Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

BIOMEKANIK DALAM SUKAN BOLA SEPAK

Mohd Firdaus Mahamad Ali


Universiti Malaysia Kelantan, Faculty of Creative Technology and Herittage, 16300 Bachok, Kelantan
Darul Naim, Malaysia.
mfirdaus.ma@umk.edu.my

Di Malaysia, seperti mana yang diketahui pencapaian bagi setiap jenis sukan
adalah kurang memberangsangkan. Hanya sesetengah sukan sahaja yang mempunyai
prestasi yang agak membanggakan contohnya sukan badminton, squash dan sepak
takraw. Seperti yang kita sedia maklum, bola sepak merupakan suatu permainan yang
digemari di seluruh dunia dan sukan ini merupakan sukan nombor satu di dunia begitu
juga di Malaysia. Walaupun bola sepak di negara kita menuju era profesional,
prestasinya adalah di tahap rendah dan tidak dapat dibanggakan. Berada di kedudukan
ke 170 ranking dunia Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan juga di
kedudukan ke 18 ranking konfederasi bola sepak asia (AFC) menjadikan mutu bola
sepak kita masih jauh ketinggalan berbanding negara lain.

Jika dilihat dalam perlawanan-perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan,


pergerakan pemain bola sepak kelihatan tidak bertenaga dan mudah jatuh apabila
diasak secara fizikal oleh pemain pihak lawan, Jika dilihat pada persembahan pemain-
pemain terdahulu seperti Jamal Nasir, Mokhtar Dahari atau Abdullah Ali, mereka
tidak mudah jatuh, sangat lasak, agresif dan sangat rajin dalam pergerakan. Ini
menunjukkan gaya pergerakan dan larian sebenarnya adalah aspek stamina yang
boleh dibentuk. Kelemahan yang sangat ketara dalam permainan bola sepak di
Malaysia adalah kemahiran tendangan yang lemah. Selain itu, hantaran yang tidak
tepat, kawalan bola yang longgar, cara menampan bola yang lemah dan tendangan
yang sering tidak menepati sasaran telah menjejaskan corak permainan pasukan.
Pemilihan kasut bola sepak yang sesuai dan memberi keselesaan juga memainkan
peranan yang penting dalam membantu meningkatkan permainan yang berkualiti.
Oleh itu, satu kajian segera perlu dibuat bagi menaikkan semula kedudukan Malaysia
bagi mencapai kedudukan yang terbaik seterusnya menguasai Asia.

Pada masa kini, perkembangan sains dan teknologi telah mendorong para
penyelidik memajukan pelbagai bidang di seluruh dunia termasuklah dalam bidang
sukan. Di dalam bidang sukan, para penyelidik telah banyak membuat kajian tentang
prestasi dan pekembangan atlet untuk setiap jenis sukan dengan menggunakan kaedah
biomekanik. Melalui kajian ini, analisis biomekanik telah berjaya meningkatkan
prestasi atlet bagi setiap jenis sukan. Kellis dan Katis (2007) memfokuskan aspek-
aspek perbandingan kajian-kajian terdahulu yang telah dijalankan khususnya bagi
jenis tendangan.

Pendedahan dalam bidang biomekanik masih baru di Malaysia dan ianya perlu
diperluaskan bagi pengetahuan umum. Ia bukan sahaja digunakan dalam bidang sukan
malah pelbagai bidang lain contohnya perubatan dan industri. Biomekanik ini banyak
digunapakai oleh negara-negara maju bagi meningkatkan kualiti dan mengurangkan
dari berlakunya sebarang kecederaan pada manusia. Secara terperincinya maksud
biomekanik boleh dipecahkan kepada dua iaitu bio dan mekanik. Perkataan Bio
membawa maksud kehidupan atau sistem biologi. Bagi perkataan Mekanik pula ia
membawa maksud kajian atau analisa terhadap daya dan kesannya. Biomekanik juga
boleh didefinisikan sebagai kajian atau aplikasi bagi prinsip mekanik dalam
kehidupan yang membawa kaedah kejuruteraan (Ginnis, 2005). Biomekanik adalah
suatu bidang kajian dalam ergonomik yang berhubungan dengan mekanisme
pergerakan tubuh dalam melakukan suatu pekerjaan/aktiviti. Pada dasarnya, analisis
biomekanik merupakan kajian ke atas daya dan kesan daya tersebut pada tubuh badan
manusia. Apabila daya dikenakan kepada tubuh badan manusia, maka, bidang
biomekanik ini boleh digunakan untuk menganalisa dan mengenalpasti sebab dan
kesannya.

