Download as docx, pdf, or txt
Download as docx, pdf, or txt
You are on page 1of 7

Apakah kontrak sosial?

Teori kontrak sosial menurut pandangan ahli teori demokratik Eropah seperti Thomas Hobbes dan John Locke ialah bahawa manusia mewujudkan negara sebagai satu perjanjian bersama di mana setiap individu itu bersetuju kepadanya.Kontrak ini bererti individu-individu yang bebas bersetuju untuk menyerahkan haknya untuk memerintah diri sendiri itu kepada satu institusi bersama yang berkuasa dan berdaulat. Menurut bahasa, kontrak boleh didefinisikan sebagai perjanjian formal dengan syarat-syarat tertentu antara dua pihak atau lebih. Ia juga boleh bermaksud dokumen yg mengandungi syarat-syarat perjanjian atau cabang undang-undang yg berkaitan dgn kontrak. Sosial pula boleh ditakrifkan sebagai segala yg berkaitan dgn masyarakat, perihal masyarakat dan kemasyarakatan. Oleh itu, kontrak sosial apabila diasimilasikan boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk perjanjian atau permuafakatan yang ditulis dan ditetapkan oleh undang-undang (perlembagaan) yang melibatkan semua masyarakat di sesebuah negara. Oleh itu, perbincangan kontrak sosial bagi penulisan ini akan ditumpukan kepada skop perlaksanaannya di Malaysia. Secara mudah, kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara. Kontrak sosial sebenarnya merupakan watikah asas keadilan sosial untuk negara. Keadilan sosial yang terkandung dalam perjanjian ini merangkumi bukan sahaja soal keadilan ekonomi tetapi juga keadilan politik dan keadilan kebudayaan. Oleh itu, kontrak sosial yang dipersetujui perlu dijadikan rujukan asas dalam masyarakat Malaysia.

Maksud Kontrak Sosial Perjanjian yang disetujui sebelum kemerdekaan oleh pemimpin-pemimpin kaum Melayu,Cina dan India dan parti mereka wakili ialah UMNO,MCA,dan MIC. Permuafakatan itu mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Perikatan

dalam pilihan raya 1955.Rakyat perlu mengingati bahawa fakta sejarah bahawa kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah . Isi Kandungan Kontrak Sosial di Malaysia. i) Orang Melayu menerima dan mengiktiraf orang Cina dan India sebagai warganegara. (Berasaskan prinsip Jus Soli). ii) Orang Cina dan India mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan. iii) Orang Cina dan India mengiktiraf agama Islam sebagai agama persekutuan. iv) Orang Cina dan India mengiktiraf kedaulatan Raja - Raja Melayu v) Orang Cina dan India mengiktiraf Hak keistimewaan orang Melayu

Kepentingan Kontrak Sosial Kontrak Sosial berkaitan dengan empat perkara ,iaitu perlembagaan,kemerdekaan,hubungan antara kaum,dan pemerintahan negara. Tanpa kontrak sosial mungkin kita tidak dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 kerana pihak British ketika itu menjadikan permuafakatan itu sebagai prasyarat. Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara demokrasi berparlimen raja berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan. Hubungan antara kontrak sosial dengan negara dan bangsa Malaysia. Perlembagaan Persekutuan diwujudkan hasil daripada kontrak sosial yang dilahirkan daripada permuafakatan pelbagai kaum di negara ini. Perlembagaan itulah juga yang mentakrifkan negara kita serta menentukan sifat bangsa dan negara Malaysia.Malaysia adalah Negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan terbuka kepada bukan Melayu, sebahagiannya imigran dan diterima secara automatis sebagai warga Negara dan diberikan jus soli.Inilah antara sifat negara dan bangsa Malaysia yang harus difahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem pemerintahan beraja.

KEDUDUKAN RAJA MELAYU DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN Hasil penerimaan sistem raja berperlembagaan, Yang Dipertuan Agong diberi kuasa memerintah Persekutuan tetapi sebagai raja berperlembagaan baginda dikehendaki mengikut nasihat jemaah menteri atau menteri yang diberi kuasa oleh jemaah menteri Baginda juga adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan dan merupakan salah satu unsur utama daripada tiga unsur utama badan perundangan persekutuan iaitu parlimen.

Disamping itu, Perkara 71 Perlembagaan Persekutun membuat peruntukan bagi menjamin hak seseorang raja untuk mewarisi, memegang, menikmati dan menjalankan hak-hak keistimewaan di sisi Perlembagaan bagi seseorang raja dalam negeri itu. Institusi kesultanan dilindungi oleh Perlembagaan dengan cara bahawa tiada pindaan boleh dibuat terhadap peruntukan berhubung dengan Majlis Raja-Raja, susunan keutamaan dan hak-hak mereka untuk warisan sebagai raja negeri masing-masing tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Malah tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran mereka boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja. Raja-raja Melayu bagi negeri-negeri Melayu hendaklah orang Melayu dan oleh kerana itu ianya orang Islam. Yang Di pertuan Agong (yang dipilih daripada kalangan Raja-Raja Melayu) yang mempunyai kuasa pemerintah bagi persekutuan juga adalah seorang Melayu dan Muslim. Perbincangan tentang pemerintahan berja tidak akan lengkap tanpa menyebutkan kedaulatan dan kekebalan (imunity) raja. Perlembagaan memperuntukan bahawa Yang Dipertuan Agong tidak boleh didakwa dalam apa-apa jua perbicaraan dalam mana-mana mahkamah. . Pada masa ini Perkara 3(2) merujuk kepada tiap-tiap negeri dalam persekutuan, Raja atau Sultan adalah ketua agama Islam kecuali Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

