Pembangunan Model Adat Perpatih Patuh syariah

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 19

CADANGAN PEMBANGUNAN MODEL ADAT PERPATIH PATUH

SYARIAH DI MALAYSIA: SATU TINJAUAN AWAL

Mualimin Mochammad Sahid, Amir Husin Mohd Nor, Azman Ab. Rahman, Muneer Ali Abdul
Rab, Setiyawan Gunardi, Mahmoud Mohamed Ali, Fithriah Wardi, Nik Rahim Nik Wajis,
Mohamad Ikwan Hami

Abstrak

Adat bermaksud peraturan yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat secara turun
temurun sehingga ianya merupakan suatu hukum yang perlu dipatuhi oleh semua.
Terdapat dua jenis hukum adat yang diamalkan di negeri-negeri Melayu sebelum
campur tangan British iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Adat Perpatih berasal
dari Pagar Ruyung, Sumatera yang diasaskan oleh Datuk Perpatih Nan Sebatang yang
menjaga kawasan tanah sebelah darat dan diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning.
Adat ini dibawa ke Negeri Sembilan oleh orang Minangkabau pada kurun ke-17. Adat
Perpatih merupakan adat yang tidak bertulis dan hukum adat ini berasaskan dua sumber
iaitu resam atau adat turun temurun yang diwarisi dan hukum syarak mazhab Shafie.
Secara umumnya adat perpatih meliputi aspek jenayah, pembahagian harta dan
kekeluargaan serta perkahwinan. Dalam adat Perpatih, undang-undang jenayah bersifat
pemulihan, berperikemanusiaan dan bertimbang rasa. Manakala undang-undang
pembahagian harta adalah mementingkan jurai keturunan sebelah nasab ibu atau
diberatkan kepada kaum perempuan. Undang- undang perkahwinan dalam Adat
Perpatih juga mempunyai keunikannya tersendiri, yang mana tidak membenarkan
perkahwinan sesama suku sebaliknya hendaklah berkahwin daripada suku yang
berlainan. Justeru, objektif kajian ini ingin mengenalpasti isu-isu hukum hakam yang
berkaitan dengan adat perpatih dari segi jenayah, pembahagian pusaka dan keluarga.
Kajian ini juga akan menilai isu-isu tersebut dari aspek hukum syarak dan kepatuhan
syariah. Hasil daripada kajian ini, penyelidik akan mencadangkan satu Model Adat
Perpatih Patuh Syariah yang boleh dijadikan panduan kepada pihak berautoriti yang
berkaitan dengan Adat perpatih. Diharapkan kajian ini dapat membantu masyarakat
dalam memahami adat perpatih dalam konteks syarak.

Kata Kunci: Adat Perpatih, Syariah, Malaysia

1
1. PENGENALAN

Adat dalam masyarakat Malaysia dan kepentingannya

Adat dari segi bahasa ialah peraturan-peraturan atau perkara yang biasa
dilakukan. Dan dari segi budaya pula, adat adalah merupakan peraturan-peraturan yang
telah ditetapkan oleh sesuatu masyarakat yang harus dipatuhi (Asmad, 1990).
Khususnya di Malaysia, terdapat pelbagai adat yang telah diamalkan oleh kaum-kaum
tertentu yang bermula sejak dari zaman nenek moyang mereka lagi dan pengamalan
adat-adat ini sudah hampir pupus kerana ditelan arus kemodenan. Walaupun begitu,
masih terdapat adat yang kekal diamalkan hingga ke hari ini. Adat juga melambangkan
simbol atau identiti sesuatu kaum. Setiap amalan tersebut mempunyai falsafahnya yang
tersendiri. Di antara kepentingan sesuatu adat diamalkan oleh kaum atau kelompok
tertentu ialah untuk melindungi jati diri individu-individu dan mengangkat martabat
sesuatu bangsa khususnya di Malaysia. Selain itu, keberlangsungan sesuatu adat di
dalam suku-suku atau kelompok-kelompok tertentu adalah untuk menjaga beberapa
kemaslahatan yang dilihat akan berlaku kemusnahan sekiranya tidak dibendung dari
awal kemunculan kelompok atau kaum tersebut. Justeru itu, pengekalan sesuatu
amalan yang menjadi kebiasan atau lebih sinonim dengan istilah “adat” adalah
merupakan satu metod atau kaedah terbaik yang difikirkan oleh pengamal adat demi
menjaga kepentingan masyarakat kaum tersebut mengikut keadaan dan keperluan
semasa. Begitu juga dengan amalan yang dilaksanakan oleh masyarakat Minangkabau
di Malaysia, khususnya di Negeri Sembilan yang mana mereka mengamalkan sistem
Adat Perpatih melalui penerapan elemen-elemen tertentu yang berbeza dengan sistem
Adat Temenggong di negeri-negeri lain.

Sekilas asal-usul adat Perpatih di Malaysia

Masyarakat Minangkabau berpegang bahawa Adat Perpatih mula berkembang


dari Periangan dan Padang Panjang. Ini berdasarkan pantun yang tercatat seperti
berikut:

Aku hilir ke Inderagiri,


Semalam di Padang Panjang,
Di mana adat mula berdiri,
Di Periangan, Padang Panjang. (Azzal Abu Talib, 1992/93)

Azzal Abu Talib juga menjelaskan bahawa orang-orang Minangkabau telah


merantau meninggalkan tanah air mereka sejak beratus-ratus tahun dahulu.
Semenanjung Tanah Melayu adalah merupakan destinasi utama mereka dan pada ketika
itu mereka telah membuka negeri-negeri baru iaitu di kawasan Naning dan Negeri
Sembilan. Mereka juga telah membawa adat yang diamalkan di Minangkabau ke Tanah
Melayu, Negeri Sembilan, sebagaimana yang diketahui umum iaitu Adat Perpatih.

2
Ramai ahli sejarah berpandangan bahawa Adat Perpatih adalah diambil
sempena nama Datuk Perpatih Nan Sebatang, iaitu seorang yang bertaggungjawab
menyusun dan membuat peraturan-peraturan dalam Adat Perpatih. Namun begitu
pendapat ini masih ada yang menyangkal disebabkan adanya sebahagian penulis yang
berpendapat ianya sulit diterima sekiranya hanya seorang sahaja individu yang
membuat peraturan-peraturan tersebut secara tunggal seterusnya mampu membuat
masyarakat terpangaruh untuk mengikuti dan mematuhi peraturan tersebut. Ada
kemungkinan bahawa adat ini hanya diambil sempena namanya sahaja oleh mereka
yang mengamalkannnya.

Menurut (Tan Sri A Samad Idris, Norhalim Hj. Ibrahim, Haji Muhammad Tainu
& Dharmala N.S.,1994), Sejauh yang dapat dipastikan penghijrahan orang
Minangkabau ke kawasan yang dikenali sebagai Negeri Sembilan sekarang mulai
berlaku sejak awal-awal lagi, iaitu tidak lewat daripada munculnya kerajaan Melaka.
Sepanjang kurun ke 15, sehingga masa Melaka ditakluki oleh kuasa Portugis, kawasan-
kawasan yang menjadi kediaman orang Minangkabau itu menjadi jajahan takluk
Melaka. Selepas tahun 1511, apabila kerabat diraja Melaka berpindah ke Johor,
kawasan-kawasan Negeri Sembilan pula patuh kepada kerajaan Johor sehingga
penghujung kurun ke-17.