Di dalam sukan, biomekanik lebih menumpukan secara meluas terhadap


prestasi persembahan. Bagaimanapun, tumpuan turut diberikan terhadap faktor-faktor
yang boleh mempengaruhi prestasi dan persembahan atlet, sebagai contoh, pakaian,
kasut, permukaan serta peralatan. Asas kepada biomekanik dalam bidang sukan
adalah berkaitan dengan mekanik itu sendiri serta anatomi dalam sistem
muskuloskeletal (Bartlett, 2007).

Biomekanik melibatkan dua aspek yang berbeza iaitu kinetik dan kinematik.
Kinematik adalah suatu kajian berkaitan dengan geometri, bentuk atau bentuk
pergerakan dengan mengambilkira faktor masa (Susan, 2003). Kinematik melibatkan
aspek posisi, sudut, halaju, dan pecutan segmen badan tanpa mengira daya penyebab
kepada pergerakan yang terhasil. Menerusi analisis kinematik yang dijalankan secara
tiga dimensi dapat dijelaskan dengan terperinci kemahiran yang diaplikasikan serta
membandingkan kelebihan dan kelemahan aplikasi teknik berdasarkan kesesuaian
anatomi dan mekanikal individu (Hay, 1985).

Menurut pandangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara


(ISN), Dato Dr Ramlan Abd Aziz, “Jurulatih dan atlet negara memang
mempraktikkan unsur-unsur biomekanik dalam latihan namun teknik tersebut tidak
digunakan secara menyeluruh. Biomekanik merupakan pergerakan anggota tubuh
badan manusia yang boleh diperbaiki dengan menggunakan pelbagai teknik yang
menghasilkan kestabilan tubuh, daya dan imbangan paling optimum.
Biomekanik juga melibatkan pengerakan tubuh badan iaitu berlari, melompat dan
sebagainya. Teknik biomekanik adalah sangat penting dalam sukan kerana ia
melibatkan pergerakan tubuh badan seseorang atlet dan meliputi kefahaman tentang
otot dan tulang. Setiap individu itu mempunyai biomekanik yang berbeza-beza”.

Bagi kajian biomekanik yang menumpukan aspek prestasi, teknik tendangan


merupakan elemen yang paling kritikal di dalam permainan bola sepak dan telah
menerima perhatian yang penting dalam kajian biomekanik (Sterzing & Hennig,
1999). Di dalam permainan bola sepak, pelbagai bahagian kaki digunakan bagi
melakukan hantaran, rembatan, membengkokkan dan menghentikan bola (Harun &
Salamuddin, 2006). Oleh itu, bahagian-bahagian utama pada bahagian kaki atau kasut
haruslah diketahui agar teknik tendangan yang baik dan sesuai dapat digunakan.
Antara bahagian-bahagian yang terdapat pada kaki atau kasut adalah seperti yang
ditunjukkan dalam Rajah 1.

Bahagian Dalam
a. Merupakan kawasan utama bahagian kaki yang digunakan untuk melakukan
tendangan.
b. Digunakan juga bagi mengawal dan menghantar bola dengan ketepatan yang
tinggi.

Bahagian Atas
a. Bahagian yang paling terbaik menyentuh kawasan kasut.
b. Digunakan bagi membawa bola dalam keadaan jarak jauh, merembat atau
membuang keluar bola.

Bahagian Luar
a. Digunakan bagi membengkok atau membelok bola.
b. Digunakan bagi hantaran jarak dekat dan sederhana.

Bahagian Kekura Kaki


a. Bahagian atas kaki pada tali pengikat kasut.
b. Kerap kali digunakan berbanding bahagian yang lain (menghantar dekat dan
jauh, merembat, mengangkat bola).