2. HAK KEISTIMEWAAN ORANG MELAYU Perlembagaan Malaysia mempunyai satu peruntukan khas di bawah Perkara 153 bertujuan memelihara orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak. Peruntukan-peruntukan berkaitan juga terdapat di bawah Perkara 161(A) dan dalam beberapa perlembagaan negeri. Di sisi undang-undang perlembagaan, erti Melayu ialah seseorang yang memenuhi tiga syarat asas; (i) menganuti agama Islam, (ii) secara lazim bercakap Melayu, dan (iii)menurut adat istiadat Melayu (Perkara 160). Dengan hanya mempunyai sifat-sifat (i) hingga (iii) belum sempurna lagi ke Melayuan seseorang itu di sisi Perlembagaan. Seseorang yang mendakwa dirinya Melayu hendaklah membuktikan juga bahawa dia lahir sama ada di Persekutuan atau di Singapura sebelum hari Merdeka atau dapat membuktikan bahawa dia adalah anak kepada ibu atau bapanya yang lahir di Persekutuan atau di Singapura sebelum Merdeka. Setelah mengimbas kembali siapa itu Melayu, perlu kini kita amati Perkara 153 yang menjamin kedudukan istimewa orang Melayu yang bumiputera yang termaktub di bawah klausa (2) Perkara 153. Perkara 153 menggariskan bahawa Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet berkuasa menyelamatkan kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Sabah dan Sarawak dengan menentukan bagi mereka kedudukan

dalam perkhidmatan awam, agihan biasiswa atau pendidikan atau latihan atau lain-lain kemudahan yang diberikan oleh kerajaan termasuk permit atau lesen perniagaan. Peruntukan Perkara 153 adalah seperti berikut; Perkara 153 (I): Perezaban quota mengenai perkhidmatan, permit dan sebagainya untuk orang Melayu. (1) Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan kepentingankepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini. (2) Walau apapun yang terkandung dalam Perlembagaan ini, tetapi tertakluk kepada peruntukan Perkara 40 dan peruntukan Perkara ini, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menjalankan tugas-tugasnya di bawah Perlembagaan ini dan di bawah undangundang Persekutuan mengikut apa-apa cara sebagaimana yang perlu untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana Negeri Borneo dan juga untuk menentukan perezapan bagi orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai jawatan dalam perkhidmatan awam (lain daripada perkhidmatan awam sesuatu negeri) dan mengenai biasiswa, bantuan dan lain-lain keistimewaan pelajaran atau latihan yang seumpamanya atau lain-lain kemudahan khas yang diberi atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan dan suatu kadar yang difikirkan patut oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai permit atau lesen bagi menjalankan apa-apa trade atau perniagaan, dan perezapan permit dan lesen itu adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang itu dan Perkara ini. Kedudukan istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 yang memberi kuat kuasa undang-undang perlembagaan kepada undang-undang yang sedia ada yang melindungi tanah rizab orang Melayu daripada diselenggarakan oleh orang bukan Melayu.Selain itu, kemasukan orang Melayu dalam Rejimen Askar Melayu dengan pengecualian orang bukan Melayu sebagaimana dikuatkuasakan oleh Perkara 8(5)(f) juga dianggap sebagai sebahagian daripada kedudukan istimewa orang Melayu. Walaupun dari satu sudut peruntukan khas ini seolah-olah bercanggah dengan kesamarataan layanan perlembagaan ke atas semua warganegara persekutuan, namun ia satu pertimbangan untuk menyamakan taraf kaum bumiputera dengan kaum-kaum yang lain khususnya Cina di tanah air bagi menjamin mewujudkan keseimbangan, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan agihan kekayaan khususnya kepada kaum yang masih lemah dan ketinggalan menjelang kemerdekaan.