Pada tahun 1673, Johor telah lama dimusnahkan oleh Jambi. Walaupun itu
hanya merupakan suatu kemunashan fizikal kerana kerajaannya tetap hidup, kawalan
kerajaan Johor ke atas jajahan takluknya telah menjadi longgar. Ini membolehkan
beberapa kawasan untuk menegakkan kebebasan masing-masing. Pada tahun 1677
pula, Rembau, Sungai Ujong dan Naning telah bersepakat dan menjemput seorang
putera Rraja Ibrahim dari Pagaruyung untuk memerintah di kawasan orang
Minangkabau di Semenanjung. Di bawah kepimpinan Raja Ibrahim, kekuatan orang
Minangkabau mulai membimbangkan Johor dan juga Belanda di Melaka. Tetapi
keadaan politik zaman itu tidak mudah dikawal oleh Raja Ibrahim. Orang Rembau
sendiri enggan melibatkan diri bila Raja Ibrahim bertujuan perang dengan kuasa
Belanda. Pada tahun 1680, Raja Ibrahim dibunuh oleh seorang Bugis di Rembau.
Percubaan orang Minangkabu untuk mewujudkan sebuah kerajaan berdaulat tamat buat
sementara (Tan Sri A. Samad Idris etl al.,1994).

Berdasarkan analisis sejarah yang telah dibuat, ini menunjukkan bahawa Adat
Perpatih adalah berasal daripada masyarakat Minangkabau yang berhijrah ke Tanah
Melayu serta dalam masa yang sama, mereka mengamalkan Adat Perpatih sehingga
memberi kesan kepada masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu yang menyebabkan
ianya terus kekal menjadi adat warisan turun temurun hinggalah ke hari ini.

3
1.1 PERANAN DAN KEDUDUKAN ADAT PERPATIH DI MALAYSIA

Tujuan sesuatu adat diamalkan adalah berperanan untuk mencapai matlamat-


matlamat tertentu ke arah membentuk suatu masyarakat yang mempunyai ketamadunan
yang tinggi. Begitu juga dengan Adat Perpatih yang berperanan dalam menjamin
keharmonian, keamanan dan kesejahteraan masyarakat kaum. Selain itu, ia juga dapat
mengawal tingkah laku manusia dan mengeratkan persaudaraan serta menetukan hak
seseorang dalam masyarakat terutamanya untuk menjamin harta warisan. Adat juga
dapat menjamin kedudukan raja dan pembesar dan membentuk pemerintahan yang adil
dan saksama.

Di Malaysia, adat ini diamalkan di Negeri Sembilan dan Naning, Melaka.


Seperti yang telah diterangkan sebelum ini di dalam pengenalan, adat ini dipercayai
dibawa oleh masyarakat Minangkabau yang berasal dari Pagaruyung, Sumatera
(Indonesia). Asas hukum Adat Perpatih ini ialah bersumberkan adat resam dan adat
turun temurun. Di dalam sitem adat ini, terdapat beberapa bentuk dan pembahagian
yang berbeza jika dibandingkan dengan Adat Temenggung yang diamalkan di negeri-
negeri selain di Negeri Sembilan dan Naning, Melaka yang akan dibincangkan di dalam
kajian ini.

Dari sudut pemerintahan atau kepimpinan, ianya terbahagi kepada susunan


hierarki tertentu dan setiap peringkat mempunyai hak kuasa dan tugas-tugas tertentu.
Mereka ialah Undang, Lembaga, Buapak, Perut dan orang ramai. Sistem pemerintahan
ini mengambil berat akan prinsip pemuafakatan, di mana Yamtuan dipilih secara
demokrasi oleh ketua-ketua suku yang dikenali sebagai Undang.

Dari segi undang-undang pembahagian harta pula, Adat Perpatih


mementingkan kaum perempuan, di mana jurai keturunan sebelah nasab ibu lebih
diutamakan. Sekiranya berlaku kematian, harta akan diwariskan kepada anak
perempuan dan si suami tidak berhak memiliki harta pusaka, dan jika sekiranya
seseorang ibu tidak mempunyai anak perempuan, maka hartanya akan diwariskan
kepada adik perempuannya atau anak perempuan adik-adiknya dan cucu-cucu
perempuannya dan begitulah seterusnya. Adapun dalam aspek perkahwinan, Adat
Perpatih mengamalkan sistem eksogami di mana perkahwinan sesama suku tidak
dibenarkan. Sebaliknya perkahwinan harus dilangsungkan daripada suku yang
berlainan. Di antara sebab perkahwinan sesama tidak dibenarkan ialah mereka
beranggapan bahawa perkahwinan sesama suku tidak dapat mengembangkan keturunan
(Muhammad Aunurrochim, et al., 2016).

1.2 KONSEP ADAT PERPATIH DALAM MASYARAKAT NEGERI


SEMBILAN DAN MELAKA

4
Adat merupakan pegangan masyarakat tradisional di Malaysia. Sebagaimana
yang diketahui umum, adat terbahagi kepada tiga jenis iaitu undang-undang bertulis,
tidak bertulis dan undang-undang Islam. Adapun undang-undang tidak bertulis pula
terbahagi kepada dua iaitu Adat Perpatih dan Adat Temenggung. Adat Perpatih secara
ringkasnya adalah suatu peraturan hidup bermasyarakat yang berteraskan kepada
kelompok-kelompok kekeluargaan. Peraturan-peraturan yang dimaksudkan disini
meliputi semua aspek seperti aspek politik, ekonomi, undang-undang dan organisasi
sosial. Cara berkomunikasi dan tanggungjawab antara satu sama lain juga ditetapkan.
(Nadzan Haron, 1997)

Dalam Adat Perpatih, kumpulan utama atau masyarakat dibahagikan kepada


tiga kumpulan. Antara masyrakat yang masih mengamalkan sistem Adat Perpatih ini
ialah masyarakat Melayu di Kuala Pilah. Bermula dari bawahan atau sosio-politik
paling kecil ialah Perut. Setiap anggota perut berasal dari keturunan perempuan
(moyang) yang sama. Anggota perut terdiri dari keluarga sedarah nisab ibu dan
beberapa anggota lain yang telah berkadim (Hajah Makiah Tussaripah & Jamaliah
Mohd Taib, 2016).

Berkadim pada umumnya bermaksud memperolehi saudara bagi sesuatu perut


(Mohd Rosli, 2011). Berkadim adalah satu proses memperolehi saudara yang
disaksikan oleh lembaga, buapak, ibu soko dan anak angkatnya, yang disertai dengan
adanya harta pusaka iaitu tanah dan rumah. Sekiranya tiada perkara tersebut, berkadim
tidak sempurna. Berkadim juga melibatkan tanggungjawab anak angkat yang berkadim
dan hati yang ikhlas dan kejujuran di pihak yang memberi dan menerima. Hubungan di
antara individu-individu di dalam perut biasanya sangat rapat berdasarkan kepada
perasaan persaudaraan dan persatuan. Setiap perut mempunyai seorang ketua yang
digelarkan sebagai Buapak. Tanggungjawab Buapak adalah sangat luas, antaranya ialah
menjaga maruah anggota-anggota perutnya, menguruskan adat keramaian seperti
perkahwinan, berkadim dan perwarisan harta.