Rajah 1: Bahagian kaki yang digunakan untuk membuat tendangan


Sumber: Harun & Salamuddin, 2006

Tendangan kekura kaki merupakan elemen asas dan telah banyak dikaji dalam
permainan bola sepak (Lees & Nolan 1998 ; Dorge et al., 1999 ; Nunome et al., 2006,
Apriantono et al., 2006). Tendangan kekura kaki adalah tendangan yang paling
banyak digunakan dalam sukan bola sepak. Teknik tendangan kekura kaki sering
digunakan bagi tujuan hantaran pendek dan tepat serta bagi melakukan jaringan
(Nunome et al., 2002). Tendangan menggunakan bahagian kekura kaki secara
umumnya menggunakan tali kasut untuk menyepak bola (Kuo et al. 2007). Teknik
tendangan ini telah dikaji sifat biomekaniknya secara terperinci dan telah ada
penjelasan saintifik mengenai komponen-komponennya termasuklah fasa sentuhan di
antara kaki dengan bola (Barfield, 1998).
Bagi kajian biomekanik yang menumpukan aspek pembangunan produk, kasut
bola sepak merupakan elemen yang sangat penting untuk dikaji. Kajian terhadap kasut
bola sepak boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian antaranya adalah dari segi
pemilihan bahan pembuatan, tapak, stud dan jenis ikatan. Seperti yang diketahui,
kasut bola sepak yang baik akan dapat meningkatkan prestasi, pada masa yang sama
juga akan melindungi pemain atau atlet daripada sebarang kecederaan.

Dalam bola sepak, bentuk stud serta tapak dan juga permukaan padang adalah
amat penting bagi memberi lebih keselesaan dan cengkaman kepada pemain. Hennig,
(2010) mencadangkan bahawa bentuk stud pada kasut pemain bola sepak akan
mempengaruhi kelajuan dan ketepatan kepada mereka. Bentuk stud yang lebih
panjang amatlah sesuai untuk digunakan sewaktu permukaan padang basah dan
dalam. Bagi bentuk stud yang pendek pula, ia digunakan untuk permukaan padang
yang kering dan keras. Perbezaan-perbezaan bentuk stud ini adalah penting apabila
bermain di atas rumput semula jadi. Selain itu, faktor kedudukan bentuk stud yang
berbeza dan juga bilangan stud pada kasut bola sepak memberi impak kepada
sesorang pemain bola sepak.

Konfigurasi tapak pada kasut bola sepak memainkan peranan penting dengan
mengambil kira fungsi ciri-ciri daya tarikan. Konfigurasi tapak yang memberikan
sifat-sifat yang tidak sesuai menyebabkan daya tarikan menjadi rendah serta
meningkatkan risiko untuk tergelincir. Konfigurasi tapak juga, boleh memberikan
daya tarikan yang tinggi, sekali gus meningkatkan potensi untuk berlakunya
kecederaan. Pemilihan bahan binaan pada kasut juga perlu dititik beratkan bagi
memudahkan pergerakan pemain dan juga memberi keselesaan dan mengelakan dari
berlakunya kecederaan. Pelbagai kajian dalam pemilihan bahan bagi pembuatan kasut
bola sepak telah dikaji dan perubahannya dapat dilihat sehingga kini yang mana pada
asalnya dahulu bahan yang digunakan terlalu berat dan mudah diserap oleh air
berbanding pada masa kini yang mana lebih ringan dan efisyen.

Jenis ikatan pada kasut bola juga memainkan peranan yang besar dalam
peningkatan kualiti permainan. Jenis ikatan yang kini didapati adalah di bahagian
tengah dan juga tepi. Kedu-dua ikatan ini mempunyai perbezaan yang mana ia
mampu membantu dalam memberi keselesaan kepada pemain. Kebanyakan syarikat
kini berlumba-lumba dalam menghasilkan kasut bola sepak yang berkualiti dan
berteknologi tinggi. Aspek pembangunan bukan sahaja dikaji dari segi kasut malahan
pada produk lain contohnya baju yang lebih kalis peluh atau basah.

