JPA2020_NOREZDIANIE_MOHDTAJUDIN_CABARANKAUNSELING

You might also like

Download as pdf or txt
Download as pdf or txt
You are on page 1of 6

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/348751359

Cabaran Profesion Kaunseling di Malaysia

Article · December 2020

CITATIONS READS

0 15,548

2 authors:

Nor Ezdianie Omar Mohd Tajudin Ninggal


Universiti Malaysia Terengganu Open University Malaysia
18 PUBLICATIONS 10 CITATIONS 39 PUBLICATIONS 152 CITATIONS

SEE PROFILE SEE PROFILE

All content following this page was uploaded by Mohd Tajudin Ninggal on 25 May 2022.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Cabaran Profesion Kaunseling di Malaysia
Nor Ezdianie Omar1
Mohd Tajudin Md. Ninggal, PhD2
1Universiti Malaysia Terengganu
2Open University Malaysia

Pengenalan

Masyarakat pada hari ini sedang berhadapan dengan pelbagai bentuk isu dan cabaran
kehidupan yang memerlukan suatu bentuk pertolongan psikologi yang sistematik untuk
membantu mereka meningkatkan kualiti kesejahteraan hidup (Nor Ezdianie & Mohd Tajudin,
2017). Justeru, perkhidmatan kaunseling merupakan suatu bentuk perkhidmatan menolong
yang penting dalam usaha membantu menstabilkan dan meningkatkan mutu kesejahteraan
psikologi masyarakat Malaysia. Keperluan memberikan perkhidmatan kaunseling dirasakan
relevan dalam konteks masyarakat kini yang lebih bersifat terbuka untuk meneroka dan
menerima pelbagai pendekatan alternatif yang menjurus ke arah perkhidmatan menolong.
Dewasa ini masyarakat kita sedang berhadapan dengan pelbagai isu dan permasalahan sosial
yang boleh menjurus ke arah kemiskinan psikologi dan kemiskinan akidah dalam masyarakat
sekiranya tidak ditangani secara profesional. Kemiskinan psikologi dalam konteks ini
bermaksud individu yang mempamirkan kelemahan jati diri untuk berhadapan dengan pelbagai
isu samada yang bersifat peribadi atau yang melibatkan individu lain. Akibatnya, mereka yang
mempunyai kemiskinan psikologi mudah untuk berhadapan dengan masalah psikologi seperti
kemurungan, kurang keyakinan diri, lemah semangat, pemikiran yang negatif, kurang motivasi
diri dan sentiasa berasa diri mereka lemah jika dibandingkan dengan orang lain. Manakala
kemiskinan akidah pula bermaksud individu yang mempunyai kurang penghayatan dan
pengamalan keagamaan yang mereka anuti (Nor Ezdianie & Mohd Tajudin, 2016). Contohnya,
mereka kurang mempunyai keyakinan terhadap Tuhannya dan mudah melakukan aktiviti-
aktiviti yang kurang beretika atau bermoral yang boleh menyebabkan mereka agak terpesong
dengan tuntutan nilai dan gaya hidup agama masing-masing.

Melihat kepada kepentingan kesejahteraan hidup masyarakat, kerajaan Malaysia


mensasarkan untuk melantik seramai 11, 000 orang kaunselor menjelang tahun 2020. Ini
dinyatakan oleh YB Hannah Yeoh (Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat) dalam ucapan beliau di sidang Parlimen pada November 2018.
Sasaran jumlah kaunselor yang ditetapkan ini adalah kerana beliau dan pihak kementerian
memandang serius isu kesihatan mental yang dihadapi dalam masyarakat. Beliau mengambil
contoh isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam. Beliau melaporkan statistik
daripada Program Penilaian Pekerja, Bahagian Pengurusan Psikologi, Jabatan Perkhidmatan
Awam pada tahun 2017, didapati seramai 2860 orang penjawat awam mempunyai simpton
kesihatan mental termasuk kemurungan. Sehubungan dengan itu, perkhidmatan kaunseling
kini menjadi suatu keperluan dalam masyarakat dan komuniti. Selaras dengan perkembangan
perkhidmatan kaunseling, profesion kaunselor juga dilihat sebagai suatu kerjaya profesional di
Malaysia.