Kumpulan yang kedua ialah suku daripada perut-perut yang membentuk satu
unit kekeluargaan yang lebih besar. Mereka mempercayai bahawa asal mereka ialah
dari satu keturunan yang sama. Namun agak sukar untuk memperincikan susur galur
yang ada disebabkan jauhnya pertalian tersebut. Ahli suku saling menganggap mereka
adalah satu keluarga yang menyebabkan kahwin sesama suku (endogamy) tidak
dibenarkan bagi mereka.

Dalam Adat Perpatih terdapat 12 suku yang terdiri daripada: Suku Biduanda,
Seri Melenggang, Seri Lemak , Anak Acheh, Tiga Nenek, Tiga Batu, Batu Belang, Paya
Kumbuh, Suku Mungkal, Tanah Datar, Batu Hampar, Anak Melaka.

Kumpulan yang terakhir dinamakan dengan Luak yang merupakan unit


kawasan pentadbiran dari segi adat. Mengikut pentadbiran dari segi adat terdapat empat
luak utama iaitu Sungai Ujung, Rembau, Jelebu dan Johol yang diketuai oleh Undang
yang Empat, dan Luak Tanah Mengandung yang meliputi lima luak kecil yang

5
mengandungi Seri Menanti iaitu Luak Inas, Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak
Terachi dan Luak Jempol. Setiap luak kecil ini pula ditadbirkan oleh ketua adat yang
bergelar Penghulu Luak. Dalam sesebuah luak terdapat lima atau enam suku utama dan
tiap-tiap luak pula didominasi oleh suku Biduanda (Hajah Makiah Tussaripah &
Jamaliah Mohd Taib, 2016).

Di dalam kumpulan-kumpulan di atas, terdapat hirarki-hirarki tertentu dari segi


sistem kepimpinan. Ianya bermula dengan Kadim, yang mana merupakan ketua bagi
kelompok atau rumpun yang kecil. Manakala kadim-kadim di dalam sesuatu ruang
bersama dengan anak buah akan memilih daripada kalangan mereka ketua ruang yang
dipanggil Besar. Di Luak dan Rembau, Besar terbahagi kepada dua iaitu Besar Rumpun
dan Besar Undang. Besar Undang adalah pegawai kepada Undang yang dilantik
daripada ruang-ruang suku pemerintah, iaitu suku Biduanda. Oleh itu, Besar Undang
mempunyai lebih kuasa dari Besar Rumpun.

Seterusnya ialah Buapak yang dipilih dan dilantik oleh Kadim dan ahli-ahli
kelompok. Kelompok lebih besar berbanding Besar dan mewakili kelompok
keluarganya apabila bersama dengan kelompok lain di dalam sukunya. Begitu juga
Kadim, Besar dan Buapak serta anak-anak buah buah sesuku akan melantik ketua suku
yang dipanggil Lembaga yang merupakan pimpinan tertinggi di dalam suku. Dan
pemimpin tertinggi di dalam sistem politik adat di dalam sesuatu Luak. Ia dipilih
berdasarkan perlantikan yang dibuat oleh Datuk Lembaga. Namun begitu, sistem adat
ini hanya wujud pada empat Luak besar iaitu Jelebu, Sungai Ujong, rembau dan Johol.
Adapun lima buah luak kecil dipimpin oleh Penghulu yang dipilih sama seperti
pemilihan Undang (Tan Sri A. Samad Idris etl al.,1994).

2. KONSEP KELUARGA MENGIKUT ADAT PERPATIH

2.1. Susur galur keturunan (nasab) daripada ibu (sistem matrilinial)

Di dalam sistem pewarisan Adat Perpatih, sistem matrilineal atau lebih dikenali
dengan keturunan nasab ibu antara salah satu prinsip utama di dalam menentukan hak
pemilikan harta warisan terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan tanah adat. Adapun
harta selain daripada tanah adat tidak dibahagikan melalui sistem matrilineal,
sebaliknya diuruskan dengan menggunakan sistem yang terdapat di dalam ajaran Islam
iaitu Faraidh.

Sistem ini lebih mengutamakan keturunan nasab ibu, yang mana anak
perempuan adalah yang paling berhak untuk mewarisi harta pusaka iaitu tanah adat.
Seterusnya, adik perempuan atau anak perempuan kepada adik perempuan dan cucu-
cucunya hinggalah seterusnya. Sekiranya si ibu tidak mempunyai keturunan
perempuan, proses berkadim akan dilakukan untuk mengambil anak angkat perempuan
daripada suku yang sama atau sebaliknya dengan permuafakatan yang dibuat oleh
seluruh ahli suku di hadapan ahli Lembaga, Buapak dan anak-anak buah.

6
2.2. Unsur-unsur kebaikan dan manfaat daripada sistem matrilinial

Setalah membuat kajian ke atas konsep Adat Perpatih ini, terdapat kebaikan dan
manfaat dalam melaksanakan sistem matrilineal sebagaimana yang telah diamalkan
oleh masyarakat Adat Perpatih. Antara kebaikan dan manfaat yang ada dalam sistem
ini di antaranya adalah seperti berikut:

i. Menjaga hak wanita ketika berlaku perkara yang tidak diingini seperti
perceraian, wanita dapat menetap di atas tanah yang diwarisi sekiranya
ditinggakan oleh suaminya disebabkan perceraian.
ii. Mengangkat kemuliaan wanita di dalam sesuatu kaum dengan memberikan
kelebihan yang unik seperti hak pewarisan tanah adat.
iii. Untuk mengelakkan kaum wanita merantau atau meninggalkan kampung
sendiri apabila berkahwin dengan mana-mana lelaki. Di dalam Adat
Perpatih, wanita diwajibkan untuk menetap di atas tanah si ibu yang telah
diwarisi dan suami harus mengikuti isteri untuk tinggal dan menetap bersama
isteri di atas tanah si isteri.

2.3. Amalan perkahwinan mengikut Adat Perpatih

Perkahwinan di dalam masyarakat Adat Perpatih adalah berlainan dibandingkan


dengan Adat Temenggung. Amalan Adat Perpatih dalam perkahwinan adalah
berdasarkan sistem eksogami, iaitu satu sistem adat yang melarang masyarakat Adat
Perpatih untuk berkahwin sesama suku. Barangsiapa yang melanggar hukum
perkahwinan adat ini akan dilarang untuk mewarisi harta mengikut Adat Perpatih.
Mereka yang sama suku dianggap bersaudara. Perkahwinan dua suku dianggap sebagai
hubungan dua suku atau perut.

Adat istiadat perkahwinan ini juga disebut sebagai adat semenda-menyemenda.


