Download as doc, pdf, or txt
Download as doc, pdf, or txt
You are on page 1of 5

Revolusi sains dan pencorakan peradaban moden

LAZIMNYA kita mengaitkan ledakan maklumat dengan teknologi digital, atau


teknologi siber. Ramai pemerhati, penulis dan cendekiawan menganalisis kesan
daripada ledakan maklumat ini. Namun, bagaimanakah dapat kita faham bahawa
setiap peradaban yang pemah wujud adalah cetusan daripada ledakan
maklumat?Bagaimanakah dapat kita kaji pengaruh budaya cetak serta maklumat
yang disebarkan dalam konteks ledakan maklumat? Apakah penemuan yang boleh
mengaitkan fenomenon revolusi maklumat dalam konteks peradaban moden dan
budaya cetak? Fellow, Pusat Kajian Media Antarabangsa, AHMAD MURAD
MERICAN, membicarakannya.

SATU pendekatan yang dapat digunakan dalam memahami keadaan diri kita dalam
konteks revolusi maklumat ialah dengan mengkaji sejarah dan meninjau ciptaan, rekaan,
serta idea yang serupa pada masa Ialu. Mungkin ramai berpendapat ciptaan komputer
yang membawa kita kepada arus ledakan maklumat itu, tidak ada tolok bandingnya
dalam sejarah manusia. Mungkin ramai menganggap revolusi komputer itu unik yang
dalam konteks moden, ia satu inovasi yang tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana
ciptaan manusia.

Jika kita mengimbau sejarah peradaban manusia, sekurang-kurangnya ada tiga inovasi
masa Ialu yang menghasilkan ledakan maklumat serupa dengan yang kita alami kini.
Kebanyakan dihasilkan oleh saluran media dan teknologi. Ketiga-tiga inovasi itu
menggunakan teknologi yang mengakibatkan pengurangan kos dan usaha dalam
pengeluaran, penyimpanan dan penyebaran maklumat. Inovasi yang dimaksudkan itu
ialah bahasa, penulisan dan percetakan.

Bagi memahami kepentingan inovasi itu, kita perlu meletakkannya dalam konteks
sejarah. Sejarah membuktikan setiap inovasi itu berjaya menghasil dan mewujudkan satu
bentuk baru dalam institusi masyarakat manusia. Bahasa dikaitkan dengan permulaan
masyarakat manusia, penciptaan penulisan dengan permulaan peradaban, serta
perkembangan dalam teknologi percetakan kepada permulaan peradaban moden.

Sejarah peradaban berkait rapat dengan satu inovasi yang mencetuskan ledakan
maklumat. Ia mengandaikan suatu perhubungan sebab-musabab yang menjurus kepada
transformasi peradaban yang berlaku. Bagi membuktikan perhubungan sebab-musabab
itu wujud, kita terlebih dulu perlu menunjukkan terdapat keterbatasan dalam pengeluaran
maklumat yang mengehadkan kemajuan dalam era sebelum ledakan maklumat itu.

Hakikatnya, peradaban adalah maklumat. Ciri peradaban seperti etika, undang-undang,


teknologi, seni, kesusasteraan, ilmu, falsafah dan weltanschaaungnya, dan konsep
ketuhanan dianggap sebagai media dan bentuk maklumat. Budaya yang dibentuk oleh
sesuatu peradaban itu boleh disifatkan sebagai satu sistem maklumat yang merangkumi
bahasa, bentuk-bentuk idea dan pemikiran, institusi kekeluargaan, politik dan agama.
Jika dihalusi, bahasa sebenarnya memudahkan maklumat dikumpulkan, disimpan dan
dipindahkan atau diperturun daripada satu generasi ke generasi lain.Bentuk-bentuk idea
dan pemikiran, serta unit-unit maklumat itu dapat disimpulkan sebagai sistem
penceritaan, membabitkan ciri alam dan kedudukan manusia, serta catatan sejarah.
Sistem penceritaan ini merangkumi maklumat dalam sesuatu budaya. Budaya
kemudiannya membentuk dan mencirikan institusi-institusi lain dalam sesuatu peradaban
itu melalui maklumat yang dibentuk, disusun dan direka.