Perkhidmatan Kaunseling di Malaysia

1
Perkhidmatan kaunseling di Malaysia merupakan suatu perkhidmatan yang mendapat
perhatian dan dipandang serius oleh kerajaan. Kerajaan telah menggubal satu akta berkaitan
profesion dan perkhidmatan kaunseling yang dinamakan Akta Kaunselor 1998 (Akta 580).
Kewujudan Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) ini membuktikan bahawa kerajaan mengiktiraf
perkhidmatan kaunseling sebagai salah satu perkhidmatan profesional di Malaysia.
Keprihatinan kerajaan ini dapat dilihat melalui komitednya kerajaan memastikan bahawa
perkhidmatan ini dilaksanakan oleh mereka yang benar-benar mendapat latihan dan tauliah
(Mohd Tajudin & Rohany, 2014).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melantik Lembaga
Kaunselor bertujuan untuk mengawal selia mutu latihan dan perkhidmatan kaunseling di
Malaysia. Pelantikan Lembaga Kaunselor ini adalah selaras dengan Akta Kaunselor 1998
(Akta 580). Di samping itu, satu badan profesional kaunseling yang dikenali sebagai Persatuan
Kaunseling Malaysia (PERKAMA) turut memainkan peranan meningkatkan mutu
profesionalisme kaunseling di Malaysia. Kesimpulannya, profesion kaunselor di Malaysia
merupakan suatu perkhidmatan professional yang sedang berkembang di Malaysia (Mohd
Tajudin & Rohany, 2014).

Cabaran Profesion Kaunseling Di Malaysia

Walaupun profesion kaunseling kini telah diiktiraf oleh kerajaan sebagai salah satu
perkhidmatan profesional di Malaysia, namun profesion kaunseling ini berhadapan dengan
cabarannya yang tersendiri (Jabatan Pengajian Tinggi, 2011; Mohd Tajudin & Rohany, 2014;
Nor Ezdianie & Mohd Tajudin, 2017). Menurut Mohd Tajudin dan Rohany (2014), secara
umumnya, terdapat tujuh cabaran utama profesion kaunseling di Malaysia, iaitu i) kehadiran
pseudo-counsellors; ii) kurikulum latihan kaunseling; iii) ekpektasi sekolah terhadap
perkhidmatan kaunseling; iv) permasalahan sosial; v) kemerosotan kerohanian; vi) revolusi
teknologi maklumat; dan vii) transisi demografi dan silang budaya.

Cabaran pertama profesion kaunseling di Malaysia adalah isu kehadiran pseudo-


counselors yang menceburi bidang kaunseling. Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan
profesion kaunseling di Malaysia kini telah menarik minat ramai individu untuk turut terlibat
dalam bidang ini. Pseudo-counsellors yang dimaksudkan dalam konteks penulisan ini adalah
kaunselor yang tidak bertauliah serta tidak diperakui oleh badan profesional kaunseling iaitu
Lembaga Kaunselor Malaysia. Kebanyakan pseudo-counsellors terdiri daripada jurulatih
pembangunan modal insan atau perunding motivasi. Mereka ini tidak mempunyai tauliah serta
tidak mendapat latihan profesional dalam bidang kaunseling. Namun, agak membimbangkan
apabila ramai dalam kalangan mereka yang mengaku sebagai kaunselor dan menjalankan sesi
kaunseling. Lebih membimbangkan apabila perkhidmatan kaunseling yang dijalankan oleh
pseudo-counsellors ini tidak mengikut standard profesionalisme kaunseling yang boleh
memberikan kesan kurang baik kepada klien mereka. Perkara ini menimbulkan kekeliruan
dalam kalangan masyarakat dan pasti menjejaskan reputasi perkhidmatan kaunseling.
Sekiranya perkara ini tidak diawasi dan dibendung, maka dikhuatiri profesion ini akan dicemari
oleh mereka yang tidak mempunyai tauliah (Mohd Tajudin & Rohany, 2014).