Adat ini merupakan upacara memulakan hubungan kekeluargaan (inisiasi) yang paling
besar dalam lingkaran hidup seorang individu dan keluarganya. Upacara ini dari awal
sehingga akhir harus mengikuti saluran adat baik dari segi kombinasi satu persatu adat-
istiadatnya, ketatatertiban sistem perkahwinannya mahupun peranan yang dipikul
bersama. Demi pentingnya upacara ini maka Lembaga, Buapak, Besar dan Kadim, serta
semenda dan seadat atau tempat semenda nan seresam dengan kuasa pengendaliannya,
anak buah dengan kepatuhannya turut berganding bahu menyumbangkan tenaga dan
menghulurkan bantuan sekadar yang upaya demi menjayakan majlis tesebut;
sebagaimana kata adat:

Berat sama dipikul


Ringan sama dijinjing
Ke gunung sama didaki
Hati gajah sama dilapah
Hati kuman sama dicecah

Pepatah ini memberi maksud bahawa upacara-upacara perkahwinan


memerlukan tenaga gerak kerja daripada semua pihak bagi menunjukkan

7
suasana yang harmoni, sejahtera dan hidup berkelompok sesama masyarakat
dalam kalangan masyarakat Adat Perpatih (Norhalim Hj. Ibrahim, 1994).

3. KONSEP HARTA MENGIKUT ADAT PERPATIH

3.1. Pelaksanaan pewarisan harta mengikut Hukum adat Perpatih

Terdapat lima konsep pelaksanaan warisan menurut adat perpatih, seperti berikut:

a. Keturunan dikira melalui nisab ibu.


Atau dikenali sebagai sistem matrilineal, dimana wanita dianggap sebagai
‘bonda-kandung’ dan diangkat di dalam Adat Perpatih. Ibu yang melahirkan
anggota-anggota masyarakat, dan yang akan menentukan arah keturunan
sesuatu perut. Seseorang individu adalah anggota suku ibunya dan bukan
anggota suku bapanya.

b. Tempat kediaman selepas berkahwin adalah di tempat ibu isteri.


Dikenali sebagai sistem matrilocal. Lelaki yang telah berkahwin dikehendaki
untuk tinggal di kawasan ibu isteri dan meninggalkan tanah asalnya. Ini boleh
dilakukan sama ada tinggal di rumah yang sama atau dipanggil extended family,
ataupun membina rumh yang baru di atas tanah rumah ibu isteri. Ini untuk
mengelakkan daripada berlakunya perkara yang tidak diingini ke atas si isteri
apabila berlakunya perceraian.

c. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka


Saka di sini bermaksud memegang jawatan ketua adat yang dibolehkan kaum
lelaki untuk menyandangnya tetapi bukan mewarisi harta. Hanya kaum wanita
sahaja yang berhak mewarisi dan mewariskan tanah pusaka.

d. Perkahwinan seperut dan sesuku adalah dilarang


Sekiranya berlaku, mereka boleh disingkirkan dari perut itu sendiri dan tidak
dibenarkan mewarsi harta pusaka.

e. Proses berkadim.

Seorang perempuan tanpa waris perempuan perlu mengambil anak perempuan


untuk mewarisi tanah dan rumah. Sebelum mengambil anak angkat dikehendaki
berunding dengan semua ahli sukunya kerana harta pusaka yang tiada waris
yang akan menuntut akan pergi ke waris di dalam suku yang sama dan bukan
perut yang sama. Pembahagian kepada anak angkat ini adalah hanya 1/3 dari
jumlahnya keseluruhan, yang lebihnya diberi kepada warisnya kerana mereka
berhak ke atas 2/3 harta perempuan tadi. Adat ini membenarkan orang luar
menjadi anggota perut tertentu dan juga anggota adat yang ingin bertukar suku.

8
Kedua-dua ini adalah sah dari segi adat setelah diadakan istiadat berkadim
(Hajah Makiah Tussaripah & Jamaliah Mohd Taib, 2016).

3.2. Pembahagian Harta Pusaka Tanah mengikut Adat Perpatih

Menurut Adat Perpatih, Harta warisan boleh dibahagikan kepada dua bahagian
iaitu harta pusaka dan harta pencarian. Harta pusaka adalah hak milik suku dan ianya
tidak boleh dipindahkan kepada mana-mana suku yang lain. Harta pusaka pula
terbahagi kepada dua jenis, seperti berikut:

Pertama: harta pusaka tinggi, ialah harta pusaka suku seperti tanah sawah atau
ladang yang menjadi milik sesuatu suku. Yang kedua: ialah harta pusaka rendah, iaitu
harta yang boleh dijadikan hak milik individu dan bukan hak milik suku. Ini
menunjukkan tahap ekonomi masyarakat Adat Perpatih yang tinggi dalam pemilikan
aset (Mohd Rosli Saludin, 2011).

Tanah pusaka adalah tanah yang diwarisi sejak turun-temurun dan ianya
merupakan hak milik ibu, seterusnya diwariskan kepada anak perempuan dan ke bawah.
Manakala tanah bukan pusaka diperoleh samada daripada pembukaan tanah baru atau
belian baru yang diusahakan oleh pasangan suami isteri atau secara bersendirian
(bujang). Tanah ini juga boleh didaftarkan sebagai tanah adat dan akan menjadi hak
milik suku serta pembahagiannya mestilah diagihkan dengan sistem adat perpatih.

Tanah adat merupakan tanah yang dimilik oleh suku tertentu dan diwarisi oleh
perempuan daripada suku tesebut. Namun begitu, bukanlah bemaksud perempuan
mempunyai hak mutlak penuh ke atas tanah tersebut. Sebaliknya dia hanyalah sebagai
pemegang amanah dalam masa yang sama tanpa menafikan hak lelaki dalam
mengusahakan dan memakan hasil daripada tanah tersebut. Suami (lelaki) juga boleh
menetap dan tinggal di atas tersebut. Pada keadaan tertentu pihak lelaki diberikan hak
dan namanya boleh didaftarkan sebagai penghuni tetap (life occupant) di atas geran
tanah tersebut.

Menurut amalan Adat Perpatih, tanah dikategorikan kepada empat (4) jenis,
iaitu seperti berikut:

a) Tanah Pusaka, iaitu tanah yang diwariskan kepada perempuan, anak dan
keturunan ke bawah (perempuan).
b) Tanah Dapatan, iaitu tanah yang dimiliki oleh wanita sebelum berkahwin
dan akan diserahkan semula kepadanya setelah berlaku perceraian semasa
hidup atau perceraian disebabkan kematian.
c) Tanah Pembawaan, iaitu tanah yang dimiliki oleh suami sebelum
berkahwin. Hartanya akan tetap menjadi miliknya dan isteri tidak
mempunyai hak ke atasnya selepas diisytiharkan bahawa tanah tersebut
sebagai tanah pembawaan (Maimunah Manab, 1995).

9
d) Tanah carian laki bini, iaitu tanah yang diperolehi secara bersama dalam
perkahwinan. Tanah ini menjadi hak milik bersama. Ianya tidak akan
diagihkan sepertimana proses pembahagian tanah adat sekiranya tidak
didaftarkan sebagai tanah adat. Bahkan hak milik tanah dikira sebagai hak
milik bebas seperti harta carian bujang, serta bebas melakukan transaksi
berdsarkan persetujuan bersama (Nadzan Haron, 1992).