Kedudukan istimewa orang Melayu ini tidak mutlak. Ia diseimbangkan dengan kepentingan sah kaum lain yang secara amnya termasuklah hak mendapat kewarganegaraan Malaysia menurut peruntukan kewarganegaraan dalam perlembagaan, hak menganut dan mengamalkan agama masing-masing, hak untuk menggunakan bahasa ibunda dan yang paling penting hak untuk mendapat layanan yang sama rata. Seperti juga kedudukan istimewa orang Melayu, hak-hak ini juga dibatasi oleh beberapa peruntukan dalam Perlembagaan. 3. KEDUDUKAN ISLAM SEBAGAI AGAMA RASMI Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu isu yang penting kerana ianya berkait rapat dengan kepercayaan dan iktikad majoroti penduduk (orang Melayu) di Malaysia. Dalam Perlembagaan Persekutuan dinyatakan: Agama Islam ialah bagi seluruh persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan Menurut Tun Salleh Abbas, Melayu dan Islam adalah dua unsur yang bercantum dan tidak boleh dipisahkan untuk tujuan undang-undang dan perlembagaan. Maka adalah menjadi tanggungjawab Yang Dipertuan Agong untuk melindungi orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Oleh kerana Islam dan Melayu merupakan dua entiti yang tidak boleh dipisahkan, maka tugas menjaga orang Melayu termasuk juga melindungi dan menjaga agama Islam. Orang Melayu sebagaimana yang telah dijelaskan oleh penulis sebelum ini ditakrifkan dalam Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan iaitu sebagai seorang yang menganut agama Islam, yang lazim bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu. Maka dengan ini, peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan membayangkan apa yang telah dipertahankan oleh orang Melayu sepanjang masa, malah sebelum kuasa British masuk ke Malaysia lagi. Semasa penjajahan British, mereka membawa masuk agama Kristian sementara kaum pendatang membawa masuk agama lain seperti Hindu dan Buddha. Oleh yang demikian, menjadikan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan mestilah juga memberikan pertimbangan kepada kepercayaan kaum lain. Oleh itu, Perkara 3 memperuntukan satu fasal imbangan yang menyebut tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Malah setiap kumpulan agama juga mempunyai hak untuk:

a) Menguruskan hal ehwal agamanya sendiri b) Menubuh dan menyelenggara institusi-institusi bagi maksud-maksud agama atau khairat, dan c) Memperoleh dan memiliki harta benda serta memegang dan mentadbirkannya mengikut undang-undang Berikutan dengan Islam diterima sebagai agama bagi persekutuan, maka kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai kebebasan, kuasa dan keistimewaan untuk menubuhkan atau menyelenggara atau membantu penubuhan atau penyelenggaraan institusi Islam atau mengadakan atau membantu dalam mengadakan ajaran dalam agama Islam dan untuk mengeluarkan perbelanjaan yang diperlukan untuk tujuan itu.[32] Oleh itu, kerajaan persekutuan dan negeri melalui akta dan enakmen perbekalan tahunan, diberi kuasa untuk membelanjakan wang untuk pentadbiran agama Islam dan undang-undangnya. Peruntukan seumpama itu jelas disahkan oleh Perkara 12(2). 4. BAHASA MELAYU Bahasa sentiasa menjadi faktor terpenting dalam menentukan jati diri sesebuah negara. Keperluan satu bahasa kebangsaan yang menjadi pertuturan umum dan bahasa rasmi kebangsaan disedari penting untuk menyatukan rakyat pelbagai asal keturunan yang masing-masing dengan bahasa pertuturannya. Isu bahasa merupakan salah satu perkara yang dibincangkan semasa perundingan perlembagaan dan proses pembentukannya. Namun isu ini dapat diselesaikan dengan permuafakatan antara kaum. Tan Siew Sin telah menerangkan bagaimana isu bahasa telah dapat diselesaikan: Masyarakat bukan Melayu menaruh harapan besar kebudayaan dan bahasa mereka. Biar saya nyatakan sebagai contoh, perlembaagaan Reid sebagaimana rangka awalnya tidak menyebut apa-apa tentang mengekal dan menegmbangkan bahasa Cina dan Tamil atau bahasa-bahasa lain.Apabila dicadangkan kepada pemimpin Melayu bahawa perlembagaan sepatutnya dengan eksplisit menyatakan pengekalan dan perkembangan kedua-dua bahasa Cina dan Tamil hendaklah digalak dan dipelihara, mereka bersetuju Maka bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan dengan tidak mengenepikan bahasa lain. Ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaaan Persekutuan yang menyebut:

(1) Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen: Dengan syarat bahawa(a) tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajarkan atau belajar, apa-apa bahasa lain; dan (b) tiada apa-apa jua dalam Fasal ini boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana Kerajaan Negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan. Hipotesis utama disebalik meluluskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah bertujuan untuk memenuhi keperluan menyatupadukan pelbagai kaum ke arah menjadi sebuah negara yang bersatu melalui satu bahasa yang sama iaitu bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa pengantar negara ini sejak dahulu lagi.

Sumber Maklumat:- Bahagian Pengurusan Maklumat Strategik, Kementerian Peneran

Adam, Ramlah binti, Samuri, Abdul Hakim bin & Fadzil, Muslimin bin (2004). Sejarah Tingkatan 3. Dewan Bahasa dan Pustaka.ISBN 983-62-8285-8.

Badawi, Abdullah Ahmad (2004). "The Challenges of Multireligious, Multiethnic and Multicultural Societies". Retrieved Nov. 12, 2005.

Goh, Cheng Teik (1994). Malaysia: Beyond Communal Politics. Pelanduk Publications. ISBN 967-978-475-4.

You might also like