Cabaran kedua adalah berkaitan kurikulum latihan kaunseling. Data kajian halatuju
bidang kaunseling yang dijalankan oleh Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia (2011)
menunjukkan bahawa program kaunseling di Malaysia ditawarkan di lebih 20 universiti sama
ada pada peringkat diploma, ijazah sarjana muda, sarjana mahupun doktor falsafah (Jabatan

2
Pengajian Tinggi, 2011). Namun demikian, setelah dianalisis kurikulum pendidikan kaunselor
yang ditawarkan, didapati bahawa silibus program kaunseling masih berada pada tahap lama
iaitu, program kaunseling yang ditawarkan adalah bersifat umum dan generik. Sehubungan
dengan itu, maka sudah tiba masanya pihak universiti menilai semula program kaunseling yang
sedia ada, seiring dengan keperluan kaunseling masyarakat Malaysia (Jabatan Pengajian
Tinggi, 2011; Mohd Tajudin & Rohany, 2014).

Cabaran ketiga adalah berkaitan ekpektasi sekolah terhadap perkhidmatan kaunseling.


Perkhidmatan kaunseling di sekolah dilihat sebagai pelengkap kepada sistem pengajaran dan
pembelajaran. Namun realitinya, terdapat kekeliruan tentang peranan dan tugas yang
sepatutnya dilaksanakan oleh seorang kaunselor di sekolah. Di samping itu, terdapat juga
kekeliruan pihak-pihak tertentu di sekolah tentang bagaimana proses perkhidmatan kaunseling
dijalankan. Oleh kerana kekeliruan-kekeliruan yang timbul ini, maka ia menjejaskan tugas
kaunselor dan memberikan cabaran yang besar kepada kaunselor yang berkhidmat di sekolah.
Sehubungan dengan itu, adalah menjadi keperluan untuk memberikan kefahaman kepada
komuniti di sekolah tentang profesion kaunseling. Ini adalah demi memastikan kelangsungan
perkhidmatan kaunseling di sekolah dan kepakaran kaunselor dapat dioptimumkan (Mohd
Tajudin & Rohany, 2014).

Cabaran keempat yang menjadi fokus adalah permasalahan sosial. Permasalahan sosial
ini sering melibatkan pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, belia dalam komuniti
dan semua ahli masyarakat. Permasalahan ini termasuklah ponteng, melawan guru, penagihan
dadah, merempit, salah laku seksual, menghidu gam, sumbang mahram, hubungan
homoseksual dan samseng di sekolah (Nor-Ina, Norizan, Ruslan, A.Tarmizi, & Norita, 2015).
Tambah membimbangkan lagi dengan laporan peningkatan statistik kadar jenayah di seluruh
negara. Situasi ini merupakan satu situasi yang sangat membimbangkan masyarakat Malaysia
pada hari ini (Agensi Anti Dadah Kebangsaan, 2014; Institut Penyelidikan Pembangunan Belia
Malaysia, 2010; Jabatan Perdana Menteri, 2015; Roslee & Sharif, 2005).

Kemerosotan kerohanian merupakan cabaran kelima yang menjadi fokus dalam isu
cabaran kaunseling di Malaysia. Perubahan pola pemodenan kehidupan dalam masyarakat
menjadi pencetus kepada perubahan pemikiran dan nilai baharu dalam struktur dan peradaban
masyarakat. Kesannya ia turut sama menghakis gagasan rohaniah yang menjadi asas kepada
nilai-nilai murni dalam masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan bahawa pemodenan
membawa kesan yang positif kepada sesebuah negara namun tidak juga dapat disangkal
bahawa pemodenan juga memberikan kesan yang negatif kepada sesebuah negara. Kesan
negatif ini melibatkan perubahan kepada struktur, corak, nilai dan erti kehidupan masyarakat.
Sehubungan dengan itu, adalah menjadi satu celik akal bahawa perkhidmatan kaunseling perlu
memenuhi keperluan aspirasi masyarakat moden dan dalam masa yang sama menyediakan
suatu ruang untuk menangani kemerosotan kerohanian dalam kalangan ahli masyarakat. Bagi
mereka yang beragama Islam, kemerosotan kerohanian ini dibimbangi akan membawa kepada
kemiskinan akidah (Mohd Tajudin & Rohany, 2014; Nor Ezdianie & Mohd Tajudin, 2017).