Dalam sebuah perbidalan disebutkan:


Pembawa kembali
Dapatan tinggal
Carian dibahagi
Mati laki bini tinggal ke bini
Perbidalan di atas adalah merupakan isyarat bahawa tanah carian laki bini ketika mana
berlaku perceraian. (Azman Ab Rahman et al., 2016)

3.3. Kedudukan orang lelaki dalam pewarisan Tanah Adat mengikut Adat Perpatih

Dalam pewarisan tanah adat di dalam Adat Perpatih, peraturan ini seolah-olah
menampakkan bahawa kaum lelaki dizalimi dan hak mereka dinafikan. Ini kerana
dalam pembahagian tanah adat, adat perpatih mengutamakan jalur keturunan sebelah
perempuan (ibu) dan diwariskan kepada anak-anak perempuan. Malah sekiranya
didapati tiadanya waris perempuan, proses berkadim perlu dilakukan, di mana perlu
mengambil mana-mana waris perempuan daripada perut yang lain, dan suku yang sama.
Dan proses ini perlu mendapat persetujuan Lembaga, Buapak dan beberapa orang yang
lain. Hukum peraturan ini dilihat boleh menzahirkan pandangan negatif kepada
masyarakat sekiranya tidak diamati secara cermat.

Walaubagaimanapun, berdasarkan kepada kajian yang dibuat, dapatlah


disimpulkan bahawa kedudukan kaum lelaki dalam pewarisan Tanah Adat mengikut
Adat Perpatih adalah seperti berikut:

1. Pewarisan tanah adat dalam Adat Perpatih yang mengutamakan jurai nasab
perempuan hanyalah diaplikasikan terhadap tanah adat yang didaftarkan sahaja.
Ini kerana tanah adat merupakan milik kepada suku tertentu, dan bukannya
milik keseluruhan bagi perempuan. Adapun tanah selain tanah adat, ianya
dibahagikan mengikut sistem yang diwahyukan oleh Allah sebagaimana
diketahui umum iaitu sistem Faraidh. Justeru itu tiada perkara yang perlu
dibangkitkan kerana kaum lelaki masih mendapat haknya di dalam pewarisan
harta tersebut.
2. Mana-mana lelaki yang berkahwin dikehendaki untuk meninggalkan kampung
halamannya, tinggal di kawasan kediaman ibu isteri. Hal ini bertujuan untuk
menjaga kepentingan hak wanita jika berlaku perkara yang tidak diingini seperti
perceraian atau kematian suami. Hak wanita akan terjamin dan mereka masih
lagi boleh menetap di atas tanah tersebut. Begitu juga, perkara ini bukanlah

10
menafikan hak suami, sehingga menyebabkan kaum lelaki tiada ada hak ke atas
tanah tersebut. Mereka tetap boleh mengusahakan tanah isteri dan memakan
hasil daripada usahanya di atas tanah tersebut. Oleh itu, dapatlah dikatakan
bahawa kaum lelaki tetap mempunyai kedudukan yang selayaknya di dalam
masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih.
3. Pada keadaan-keadaan tertentu, suami boleh didaftarkan sebagai penghuni tetap
atau life occupant di atas geran tanah adat tertentu. Dalam hal ini, perempuan
hanyalah sebagai pemegang amanah, bukan pemilik mutlak. Mereka tiada hak
untuk memindahkan tanah tersebut sewenang-wenangnya kecuali mendapat
persetujuan ahli suku tersebut. Ini kerana tanah tersebut adalah hak milik kepada
suku, bukan individu. Ini menunjukkan bahawa tiada penindasan berlaku ke atas
kaum lelaki terhadap sistem pewarisan tanah adat di dalam Adat Perpatih.
Bahkan ianya mempunyai keunikan tersendiri dalam menjaga nilai estetika
masyarakat adat perpatih.

Berdasarkan hujah-hujah di atas, jelaslah bahawa kedudukan kaum lelaki masih lagi
terpelihara dan sedikit-sebanyak dapat mematahkah hujah masyarakat yang
memandang bahawa Adat Perpatih tidak mengikut landasan syarak yang menuntut
supaya pembahagian harta dilakukan mengikut sistem Islam iaitu Faraidh.

4. KONSEP JENAYAH MENGIKUT ADAT PERPATIH

4.1. Pengertian Jenayah

Menurut Kamus Dewan, jenayah ialah satu perbuatan jahat yang salah di sisi
undang-undang seperti mencuri, merompak, merogol, membunuh dan sebagainya. Para
fuqahak Islam mentakrifkan jenayah sebagai perbuatan-perbuatan yang menyentuh
nyawa dan tubuh badan manusia semata-mata dan tidak termasuk sama apa-apa
perbuatan jahat terhadap harta benda (Muzahar Mat Deli, 1993). Menurut (Abdul Qadir
Audah, 1985): Jenayah adalah suatu istilah untuk perbuatan yang dilarang oleh syarak,
baik perbuatan tersebut mengenai jiwa, harta, atau lainnya. Walaupun dalam takrifan
jenayah ini terdapat perbezaan, tetapi dapat dirangkumkan bahawa terdapat persamaan
maksud berkenaan jenayah iaitu perbuatan yang berkaitan dengan fizikal manusia yang
memberi kesan yang buruk terhadap seseorang.

4.2. Takrif Jenayah menurut Adat Perpatih dan asal-usulnya

Takrif jenayah menurut Adat Pepatih ialah segala perbuatan jahat samada kecil
atau besar yang dilarang oleh adat dan agama sama ada megenai nyawa, tubuh badan,
harta benda dan sebagainya. Dalam falsafah Adat Perpatih juga menyebut bahawa
jenayah adalah segala perbuatan jahat dan sumbang sama ada besar atau kecil yang
dilarang oleh adat dan syarak. Konsep jenayah boleh dikategorikan kepada dua bentuk
kesalahan iaitu jenayah besar yang melibatkan nyawa, tubuh badan dan harta benda
(Muzahar Mat Deli, 1993).

11
(Muzahar Mat Deli, 1993) menerangkan jenayah besar di dalam adat perpatih
dikenali sebagai Undang-Undang Nan Lapan, yang mana ianya terbahagi kepada lapan
kesalahan. Lapan kesalahan tersebut adalah: Membunuh, Berzina, Mencuri,
Menyamun, Memberontak, Rasuah, Membakar, dan Santau menyantau.