Pendedahan dalam bidang biomekanik kini banyak dikuasai oleh negara-


negara seperti Jepun, Thailand, China, Australia dan lain-lain yang mana ia
digabungkan dengan beberapa elemen lain bagi menentukan keupayaan atlet mereka
dan juga pembangunan produk mereka. Lihat pada negara Thailand mereka sekarang
mampu menghasilkan kasut futsal yang berkualiti dan setanding dengan pasaran
sekarang begitu juga dengan baju-baju yang kualitinya setanding dengan syarikat-
syarikat besar.
Hari ini, landskap sukan kita telah mengalami perubahan fasa yang sangat
menakjubkan. Jika dahulu, kita bergantung kepada kebolehan dan bakat yang ada
pada atlet. Tetapi, sekarang, kita memerlukan satu tahap teknologi terkini untuk
menentukan keupayaan bagi semua atlet dari aspek pembangunan produk dan juga
peningkatan prestasi. Penubuhan Pusat Biomekanik Sukan oleh Institut Sukan Negara
(ISN) sebelum ini telah melahirkan pelbagai atlet yang kompetitif di peringkat
antarabangsa, malah memupuk satu ekosistem yang sentiasa dapat menghasilkan
atlet-atlet berkaliber tinggi. Pusat Biomekanik Sukan di institut sukan negara boleh
dipecahkan kepada tiga bahagian utama iaitu biomekanik sukan, biomekanik klinikan
dan biomekanik fungsi, yang akan mengkaji dan menganalisis pola-pola pergerakan
manusia dan sukan. Antara kejayaan yang telah dicapai setelah penubuhan pusat ini,
adalah kejayaan pukulan sudut penalti bagi Pasukan Hoki (Lelaki Junior) yang telah
muncul sebagai juara Piala Asia junior, Piala Sultan Johor, serta modifikasi dalam
teknik permulaan acara pecut bagi atlet pecut paralimpik.
Selain itu, cadangan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk
mengkaji untuk menjadikan Malaysia sebagai hab Biomekanik Sukan dan menjadi
sumber rujukan di rantau Asia Tenggara bagi melahirkan atlet bertaraf dunia telah
dibincangkan pada bulan April 2014. Sehingga kini perbincangan itu masih
berlangsung berikutan penubuhan hab ini memerlukan kos yang amat tinggi.
Secara kesimpulannya, sifat biomekanik ini adalah sangat penting dalam
menghasilkan produk yang berkualiti, ini kerana pekerja dapat mengurangkan risiko
apabila menggunakan sebarang alat/produk yang direka. Teknik biomekanik yang
berkualiti dalam aktiviti sukan perlu dititik beratkan oleh jurulatih dan juga atlet bagi
mengurangkan risiko berlakunya kecederaan selain mengekalkan konsistensi prestasi.
Prestasi seseorang atlet atau pemain bola sepak bukan sahaja dipengaruhi oleh
kelebihan atau bakat semula jadi yang ada pada pemain tersebut tetapi ia juga dibantu
oleh teknologi terkini yang mana pelbagai kajian telah dijalankan bagi membantu
meningkatkan prestasi seseorang pemain bola sepak.
Rujukan:
Apriantono, T., Nunome, H., Ikegami, Y. and Sano, S., 2006. The effect of muscle
fatigue on instep kicking kinetics and kinematics in football association. Journal of
Sports Sciences 24, 951-960
Barfield, W.R., 1998. The Biomechanics of Kicking In Soccer. Clinics in Sport
Medicine 17(4):711-728.
Bartlett, R. 2007. Introduction to Sports Biomechanics: Analysing Human Movement
Patterns. Routledge; 2 editions
Dorge, H., Andersen, B. T., Sorensen, H., Simonsen, E., Aagaard, H., Dyhre Poulsen,
P. and Klausen, K. 1999. EMG activity of the iliopsoas muscle and leg kinetics during
the soccer place kick. Scandinavian Journal of Medicine and Science in Sports 9:
195-200.
Ginnis P. M., 2005. Biomechanics of Sport and Exercise. 2nd Edition. ISBN-13:
9780736051019
Harun M. T., & Salamuddin N, 2006. Bola Sepak: Meniti Tangga Kejayaan. ISBN
9676119156
Hay, J.G., 1985. The Biomechanics of Sports Techniques. 2nd edition. Prentice-Hall,
Englewood Cliffs, NJ.
Hennig, E. M. & Sterzing, T. (2010) The influence of soccer shoe design on playing
performance: a series of biomechanical studies. Footwear Science, 2, 3 - 11.
Kellis E. & Katis A., 2007. Biomechanical characteristics and determinants of instep
soccer kick. Journal of Sports Science and Medicine 6: 154-165.
Kuo X.L., Shiang T.Y., 2007. The Instep Kicking Accuracy Using Different Soccer
Shoes. XXI ISB Congress
Lees, A. and Nolan, L., 1998. The biomechanics of soccer: A review. Journal of
Sports Sciences 16: 211-234.
Nunome, H., Asai, T., Ikegami, Y. and Sakurai, S. 2002. Three dimensional kinetic
analysis of side-foot and instep soccer kicks. Medicine and Science in Sports and
Exercise 34: 2028-2036.
Nunome, H., Ikegami, Y., Kozakai, R., Apriantono, T. and Sano, S. 2006. Segmental
dynamics of soccer instep kicking with the preferred and non-preferred leg. Journal of
Sports Sciences 24: 529-541.
Sterzing, T. F., & Hennig, E. M. 1999. Measurements Of Plantar Pressure, Rearfoot
Motion and Tibial Motion During Running. Fourth Symposium on Footwear
Biomechanics.
Susan J. H., 2003. Basic Biomechanics, 4th edition, Mc Graw Hill

You might also like