Namun gagasan dan keagungan sesuatu peradaban itu biasanya dibatasi oleh maklumat
daripada sumber fizikal lain. Umpamanya, peradaban klasik seperti Yunani, Mesir dan
Mesopotamia, mempunyai semua sumber fizikal yang diperlukan untuk mencipta
teknologi yang ada sekarang ini seperti komputer, televisyen, roket, kereta, peti sejuk,
ketuhar mikro dan barangan pengeluaran dan pengguna. Bagaimanapun, mereka tidak
berupaya mencipta teknologi dan barangan itu kerana mereka tidak mempunyai
maklumat yang diperlukan.

Keterbatasan maklumat, selain daripada berbentuk kuantitatif, juga berbentuk kualitatif,


yakni dari segi cara dan kaedah melakukan sesuatu. Satu faktor ketara dalam keterbatasan
kualitatif ini ialah dalam kewujudan dan kegunaan bahasa. Teknologi dan pencapaian
sosial manusia memerlukan kesedaran pemikiran, yang bergantung kepada bahasa.

Perhubungan di antara penciptaan penulisan dan permulaan peradaban lebih jelas dan
dapat dilihat dalam peradaban seperti Mesopotamia, Lembah Indus, dan China. Faktor
utama yang membezakan budaya peradaban itu dengan budaya kontemporari lain ialah
penciptaan penulisan. Faktor lain seperti perdagangan dan urbanisasi dimiliki sedikit
sebanyak oleh budaya lain pada masa itu.

Sesebuah peradaban bermula dengan penciptaan penulisan. Kita dapat katakan bahawa
penulisan wujud hanya dalam sesuatu peradaban, dan sesuatu peradaban itu tidak dapat
wujud tanpa penulisan.

Perhubungan antara penciptaan percetakan dan asal-usul peradaban moden amat penting.
Ledakan maklumat mencetuskan teknologi percetakan dan inovasi itu kemudiannya
memungkinkan kadar pengeluaran maklumat yang tidak pernah terfikir sebelumnya. Di
antara teknologi dan pengeluaran maklumat ini terdapat satu faktor penting yang juga
membawa satu transformasi dalam bentuk pengeluaran peradaban moden - komersilisme.

Pasaran yang meluas, kemunculan golongan perdagangan dan perniagaan dan penubuhan
universiti yang berlandaskan kepada humanisme sekaligus mencetuskan penyebaran idea
dan maklumat yang tidak terbatas. Potensi ekonomi dari teknologi percetakan ini dilihat
apabila teknik dan cara pengeluaran semula idea dan maklumat tersebar dari Jerman ke
lebih dari 10 negara lain di Eropah menjelang akhir abad ke 15. Pada masa itu, lebih
kurang 40,000 edisi buku dicetak.

Tidak dapat dinafikan juga, persitiwa seperti revolusi Copernicus dalam astronomi serta
revolusi sains lain adalah terhasil daripada teknologi percetakaan.
Dalam mengkaji keberkesanan teknologi percetakan, yang pada umumnya diterima
dengan mesin cetak Johann Gutenberg dari Mainz, Jerman pada tahun 1450an, kita
sebenarnya dapat memahami kuasa-kuasa sosial dan budaya yang kini membentuk
pemikiran moden.

Mesin cetak Gutenberg wujud pada zaman Renaissance. Oleh itu, dapat kita andaikan
teknologi mesin cetak adalah salah satu pelopor kepada perkembangan zaman
Renaissance di Eropah yang bermula dari abad ke 14 dan seterusnya membentuk sistem
dunia kepada apa yang ada sekarang ini.

Zaman Renaissance menyaksikan beberapa peristiwa unggul dalam sejarah dan


peradaban manusia - seperti revolusi Copernicus, Reformasi - perpecahan Gereja dan
Negara, dan penemuan benua Amerika oleh Columbus yang kini banyak mempengaruhi
peradaban moden.

Ada pandangan mengatakan perkembangan teknologi dan aktiviti percetakan yang


mendadak bermula dari tahun 1450an menggerakkan peristiwa itu terutama sekali
memberi ruang dalam reformasi bidang astronomi, yang banyak mengalami pelbagai
perubahan dan peralihan hala tuju sejak dari zaman Yunani ke Ptolemy seterusnya ke
Copernicus.