4.3. Tujuan keseksaan di dalam Adat Perpatih

Setiap peraturan dan pelaksanaan yang dijalankan di dalam satu kaum atau
kelompok mempunyai falsafah atau hikmahnya yang tersendiri. Begitu juga di dalam
perlaksanaan hukum adat jenayah di dalam Adat Perpatih, (Muzahar Mat Deli, 1993)
meletakkan tiga tujuan keseksaan di dalam Adat Perpatih di dalam tulisan beliau yang
berkaitan dengan hukum adat jenayah di dalam Adat Perpatih:

(a) Aspek pencegahan: keseksaan adalah suatu jalan untuk menggerunkan si


pelaku supaya kesalahan yang telah dilakukan tidak berulang. Dengan adanya
keseksaan di dalam sesuatu hukuman, si pesalah laku akan berhati-hati dan
berusaha untuk tidak melakukan kesalahan yang dilarang seterusnya dapat
menghindari masyarakat daripada terjebak dalam melakukan jenayah.
(b) Aspek ganti rugi: tujuan utama aspek ini adalah untuk menjaga kepentingan
mangsa dalam jenayah. Sebagai contoh di dalam kes melukakan di dalam Adat
Perpatih, prinsip permuafakatan diantara ketua adat diamalkan. Jika luka itu
kecil, memadai diberian rawatan dan kambing sebagai penebus darah atau
diamaafkan. Ini menunjukan permuafakatan dan perundingan sangatlah dituntut
di dalam Adat Perpatih.
(c) Nilai moral dalam keseksaan: yang maksud nilai moral di sini ialah keadilan,
yang mana perlu dilaksanakan untuk menjamin kemaslahatan masyarakat. Ini
bermakna, dalam mengamalkan sistem hukum adat, tidak bermakna syarak
diketepikan dalam usaha menegakkan keadilan di dalam sesuatu keputusan.
Malah individu yang menyusun undang-undang jenayah adat seperti Datuk
Perpatih bukan sahaja mahir di dalam sistem beradat bahkan beliau juga seorang
yang alim berkenaan hukum-hakam agama.

4.4. Pelaksanaan hukum jenayah dalam Adat Perpatih

Prinsip-prinsip Asas bagi melaksanakan hukum dan menebus kesalahan jenayah


di dalam Adat Perpatih ialah melalui penggunaan budi bicara, perbincangan dan
permuafakatan dalam membuat sesuatu keputusan. Ini bertujuan untuk mencapai
keadilan di dalam keadilan sesuatu hukuman. Bukanlah perkara yang dikehendaki di
dalam hukuman yang dijalankan di dalam sistem Adat Perpatih ini semata-mata bersifat
menghukum, tetapi ingin menghapuskan penjenayah dan kejahatan yang terdapat di
dalam masyarakat tersebut. Adapun kesalahan sumbang, menyantau, membakar dan
rasuah, dalam amalan Adat perpatih adalah dengan memberi ganti rugi kepada si
mangsa serta mengadakan kenduri sebagai jalan penyelesaian dan pemulihan hubungan

12
baik. Manakala penjayah dihukum dan dimusnahkan bagi jenayah berat seperti zina,
memberontak, mencuri, menyamun dan membunuh (Muzahar Mat Deli, 1993).

5. TINJAUAN SYARAK TERHADAP AMALAN KETIGA KONSEP DALAM


ADAT PERPATIH

Berdasarkan kepada paparan bagi ketiga-tiga amalan dalam Adat Perpatih yang
berkaitan dengan keluarga (nasab), harta dan jenayah dapat dilihat bahawa setiap
amalan adat yang diamalkan mempunyai tujuan dan falsafahnya yang tersendiri. Ianya
dilihat sebagai bukan sekadar amalan adat dan peraturan yang diyakini dan diamalkan
secara turun-temurun. Tetapi sebaliknya, di dalam setiap amalan tersebut mengandungi
erti dan nilai yang baik dan bermanfaat bagi para pengamalnya. Kewujudan nilai-nilai
ini semakin terserlah selepas kedatangan Islam dan masyarakat yang mengamalkan adat
ini menjadikannya sebagai panduan utama dan rujukan dalam amalan Adat Perpatih.

Selepas Islam menjadi agama rasmi masyarakat Melayu keturunan


Minangkabau, amalan Adat Perpatih turut selari dengan ajaran agama Islam, seperti
yang dijelaskan dalam perbilangan berikut:

Adat bersendikan syarak


Syarak bersendikan Kitabullah
Syarak mengata
Adat memakai

Seperti yang difahami dalam paparan sebelum ini, Adat Perpatih yang
diamalkan oleh masyarakat Melayu keturuan Minangkabau di Malaysia merupakan
peraturan hidup atau undang-undang yang lengkap meliputi aspek kehidupan
masyarakat sama ada sosial, keluarga, politik dan agama dan lain-lain. Maka tidak
hairan jika terdapat bidalan yang kadang disalah ertikan dan dipertikaikan oleh
sebahagian orang iaitu: Biar Mati Anak Jangan Mati Adat. Dalam perbidalan ini, yang
dimaksud adat adalah undang-undang yang merupakan peraturan hidup yang perlu
dipatuhi dan tidak boleh dilenyapkan. Justeru, jika ada individu bersalah atau anak-
anak buah didapati bersalah, mereka mungkin dihukum mati. Hukuman itu perlu
dijalankan biarpun terpaksa mengorbankan nyawa keluarga sendiri. Jika undang-
undang tidak digunapakai dalam peraturan hidup, ia akan merosakkan sistem itu
sendiri. Ini adalah bentuk keadilan yang sangat dipentingkan oleh agama Islam yang
tidak mengiktiraf perbezaan atau pilih kasih di antara masyarakat dalam mengamal
hukum dan undang-undang.

5.1. Pandangan Syarak Terhadap Konsep Keluarga Mengikut Adat Perpatih

Masyarakat yang mengamalkan Adat Perpatih meyakini bahawa yang


diutamakan dalam garis keturunan adalah susur galur (nasab) daripada ibu atau yang
dikenali sebagai sistem matrilinial, berbeza dengan amalan adat Temenggung. Dalam
tinjauan syarak secara ringkas, dilihat bahawa meskipun amalan atau keyakinan adat

13
ini tidak seperti mana yang biasa diamalkan dalam Islam yang lebih mengutamakan
susur galur nasab daripada lelaki (bapa), namun ianya masih boleh diterima kerana
syarak tidak meletakkan hukum tertentu bagi susur-galur nasab ini. Sistem matrilineal
ini juga dianggap tidak bercanggah dengan asas ajaran Islam. Sebaliknya ia menyokong
dan menguatkan ajaran Islam itu sendiri, iaitu dengan mengutamakan kedudukan pihak
perempuan dengan tujuan menjaganya daripada segala keburukan dan pekara-perkara
yang negatif. Bahkan penyair Arab terkenal Hafidz Ibarahim menyebut dalam sebuah
syairnya: “Wanita (Ibu) adalah punca kehebatan dan kemuliaan sebuah negeri” maka
jika rusak wanita di suatu negeri, maka akan rusaklah negeri itu (Ahmad Ubayd, 1985).

Selain daripada itu, sistem Adat Perpatih juga mengandungi kebaikan dan
manfaat seperti menjaga hak wanita ketika berlaku perkara yang tidak diingini seperti
perceraian, mengangkat kemuliaan wanita di dalam sesuatu kaum dengan memberikan
kelebihan yang unik seperti hak pewarisan tanah adat, dan juga untuk mengelakkan
kaum wanita merantau sendiri apabila berkahwin. Oleh itu terdapat kebaikan dengan
diwajibkannya wanita dalam amalan Adat Perpatih untuk menetap di atas tanah si ibu
yang telah diwarisi. Seperti yang telah disebutkan secara lebih jelas dalam tulisan
sebelum ini.

