di UPSI, beliau ialah Timbalan Pengarah di Bahagian Pendidikan Guru (BPG) pada
tahun 1999 hingga 2001. Seterusnya, karier beliau sebagai pensyarah universiti bermula
sebagai pensyarah kanan (2001-2003), diikuti sebagai Profesor Madya (2003-2008) dan
kemudian pada Oktober 2008 beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Professor dalam
bidang pendidikan matematik. Berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang luas
dalam bidang pendidikan matematik, beliau dilantik sebagai ahli panel penilai oleh pihak
Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan telah diberi mandat untuk menilai program-
program yang dilaksanakan oleh beberapa universiti awam dan swasta.
Minat dan kebolehan dalam bidang penulisan pula melayakkan beliau menjadi penulis
buku-buku ilmiah untuk kegunaan pelajar di universiti. Antara hasil penulisan beliau ialah
Foundation Mathematics, Matematik Permulaan 1, Matematik Permulaan 2 dan beberapa
buku umum seperti Factors Associated with Mathematics Anxiety dan Mathematics
Anxiety, the need to Overcome it. Kepakaran beliau juga terserlah apabila beliau telah
menterjemahkan beberapa buah buku matematik dari peringkat prasekolah hingga ke
peringkat universiti. Kepakaran beliau dalam bidang pendidikan matematik tidak hanya
dimanfaatkan di universiti sahaja, malah beliau juga terlibat secara langsung sebagai Ahli
Jawatankuasa Penilai Kawalan Mutu bagi beberapa judul buku teks matematik sekolah
menengah dengan pihak Bahagian Buku Teks, KPM. Manakala penglibatan beliau dengan
pihak DBP pula bermula pada tahun 2003 sebagai Pengerusi Panel Jawatankuasa
Kawalan Mutu bagi beberapa judul buku teks matematik sekolah rendah. Kemudian,
beliau menceburkan diri dalam bidang penulisan selepas terpilih sebagai penulis bersama
pakej buku teks DBP bagi mata pelajaran Matematik Tahun 5 KBSR (2006) dan Matematik
Tahun 6 KBSR (2007) dalam Bahasa Inggeris. Kepakaran dalam penulisan diteruskan
apabila terpilih sebagai penulis bersama pakej buku teks Matematik Tahun 1, Tahun 3 dan
Tahun 6 KSSR serta Tahun 3 KSSR Semakan. Sumbangan besar beliau dalam pendidikan
matematik telah diiktiraf oleh pihak universiti dengan menganugerahkan beliau Khidmat
Cemerlang sebanyak 4 kali pada tahun 2003, 2005, 2010 dan 2012.
Gobi Krishnan dilahirkan pada 12 April 1972 di Butterworth, Pulau Pinang.
Kini, beliau bertugas sebagai Ketua Panitia Matematik dan guru matematik
di Sekolah Kebangsaan Pangkalan Rinting, Tampoi, Johor Bahru. Beliau
berkelulusan Diploma Perguruan dari Maktab Perguruan Mohd Khalid,
Johor Bahru, Johor pada tahun 1995. Minat yang mendalam dalam
bidang matematik telah menyuntik semangat beliau untuk melanjutkan
pengajiannya ke peringkat ijazah pertama di Universiti Kebangsaan
Malaysia dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan Matematik (dengan
Kepujian) pada tahun 2000. Kerjaya beliau sebagai pendidik di Sekolah Kebangsaan
Pangkalan Rinting sehingga kini telah melebihi 20 tahun bermula pada tahun 1995.
Berdasarkan kepakaran dan pengalaman yang luas sebagai pendidik, beliau diiktiraf
sebagai guru cemerlang oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun
2010. Selain peranan di sekolah, beliau juga merupakan Jurulatih Utama Bahagian
Pembangunan Kurikulum (BPK), KPM dan bergiat aktif dalam program penyebaran
Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran KSSR serta Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) Tahap 1 dan Tahap 2. Pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia turut melantik
beliau sebagai ahli panel jawatankuasa dalam bengkel pembinaan item KBAT dan
Jurulatih Utama Penyebaran Format Terkini UPSR 2016. Beliau berjinak-jinak dalam bidang
penulisan pada tahun 2014 sebagai penulis bersama buku teks DBP bagi mata pelajaran
Matematik Tahun 5 KSSR. Seterusnya beliau terpilih sekali lagi sebagai penulis bersama
Pakej Buku Teks Matematik Tahun 1 dan Tahun 3 KSSR Semakan. Sumbangan besar
beliau dalam pendidikan matematik turut diiktiraf oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri
Johor dengan menganugerah beliau sebagai Guru Ikon sempena Sambutan Hari Guru
Peringkat Daerah Johor Bahru pada tahun 2014. Usaha murni beliau dalam kerjayanya
turut melayakkan beliau menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak empat
kali di sekolah. Beliau turut menyumbang kepakaran dalam bidang penerbitan buku
sebagai Panel Jawatankuasa Penilaian Buku Teks Matematik Tahun 5 SK (DBP, 2012) di
peringkat KPM.

You might also like