Fokus keenam cabaran kaunseling di Malaysia adalah revolusi teknologi maklumat.


Penciptaan komputer dan ledakan penggunaan teknologi telah memberi kesan kepada
masyarakat di dunia. Ia telah memberi kesan kepada aspek ekonomi, sosial dan pendidikan.
Sebagaimana pemodenan, revolusi teknologi juga memberikan kesan positif dan negatif
kepada masyarakat. Dari sudut positif, teknologi menjadikan masyarakat lebih global dan
persempadanan maklumat di dunia menjadi semakin sempit. Natijahnya masyarakat menjadi
lebih berilmu dan berpengetahuan. Namun tidak dapat dinafikan bahawa ledakan teknologi
juga memberi kesan negatif kepada masyarakat. Impaknya ledakan teknologi mempercepatkan
penularan budaya negatif dalam masyarakat dan seterusnya mencetuskan keruntahan moral
komuniti (Haberstroh, Barney, Foster, & Duffey, 2014). Sehubungan dengan itu, adalah

3
menjadi menjadi persoalan, adakah profesion kaunseling di Malaysia bersedia untuk
memberikan perkhidmatan selaras dengan ledakan teknologi (Mohd Tajudin & Rohany, 2014;
Nor Ezdianie & Mohd Tajudin, 2017).

Transisi demografi dan faktor silang budaya menjadi isu ketujuh dalam cabaran
kaunseling di Malaysia. Secara globalnya, kaunseling dilihat telah berkembang di seluruh
dunia. Walaupun pada asalnya kaunseling dikatakan adalah hasil peradaban Eropah-Amerika,
namun perkembangan kaunseling mutakhir ini dilihat telah merentasi sempadan benua (Mohd
Tajudin & Rohany, 2014). Hasilnya, perkembangan kaunseling dipengaruhi oleh demografi
dan budaya masyarakat setempat (Turner, Holdsworth, Scott-Young, & Johnson, 2017).
Tambahan juga perkhidmatan kaunseling yang ditawarkan adalah mengikut keperluan
masyarakat setempat. Oleh yang demikian, kesan transisi demografi dan faktor silang budaya
ini, membuka satu ruang kepada kajian-kajian keperluan kaunseling berdasarkan demografi
dan karakter masyarakat (Giovazolias, Leontopoulou, & Triliva, 2010; Kandi, 2014; Karimi,
Muthaa, Bururia, Karimi, & Mburugu, 2014; Soliman, 1991).;

Kesimpulan

Perkhidmatan kaunseling di Malaysia memberi impak positif kepada aspek kesejahteraan


psikologi dan mutu kehidupan masyarakat. Perkembangan ini juga memberi peluang yang
lebih luas kepada laluan kerjaya profesion kaunselor. Hakikatnya, profesion kaunseling
merupakan suatu profesion yang semakin relevan dan memainkan peranan yang penting dalam
masyarakat Malaysia. Kini, profesion kaunseling sudah diiktiraf sebagai suatu kerjaya yang
bersifat profesional selaras dengan Akta Kaunselor 1998 (Akta 580) setanding dengan
profesion kaunseling di luar negara. Namun demikian, profesion kaunseling yang semakin
berkembang juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan cabarannya yang tersendiri. Yang
pastinya, mereka yang bergelar kaunselor profesional perlu mempertingkatkan lagi mutu dan
tahap profesionalisme kaunseling agar perkhidmatan ini benar-benar memberikan impak yang
positif terhadap pembentukan masyarakat Malaysia dari segi kesejahteraan psikologi.