Demikian juga amalan berkahwin sesama suku yang bertujuan meluaskan


ikatan kekeluargaan dan persaudaraan dengan orang dari luar suku dan mendapatkan
zuriyat keturunan yang baik. Amalan ini juga tidak bercanggah dengan ajaran Islam,
bahkan sebaliknya, ia adalah digalakkan, seperti yang disebut oleh ulama dalam
beberapa riwayat, seperti: “Berjauhanlah dalam berkahwin dan memilih pasangan”
(Imam Al-Ghazali, 2008). Dan dalam adat istiadat perkahwinan Adat Perpatih dilihat
kuatnya rasa bantu-membantu dan tolong-menolong. Urusan majlis perkahwinan
merupakan tanggungjawab semua masyarakat adat dan dipikul bersama demi
menjayakan majlis tesebut.

5.2. Pandangan Syarak Terhadap Konsep Harta Mengikut Adat Perpatih

Konsep harta yang meliputi pembahagian harta warisan atau pusaka dalam
amalan Adat Perpatih adalah berdasarkan kepada konsep nasab yang diyakini dalam
amalan adat ini. Sistem matrilineal dalam Adat Perpatih menjadi punca pembahagian
harta pusaka diberatkan kepada susur galur pihak perempuan (ibu). Perempuan menjadi
pihak yang akan mewarisi harta pusaka yang ditinggalkan dan bukan pihak lelaki.

Walaubagaimanapun, seperti yang dijelaskan sebelum ini, hanya harta yang


berstatus pusaka tinggi, iaitu berupa tanah pusaka (tanah adat) yang diwarisi sejak
turun-temurun adalah merupakan hak milik ibu dan akan diwariskan kepada anak
perempuan dan ke bawah. Adapun pusaka rendah atau tanah bukan pusaka yang
diperoleh daripada pembukaan tanah baru atau belian baru dan diusahakan oleh
pasangan suami isteri atau secara bersendirian diagihkan dengan sistem pembahagian
warisan mengikut syarak (Faraidh) dan bukan mengikut amalan Adat.

14
Kajian mendapati bahawa amalan Adat Perpatih dalam pembahagian harta
pusaka tinggi yang berupa tanah adat adalah tidak bercanggah dengan agama Islam.
Seperti diketahui ramai, hanya pihak perempuan daripada keluarga yang akan mewarsi
tanah adat dan yang dicatat sebagai penama dalam geran tanah adat tersebut. Adapun
pihak lelaki tidak ada hak mewarisi dan hanya berhak menempati dan mengusahakan
tanah adat tersebut serta menikmati hasil usahanya. Namun dengan merujuk kepada
status tanah adat dan asal-usulnya didapati bahawa ianya adalah bukan milik individu,
tetapi milik bersama suku yang tidak boleh dipindah tangan atau diperjualbelikan.
Adapun penama perempuan yang menjadi pewaris tersebut hanyalah sebagai pemegang
amanah.

Amalan ini telah dijadikan sebagai amalan adat secara turun-temurun dan
merupakan adat atau ‘uruf yang dipegang oleh masyarakat Melayu keturunan
Minangkabau yang mengamalkan Adat Perpatih. Melihat kepada nilai-nilai yang
terkandung di dalam amalan ini dan tujuan mulia serta maslahat (kebaikan) yang
ditimbulkan daripada adat atau uruf ini, tiada apa-apa percanggahan dari segi hukum
dan landasan syaraknya. Hukum Islam mengiktiraf uruf atau adat (kebiasaan) sesebuah
masyarakat yang didanggap mendatangkan kebaikan, manfaat dan maslahat serta tidak
bercanggah dengan dalil daripada Al-Qur’an mahupun Sunnah. Dan dalam sistem
pembahagian harta pusaka tinggi (tanah adat) menurut Adat Perpatih adalah
berdasarkan kepada amalan adat atau uruf masyarakat. Justeru ianya selari dengan
ajaran agama dan tidak bercanggah dengan syarak. Kerana pada hakikatnya tanah adat
bukanlah harta milik perseorangan (peribadi), sebaliknya ia adalah milik bersama suku.
Oleh itu, ia tidak boleh dianggap sebagai harta yang wajib dibahagikan kepada ahli
waris mengikut sistem warisan Islam atau Faraidh. Ia juga tidak dapat dikategorikan
sebagai harta yang boleh diwakafkan menerusi hukum wakaf, kerana diantara syarat
wakaf adalah harta tersebut perlu dimiliki seseorang secara sempurna dan bukannya
milik bersama. Justeru, pendekatan yang paling munasabah dan boleh diterima adalah
bahawa pembahagian harta pusaka tinggi yang berupa tanah adat adalah merujuk dan
berdasarkan kepada amalan adat atau uruf yang diterima dalam Islam.

5.3. Pandangan Syarak Terhadap Konsep Jenayah Mengikut Adat Perpatih

Berbeza dengan konsep dalam adat Ketemenggungan, konsep jenayah dalam


Adat Perpatih lebih menekankan nilai-nilai murni. Dalam Adat Temenggung setiap
orang yang melakukan kesalahan mestilah dihukum dengan sewajarnya, sedangkan
dalam Adat Perpatih setiap kesalahan mesti diperbaiki dengan adil dan saksama serta
dengan penuh teliti. Selain daripada itu, dalam Adat Perpatih juga mementingkan
siasatan terlebih dahulu sebelum menjatuhkan sesuatu hukuman sama ada kesalahan itu
besar mahupun kecil. Sekiranya sesuatu kesalahan itu boleh diselesaikan dengan cara
pemuafakatan, ia adalah lebih baik daripada melaksanakan hukuman secara terburu-
buru tanpa usul periksa (Muhazar Mat. Deli, 1993).

15
Ini adalah sebahagian daripada nilai-nilai murni yang terkandung di dalam
amalan Adat Perpatih dalam bidang jenayah. Konsep keadilan, kasih sayang, muafakat,
meneliti, usul periksa dan tujuan memperbaiki (islah) adalah nilai-nilai mulia yang juga
ditekankan serta dituntut dalam ajaran agama Islam. Justeru, dalam bidang jenayah pun,
Adat Perpatih dilihat selari dengan syarak dan menguatkan ajaran agama. Maka sangat
tepat jika perbilangan ini (adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitabullah)
menjadi nyata dan menyerlah dalam falsafah Adat Perpatih.
Disamping itu, seperti disebutkan di awal tulisan ini, konsep keseksaan
(hukuman) dalam Adat Perpatih meliputi aspek-aspek seperti aspek pencegahan
sebagai satu cara untuk menggerunkan si pelaku kesalahan dan supaya tidak
mengulangi kesalahannya. Dan juga aspek ganti rugi untuk menjaga kepentingan
mangsa dalam jenayah serta nilai moral yang berupa keadilan juga ditekankan untuk
menjamin kemaslahatan masyarakat.

6. PEMBANGUNAN MODEL KEPATUHAN SYARIAH AMALAN ADAT


PERPATIH

Berdasarkan kepada anggapan sebahagian masyarakat yang masih mengatakan


bahawa berpegang kepada amalan adat tertentu menjadi punca kemunduran dan
ketertinggalan dalam kehidupan yang semakin maju dan moden. Salah satu adat yang
diperkatakan menjadi sebab kemunduran itu adalah mengamalkan Adat Perpatih. Ada
pula yang beranggapan bahawa adat yang diamalkan sejak sekian lama oleh beberapa
generasi ini sudah lapuk dan ketinggalan zaman serta tidak sesuai untuk dipraktikkan
pada zaman globalisasi seperti sekarang ini. Disamping itu ada juga yang
memperkatakan amalan Adat Perpatih khasnya ini bercanggah dengan agama dan tidak
boleh diteruskan dan diamalkan. Anggapan sedemikian dibuat tanpa melihat dan
merujuk kepada konsep, falsafah dan sejarah serta asal usul amalan adat ini.