Tanpa teknologi percetakan, Copernicus mungkin ketandusan sumber. Tanpa teknologi


percetakan, manuskrip Copernicus, yang mengubah, malah merevolusikan pandangan
alam manusia mengenai dunia dan kewujudan, mungkin dilupakan atau disimpan atas
rak-rak buruk di perpustakaan gereja.

Dari apa yang diketahui, ada 1,000 naskhah percetakan manuskrip Copernicus dalam
edaran pada abad ke 16, dan ia diedarkan secara meluas. Sebuah daripadanya, misalnya,
sampai ke Mexico menjelang tahun 1600. Memanglah 1,000 naskhah bukanlah banyak
mengikut ukuran sekarang ini, tetapi jumlah itu juga tidak mampu dicapai oleh sebarang
peradaban tanpa, dan sebelum tercipta teknologi mesin cetak seperti yang dihasilkan oleh
Gutenberg. Percetakan dan pengedaran manuskrip Copemicus adalah satu contoh
penyebaran maklumat hasil ciptaan mesin cetak.

Kepentingan pecetakan pada zaman refomasi dapat dilihat dengan jelas, dalam
pengeluaran semula dan pengedaran kitab Injil. Pihak Gereja serta kuasa-kuasa politik
yang lain mengambil kesempatan dengan menggunakan "kuasa"
percetakan.Bagaimanapun, "kuasa" percetakan itu berkembang luas sehinggakan tidak
terkawal. Ini memberi ruang kepada pergerakan anti-Gereja untuk menyebarkan
maklumat mengkritik dan menyoal kembali asas-asas kepercayaan di Eropah pada masa
itu.

Umpamanya, pemimpin pergerakan Reformasi, Martin Luther menggunakan mesin cetak


dengan meluasnya. A G Dickens dalam bukunya Reformation and Society in Sixteenth
Century Europe, terbitan tahun 1966, menyatakan di antara tahun 1517 hingga 1520, 30
penerbitan Luther mungkin dijual lebih 300,000 naskhah. Itulah pertama kali dalam
sejarah Barat di mana satu idea yang bersifat radikal disebarkan dalam bahasa tempatan
(dan bukan Latin). Pihak Gereja mendapati ia sukar dikawal. Lutheranisme adalah "anak
sulung" buku pertama yang tercetak, dan saluran percetakan membolehkan Luther
mengacuankan weltanschaaung tamadun Barat, membentuk pemikiran Eropah, dan yang
kemudiannya bedaya mempengaruhi dan membentuk pemikiran dan nilai masyarakat
dunia moden.

Menyingkap penemuan benua Amerika, buku-buku utama ialah geografi dan sejarah
tabii. Christopher Columbus, misalnya, memiliki sekurang-kurangnya empat buku yang
baru dicetak pada masa itu. Buku-buku yang dimilikinya itu bukan hanya mempunyai
kepentingan dalam perkembangan idea Columbus mengenai geografi tetapi juga dalam
keupayaannya dalam membentangkan hujah-hujahnya kepada beberapa ahli geografi
Sepanyol yang mempunyai pengetahuan yang lebih dalam ilmu pelayaran dan berapa
jauhnya di antara satu wilayah dengan wilayah lain.

Kesan ledakan pengeluaran dan percambahan maklumat (bukan semuanya betul) dapat
menerangkan pencapaian-pencapaian di Eropah pada zaman Renaissance. Apa yang
berlaku di Eropah pada masa itu bukan sahaja disebabkan oleh kepintaran manusia,
malah oleh kuantiti maklumat yang secara mendadak dibekalkan kepada kepintaran itu.

Teknologi mesin cetak membekalkan mereka yang pintar dengan maklumat yang benar-
benar diperlukan, serta membolehkan mereka menyebarkan idea dan penemuan-
penemuan dengan cepat kepada beribu-ribu orang. Eisenstein dalam kajiannya mendapati
kandungan buku-buku awal sebelum penggunaan mesin cetak mengandungi banyak
kesilapan.