Rujukan
Agensi Anti Dadah Kebangsaan. (2014). Maklumat Dadah 2014. Putrajaya: Kementerian
Dalam Negeri.
Giovazolias, T., Leontopoulou, S., & Triliva, S. (2010). Assessment of Greek University
Students’ Counselling Needs and Attitudes: An Exploratory Study. International Journal
for the Advancement of Counselling, 32(2), 101–116. https://doi.org/10.1007/s10447-
010-9092-2
Haberstroh, S., Barney, L., Foster, N., & Duffey, T. (2014). The Ethical and Legal Practice of
Online Counseling and Psychotherapy: A Review of Mental Health Professions. Journal
of Technology in Human Services, 32(3), 149–157.
https://doi.org/10.1080/15228835.2013.872074
Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia. (2010). Laporan Tahunan. Putarajaya:
Kementerian Belia dan Sukan.
Jabatan Pengajian Tinggi. (2011). Hala Tuju Bidang Kaunseling di Malaysia. Kementerian
Pengajian Tinggi Malaysia. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.
https://doi.org/10.1017/CBO9781107415324.004
Jabatan Perdana Menteri. (2015). Data Asas Malaysia. Putrajaya.
Kandi, S. (2014). Prevalence of Counseling Needs in Late Adolescent College Students of

4
India. Anadolu Journal of Educational Sciences International, 4(July), 1–20.
Karimi, J., Muthaa, G., Bururia, D., Karimi, V., & Mburugu, B. (2014). Assessment of
Counselling Needs among Students in Kenyan Universities. Journal of Education and
Practice, 5(12), 36–44.
Mohd Tajudin, N., & Rohany, N. (2014). Profesionalisme Dalam Kaunseling dan Cabaran
Masa Kini Di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Nor-Ina, K., Norizan, M. N., Ruslan, R., A.Tarmizi, A. R., & Norita, J. (2015). Jenayah dan
agenda pembangunan di Malaysia : Satu tinjauan Crime and Malaysia ’ s development
agenda : An overview. GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space,
11(1), 124–134.
Nor Ezdianie, O., & Mohd Tajudin, N. (2016). Keperluan dan Pendekatan Kaunseling dari
Perspektif al-Ghazali dan Psikologi Kognitif ad-Din. In M. N. Badlishah, H. Asmak, &
M. Nurhafilah (Eds.), Wanita Islam Kontemporari: Isu-isu, Cabaran & Amalan Terbaik
(p. 572). Kuala Lumpur: Persatuan Ulama Malaysia.
Nor Ezdianie, O., & Mohd Tajudin, N. (2017). Perkembangan Keperluan Kaunseling dan
Cabarannya dalam Masyarakat Malaysia: Satu Retrospeksi Mengikut Dekad. In A. A.
Karim & M. N. M. Roslan (Eds.), 6 Dekad Kemerdekaan Agenda Menuju Kehadapan (p.
364). Kuala Lumpur: Persatuan Ulama Malaysia.
Roslee, A., & Sharif, M. M. (2005). Permasalahan dan Keperluan Perkhidmatan Kaunseling di
Kalangan Pelajar Asrama. In Seminar Kebangsaan Pendidikan JPPG 2005 (p. 15). Pulau
Pinang: Universiti Sains Islam Malaysia.
Soliman, A. M. (1991). The Role Of Counseling in Developing Countries. International
Journal for the Advancement of Counselling, 14(1), 3–14.
Turner, M., Holdsworth, S., Scott-Young, C., & Johnson, A. (2017). Profiling resilience among
construction management students: An international comparison. In P. W. Chan & C. J.
Neilson (Eds.), Proceeding of the 33rd Annual ARCOM Conference (pp. 350–359).
Cambridge: Association of Researchers in Construction Management.

Biodata Penulis
1. Nor Ezdianie Omar merupakan Pensyarah Program Sarjana Muda Kaunseling di Universiti
Malaysia Terengganu. Emel yang boleh dihubungi ezdianie@umt.edu.my .
2. Prof. Datuk Dr. Mohd Tajudin Md. Ninggal merupakan Professor Psikologi Kaunseling
di Open University Malaysia. Email yang boleh dihubungi adalah tajudin@oum.edu.my .

View publication stats

You might also like