Justeru itu, kajian berkaitan adat ini yang meliputi segala aspek kehidupan
masyarakat sama ada bidang sosial, politik dan agama serta yang lainnya amatlah
penting. Tujuannya adalah bagi membincangkan dan mengetengahkan konsep dan
falsafah amalan adat tersebut agar difahami dan dimengerti. Seterusnya dapat
memberikan penjelasan ke atas isu-isu kepatuhan syariah dan kesan-kesan daripada
mengamalkan amalan adat tersebut.

Oleh itu, kajian ringkas yang dipaparkan dalam tulisan ini adalah merupakan
satu cadangan untuk membangunkan satu model kepatuhan syariah ke atas amalan-
amalan Adat Perpatih di Malaysia. Menerusi kajian dan tinjauan ke atas tiga bidang
dalam Adat Perpatih, iaitu keluarga, harta dan jenayah, telah dijelaskan secara ringkas
tinjauan syarak ke atas tiga bidang tersebut. Model ini meliputi tinjauan berdasarkan
hukum syarak seperti konsep adat, falsafah dan nilai-nilai murni serta objektif di sebalik
amalan adat bagi menghasilkan satu kesimpulan ke atas kepatuhan syariah daripada
amalan-amalan ini. Model ini diharapkan dapat menjadi panduan pihak berautoriti yang

16
berkaitan dengan Adat perpatih dan membantu masyarakat dalam memahami amlaan
adat ini dalam konteks hukum syarak.

Sebagai contoh rujukan, rajah seperti di bawah adalah penjelasan awal bagi
memahami model kepatuhan syariah amalan Adat Perpatih.

MODEL KEPATUHAN SYARIAH


AMALAN ADAT PERPATIH

ADAT RESAM HUKUM SYARAK

PERKAHWINAN HARTA JENAYAH PERKAHWINAN HARTA JENAYAH

KONSEP, FALSAFAH, NILAI-NILAI MURNI

KESIMPULAN

Daripada paparan kajian ke atas tiga bidang dalam amalan Adat Perpatih, iaitu
keluarga, harta dan jenayah yang meliputi pengertian, sejarah, konsep atau falsafah
didapati bahawa amalan Adat Perpatih menepati kehendak syarak dan tidak bercanggah
dengan ajaran agama Islam yang menjadi sendi dan dasar sistem adat ini.

Konsep tiga bidang penting ini yang diambil daripada amalan Adat Perpatih boleh
menjadi kayu ukur dan rujukan bagi bidang-bidang lain dalam Adat Perpatih. Tinjauan
syarak dan kajian falsafah yang dikandung dalam ketiga bidang ini dapat dijadikan
sebagai acuan untuk tujuan pembangunan model kepatuhan syariah amalan Adat
Perpatih di Malaysia. Sila rujuk rajah seperti yang dipaparkan sebelum ini.

PENGHARGAAN

Artikel ini adalah sebahagian daripada penyelidikan yang dibiayai oleh Geran
Penyelidikan Fundamental, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kod: USIM /
FRGS / FSU / 32/50816

17
RUJUKAN

Abu Hamid Al-Ghazali (2008). Mutiara Ihya’ Ulumuddin. Bandung: PT Mizan


Pustaka.

Abdul Qodir Audah. At Tasyri’ Al jina’iy Al Islamiy, Juz 1. Bierut: Dar Al Kitab Al
‘Araby,

Ahmad Ubayd. (1985). Dirasat Dzira Al-Sya’iraini: Sya’ir Ahmad Al-Nil Hafidz
Ibrahim wa Amir Al-Syu’ara Ahmad Syauqi. Beyrut: Alam Al-Kutub.

Asmad. (1990). Kesenian Adat, Kepercayaan Dan Petua. Kuala Lumpur: Associated
Educational Distributors (M) Sdn. Bhd.

Azman Ab Rahman, Syaryanti Hussin, Mohamad Zaharuddn Zakaria, Lukman Abdul


Mutallib, Izawati, Nurfadhilah Che Amani et al. (2016). Kefahaman Masyarakat
Negeri Sembilan Terhadap Tanah Adat. Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia.

Azzal Abu Talib. (1992/93). Sistem Bersuku Masyarakat Adat Perpatih Di Negeri
Sembilan, Kajian Kes: Luak Inas. Bangi: Jabatan Persuratan Melayu Fakulti Sains
Kemasyarakatan Dan Kemanusian, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Hajah Makiah Tussaripah & Jamaliah Mohd Taib (2016). Kajian Adat Perpatih Di
Negeri Sembilan: Satu Tinjauan Menurut Perspektif Islam. Research Gate. Dimuat
turun pada 4 Februari 2017 dari https://www.researchgate.net/publication/301893435.

Jabatan Mufti Negeri Sembilan. (2016). Pewarisan Tanah Adat, Kebenaran


Pelaksanaannya Menurut Islam. Negeri Sembilan: Jabatan Mufti Kerajaan Negei
Sembilan Darul Khusus.

Maimunah Manab. (1995). Adat Istiadat Perlantikan dan Peranan Buapak di Rembau.
Seremban: Maktab Perguruan Raja Melewar.

Mohd Rosli Saludin. (2011). Seri Menanti Tanah Beradat Bermula Di Sini. Kuala
Lumpur: Crescent News (KL) Sdn. Bhd.

Muhammad Aunurrochim Mas’ad Saleh, Nik Rahim Nik Wajis, Mualimin


Mochammad Sahid, Setiyawan Gunardi, Mohd. Nasir Abdul Majid, Mariam Saidona
Tagaranao et al. (2016). Justifikasi Hukum Syarak Ke Atas Amalan Adat Perpatih
Dalam Pewarisan Tanah Adat/Ulayat Di Indonesia Dan Malaysia. Nilai: Universiti
Sains Islam Malaysia.

Muzahar Bin Mat Deli. (1993). Sistem Hukum Jenayah Di Dalam Adat Perpatih Di
Negeri Sembilan. Kuala Lumpur: Fakulti Syariah Akademi Islam, Universiti Malaya.

Nadzan Haron. (1992). Perlaksanaan Peraturan Adat Dalam Sistem Pentadbiran


Tanah Di Negeri Sembilan. Jurnal Sejarah, Politik dan Kajian Stratergi Malaysia
(JEBAT 20). Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia

18
Norhalim Hj. Ibrahim. Sistem Perkahwinan Adat Di Negeri Sembilan. Serdang: Jabatan
Pengajian Pembangunan Keluarga, Universiti Putra Malaysia.

Tan Sri A Samad Idris, Norhalim Hj. Ibrahim, Haji Muhammad Tainu & Dharmala
N.S. (1994). Negeri Sembilan: Gemuk Dipupuk, Segar Bersiram Adat Merentas
Zaman. Seremban: Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Negeri Sembilan Darul Khusus.

19

You might also like