Bagaimanapun, kuantiti kesilapan itu didapati berkurangan selepas penciptaan mesin


cetak Gutenberg. Sebahagian daripada jawapan lanjutan persoalan tersebut dapat dilihat
dalam perkembangan kaedah-kaedah saintifik dalam abad-abad ke 16 dan ke 17. Ini
mencetuskan satu persoalan lagi - kenapakah terdapat kemunculan kaedah-kaedah
saintifik?

Sebahagian daripada kaedah saintifik membabitkan penilaian maklumat berasaskan


kepada pemerhatian dan ujian. Sebahagian lagi membabitkan hubungkait hukum-hakam
dan peraturan-peraturan alam. Pada asasnya, aspek itu membabitkan teknik mengkaji dan
menguji kuantiti maklumat yang banyak dengan mencari pola-pola dalam menerangkan
sesuatu fenomena.

Teknik-teknik saintifik itu bukan sebenarnya baru, malah ia wujud dalam usaha-usaha
mencari ilmu dalam semua peradaban - dari peradaban Yunani kepada zaman tokoh-
tokoh agama dan ilmuwan Islam sebelum jatuhnya kerajaan Abbassiyah.

Akan tetapi, teknik-teknik itu digunakan dengan banyaknya dalam abad-abad ke 16 dan
ke 17, sehingga menjurus kepada era Revolusi Sains.Dengan kata lain, berikutan dengan
penciptaan mesin cetak, pengeluaran maklumat bertambah dengan banyak. Teknologi
percetakan telah membolehkan saintis-saintis serta pertubuhan-pertubuhan saintifik di
Eropah menyebarkan ide dan penemuan-penemuan. Proses komunikasi ilmu sains - dan
penyebaran epistemologi sains modenpun bermula tanpa batas. Ini sealiran dengan usaha
mengkaji dan menghalusi maklumat yang ditemui dan disebarkan. Apakah ataupun
adakah kaitannya di antara kuantiti maklumat serta kualiti maklumat itu?

Satu andaian ialah wujudnya revolusi sains pada abad-abad ke 16 dan ke 17 itu
merupakan satu response kepada percambahan maklumat hasil daripada pengeluaran dan
pengeluaran semula maklumat akibat daripada terciptanya mesin cetak. Jumlah kuantiti
maklumat yang dikeluarkan memaksa wujudnya kaedah-kaedah saintifik bagi mengkaji
dan menilai maklumat itu. Prinsip sains yang menekankan kepada pengulangan berkali-
kali sesuatu ujian itu dimungkinkan oleh percetakan.

Maklumat yang dikumpulkan itu juga telah menghasilkan berbagai-bagai inovasi yang
kemudiannya memberi pengaruh ke atas pemikiran manusia Eropah yang menggunakan
kemunculan teknologi cetak dalam seni, kesuasteraan, falsafah dan politik. Jika
ditumpukan perhatian kepada teknologi pereetakan pasa masa itu, kita dapat lihat bahawa
ia memudahkan satu lagi revolusi, iaitu, revolusi komunikasi. Bersama dengan bahasa
pertuturan, penulisan, dan media elektronik, teknologi mesin cetak telah mengubah
paradigma pemikiran manusia.

Transformasi intelektual yang dibawa oleh mesin cetak kepada tamadun Barat,
mengasaskan prinsip piawaian, pembuktian, dan komunikasi yang berasal dari satu
sumber dan disebarkan kepada sejumlah penerima melampaui batasan geografi.Dalam
pada itu, ia memberi satu cabaran kepada pengawalan pemikiran dan idea oleh institusi
agama dan raja pada masa itu. Apa yang dapat disebut sebagai media massa kini bermula
dengan terciptanya mesin cetak. Kini dengan teknologi siber, budaya cetak masih lagi
wujud.

Walaupun budaya cetak bukan sebab unggul dalam mencetuskan maklumat dan
perubahan besar dalam pemikiran manusia dan struktur masyarakat, ia memberi pengaruh
yang besar ke atas tamadun budaya Eropah dan seterusnya tamadun moden. Budaya
cetak dan maklumat yang dihasilkan lalu disebarkan telah membawa satu anjakan
perspektif dalam sains, fahaman tentang agama, politik dan bentuk-bentuk pemikiran
yang biasanya dikaitkan dengan budaya Barat.

http://www.geocities.com/Yosemite/Trails/7111/yartikel4.htm
13/11/08

You might also like